PRK PENGKALAN KUBOR : Pertarungan Tiga Penjuru


PRK PENGKALAN KUBOR : Pertarungan Tiga Penjuru. Tiga pesaing bagi pilihan raya kecil DUN Pengkalan Kubor mengangkat tangan setelah diumumkan sebagai calon. Mereka ialah Mat Razi Mat Ail dari BN ( Baju Melayu merah), Wan Rosdi Wan Ibrahim dari PAS(hijau) dan calon bebas, Izat Bukhary Ismail Bukhary (hitam).

PRK PENGKALAN KUBOR: Pertarungan Tiga Penjuru
Calon BN, Mat Razi Mat Ail (kanan) bersama calon Pas, Wan Rosdi Wan Ibrahim dan calon Bebas, Izat Bukhary (kiri) TUMPAT, 13 Sept (Bernama) -- Pilihan raya kecil (PRK) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Kubor menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon Barisan Nasional (BN) Mat Razi Mat Ail, calon PAS Wan Rosdi Wan Ibrahim dan calon Bebas Izat Bukhary Ismail Bukhary.
Pegawai Pengurus Pilihan Raya Mohd Sobri Ramli mengumumkan demikian selepas proses penamaan calon di Pejabat Tanah dan Jajahan Tumpat di sini yang berlangsung selama sejam ditutup pada 10 pagi.
Mohd Sobri berkata pihaknya menerima borang pencalonan daripada Wan Rosdi pukul 9.05 pagi, Mat Razi 9.06 pagi dan Izat Bhukhary 9.17 pagi.
Proses penamaan calon berkenaan yang bermula 9 pagi berjalan lancar dengan ribuan penyokong daripada parti masing-masing mematuhi peraturan untuk berada di luar kawasan pusat penamaan calon yang ditutup pada 10 pagi.
Mat Razi, 48, yang berpakaian baju Melayu berwarna merah diiringi ke pusat penamaan calon oleh penyokong BN yang diketuai Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 8.40 pagi.
Antara pemimpin BN yang turut bersama 5,000 penyokong mengiringi Mat Razi, 48, ialah ketiga-tiga Naib Presiden Umno Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Turut serta Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai, Ketua Penerangan Umno Datuk Ahmad Maslan, Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin, Ketua Wanita Umno Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dan Pengerusi BN Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed.
Mat Razi ialah bekas penolong pegawai pendidikan daerah Tumpat dan juga Anggota Jawatankuasa Umno Bahagian Tumpat.
Calon PAS, Wan Rosdi, 56, pula yang berpakaian baju Melayu berwarna hijau diiringi Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu, Naib Presiden PKR Tian Chua, Naib Presiden PKR Shamsul Iskandar Mohd Akin, Ketua Penerangan PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan Pesuruhjaya PAS Kelantan Datuk Ahmad Yakob, bersama lebih 2,000 penyokong.
Wan Rosdi ialah setiausaha PAS Tumpat dan seorang kontraktor binaan.
Sementara itu, Izat Bukhary, 47, bekas pensyarah Politeknik tiba bersama beberapa penyokongnya ke pusat penamaan calon tersebut pada pukul 8 pagi.
Izat Bukhary yang berpakaian baju Melayu berwarna hitam pernah bertanding di DUN ini pada pilihan raya umum ke-13 lalu juga sebagai calon Bebas, dan hilang wang pertaruhan apabila hanya memperoleh 65 undi.
Proses penamaan calon berjalan lancar dengan kawalan ketat oleh pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam keadaan cuaca cerah.
Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian penyandangnya Datuk Noor Zahidi Omar, 57, daripada BN, akibat kanser hati pada 20 Ogos lepas.
Sejumlah 24,039 pemilih berdaftar terdiri daripada 23,929 pemilih biasa, 109 pemilih awal dan seorang pengundi tidak hadir luar negara (PTH) layak mengundi pada PRK itu.
Pengundian awal akan diadakan 21 Sept manakala pengundian ditetapkan 25 Sept.
Pada pilihan raya umum lepas, Allahyarham Noor Zahidi mengalahkan calon PKR Saharun Ibrahim dan calon Bebas Izat Bukhary dengan majoriti 1,736 undi.
-- BERNAMA

Via Blogger PC Edisen

Enjoice...Sharing is power!!!

Ping your blog, website, or RSS feed for Free


Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Jelly Beans

Kitab Digital Sekolah Agama Kerajaan Negeri Johor

SPM 2018 Result : Analisa & Ranking SBP