UPSR: Persediaan Peperiksaan Ulangan Lancar

UPSR: Persediaan Peperiksaan Ulangan Lancar


Calon yang tidak hadir pada peperiksaan ulangan akan direkodkan sebagai 'T' iaitu 'Tidak Hadir'

Kementerian Pendidikan berpuas hati persediaan yang dilakukan pihak sekolah bagi menghadapi peperiksaan semula Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) bagi kertas soalan yang bocor, Selasa dan pada 9 Okt ini.
Ketua Pengarahnya, Datuk Dr Khair Mohamad Yusof berkata guru besar dan guru sekolah telah melakukan tugasan sewajarnya termasuk penyediaan bilik peperiksaan supaya calon dapat menduduki peperiksaan itu dengan baik dan selesa.
"Saya dimaklumkan bahawa guru besar dan guru-guru ini juga memberi motivasi dan galakan kepada murid, melakukan pelbagai program untuk terus membantu calon," katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan ke lima sekolah di sekitar ibu negara.
Bertujuan melihat persediaan sekolah dan murid untuk menghadapi peperiksaan ulangan itu, lawatan itu melibatkan Sekolah Kebangsaan Jalan Bellamy, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Jalan Davidson, Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil St Joseph, Sekolah Kebangsaan Sentul 1 dan Sekolah Kebangsaan Taman Tun Dr Ismail (1).
Khair berkata berdasarkan perbualannya dengan murid sekolah, mereka berkata telah bersedia untuk menduduki peperiksaan ulangan itu dan berazam mendapat keputusan yang baik.
"Ada juga murid yang memberitahu peperiksaan ulangan adalah peluang kedua untuk mereka lakukan penambahbaikan," kata Khair sambil menasihatkan semua calon supaya tidak berasa bimbang sekiranya mereka telah melakukan ulang kaji secukupnya.
Beliau berkata calon dan ibu bapa serta pihak lain perlu sedar bahawa peperiksaan ulangan itu dibuat bagi memastikan kredibiliti dan integriti UPSR, dan calon boleh berbangga bahawa keputusan yang diperoleh kelak adalah keputusan tulen.
Bagi memastikan kelicinan dan tiada insiden kebocoran kertas peperiksaan, Khair memberitahu pihaknya telah mempertingkat prosedur operasi standard (SOP) pengurusan kertas soalan bermula dengan proses penggubalan dan percetakan hingga ke aspek penyimpanan dan pengedaran ke bilik peperiksaan.
"Kita juga memastikan mereka yang mempunyai akses kepada kertas soalan juga dihadkan jumlahnya supaya tidak berlaku insiden ada yang terlihat soalan," katanya.
Khair menjelaskan bahawa calon yang tidak hadir pada peperiksaan ulangan akan direkodkan sebagai 'T' iaitu 'Tidak Hadir' dan menurutnya, ini akan menyebabkan calon tidak dapat mengetahui tahap pencapaian dalam mata pelajaran berkenaan.
Peperiksaan ulangan kertas Bahasa Inggeris 014/1 dan 014/2 serta kertas Sains 018, 028 dan 038 dijadual berlangsung, Selasa.
Tarikh baharu bagi ujian Matematik 015/1, 025/1, 035/1 dan Bahasa Tamil 036 dan 037 pula ditetapkan pada 9 Okt.
Seramai 472,853 murid menduduki UPSR tahun ini di seluruh negara.
--BERNAMA 

Via Blogger PC Edisen

Enjoice...Sharing is power!!!

Ping your blog, website, or RSS feed for Free


Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Kitab Digital Sekolah Agama Kerajaan Negeri Johor

PERMOHONAN ONLINE KE PROGRAM KOLEJ VOKASIONAL (MENJURUS KEPADA DIPLOMA VOKASIONAL MALAYSIA) AMBILAN JUN 2016

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS : Memakan Daging Saudara SeIslam