mknace unlimited™|The Colours of Life

Welcome to a small world around me and a simple life of mine in full colours. Together we share the beauty of the world. Sharing since '04 on fotopages, blogger on '07.

mknace unlimited™|The Colours of Life

With warmest regards and wishes joy for all.

mknace unlimited™|The Colours of Life

Kufic square art practitioner.

mknace unlimited™|The Colours of Life

Some of the figurines as the hobbies of collecting them.

mknace unlimited™|The Colours of Life

All of us | the colours of life.

Memaparkan catatan dengan label TEKS UCAPAN. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label TEKS UCAPAN. Papar semua catatan

Selasa, 9 Ogos 2016

MAJLIS PELANCARAN LAPORAN TAHUNAN 2015 PELAN PEMBANGUNAN PENDIDIKAN MALAYSIA (PPPM) 2013-2025


MAJLIS PELANCARAN LAPORAN TAHUNAN 2015 PELAN PEMBANGUNAN PENDIDIKAN MALAYSIA (PPPM) 2013-2025

Majlis berlangsung pada 9 OGOS 2016 (Selasa) bertempat di Auditorium Parcel E, Putrajaya. Pagi tadi siap ada live stream di youtube. Sempat tengok jap. Nak tengok balik dah offline. Boleh nengok kat url ni https://www.youtube.com/watch?v=wtzmEwfgDqg

Berikut dikongsikan teks ucapan dan slaid berkaitan :


---
#terbaeekkk ‎#kipidap #‎mknaceunlimited‬ #‎mknace‬ ‎#blogger‬ #‎photography‬ #‎photoblog‬ ‎#‎SJCAM‬ ‎#SJ4000‬ #‎Asus‬ #‎Zen4‬ ‎#Samsung‬ ‎#GalaxyCamera ‎#altek ‬#‎cubic‬ #love‬ ‎#followme‬ #‎beautiful‬ #‎blogoftheday‬ #fun‬ #like‬‎ #life‬ #colorful‬‎ #photooftheday‬ #‎MyExperience #‎mknaceunlimited,‬ #‎mknace‬, ‎#blogger,‬ #‎photography,‬ #‎photoblog,‬ #‎MyExperience‬,

Rabu, 12 Ogos 2015

TEKS UCAPAN YANG BERHORMAT DATO’ SERI DIRAJA MAHDZIR BIN KHALID MENTERI PENDIDIKAN MALAYSIA SEMPENA KONVENSYEN PENDIDIKAN KEBANGSAAN KE-21 DAN PERSIDANGAN PERWAKILAN KEBANGSAAN KE-33 GABUNGAN MAJLIS GURU BESAR MALAYSIA (GMGBM) TAHUN 2015

TEKS UCAPAN YANG BERHORMAT DATO’ SERI DIRAJA MAHDZIR BIN KHALID MENTERI PENDIDIKAN MALAYSIA SEMPENA KONVENSYEN PENDIDIKAN KEBANGSAAN KE-21 DAN PERSIDANGAN PERWAKILAN KEBANGSAAN KE-33 GABUNGAN MAJLIS GURU BESAR MALAYSIA (GMGBM) TAHUN 2015


BERTEMPAT DI DE BARON RESORT, PULAU LANGKAWI, KEDAH
11 OGOS 2015 (SELASA)

“GURU BESAR: MEMBINA ILMU MENYEMPURNAKAN AKHLAK”

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته, Salam Sejahtera dan Salam 1Malaysia

Terima Kasih Saudara/Saudari Pengacara Majlis,

Yang Berhormat Dato’ Haji Tajul Urus bin Haji Mat Zain
Exco Pendidikan, Pengangkutan dan Perumahan, Kerajaan Negeri Kedah Darul Aman

Yang Berbahagia Dato' Sri Dr. Khair bin Mohamad Yusof
Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia
Kementerian Pendidikan Malaysia

Yang Berusaha Tuan Haji Mohamad Jamil bin Md. Noh
Timbalan Pengarah
Jabatan Pendidikan Negeri Kedah Darul Aman,

Pengarah Bahagian Kementerian Pendidikan Malaysia,
Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian,
Pegawai-pegawai Jabatan Pendidikan Negeri,
Pegawai-pegawai Pendidikan Daerah,
Yang DiPertua Gabungan Majlis Guru Besar Malaysia (GMGBM),
Wakil Majlis Pengetua Sekolah Menengah, Barisan Exco dan Pegawai GMGBM,

Dato'-Dato', Dif-dif Jemputan, Tuan-tuan, Puan-puan dan warga pendidik yang saya hormati sekalian.

PENDAHULUAN

Alhamdulillah, bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana berkat izin dan limpah kurnia-Nya dapat kita hadir di Dewan De Baron Resort, Langkawi ini sempena Konvensyen Pendidikan Kebangsaan ke-21 dan Persidangan Kali ke-33 Gabungan Majlis Guru Besar Malaysia Tahun 2015. Saya merakamkan ucapan penghargaan dan setinggi-tinggi tahniah kepada Jawatankuasa Pengelola yang diterajui oleh Majlis Guru Besar Negeri Kedah dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Kedah Darul Aman atas penganjuran konvensyen selama empat hari yang bertemakan “Guru Besar: Membina Ilmu Menyempurnakan Akhlak”.

2.      Sesungguhnya, program tahunan Gabungan Majlis Guru Besar Malaysia (GMGBM) ini mencerminkan kesepakatan dan komitmen GMGBM terhadap peranan dan sumbangan para guru besar yang menjadi tulang belakang dalam mendidik anak bangsa bermula di peringkat prasekolah dan rendah. Kehadiran tuan/puan ini jelas membuktikan sokongan, dokongan dan semangat untuk melestarikan bidang pendidikan secara holistik demi memartabatkan sistem pendidikan negara. Saya menyokong usaha murni GMGBM menjadikan konvensyen dan persidangan ini sebagai satu wadah ke arah mengubah peranan guru besar sebagai pengurus sekolah secara tradisional kepada pemimpin organisasi yang sentiasa peka dengan perkembangan dunia pendidikan. Guru besar juga perlu peka dengan dasar transformasi yang diilhamkan oleh kepimpinan negara dan Kementerian Pendidikan Malaysia. Perkongsian ilmu dan kerjasama sebeginilah yang menjadi daya penggerak bagi menjamin kualiti pendidikan terus mencapai tahap cemerlang. Syabas dan tahniah saya ucapkan.

3.      Pada kesempatan ini juga, saya ingin melahirkan rasa penuh kesyukuran atas kepercayaan dan amanah yang diberikan oleh tampuk kepimpinan negara untuk saya menerajui kementerian ini dengan kerjasama padu seluruh warga Kementerian Pendidikan Malaysia. Semestinya dasar pendidikan sedia ada kekal relevan dan akan diteruskan dengan pengubahsuaian mengikut keperluan semasa. Seperti yang telah saya nyatakan perkara yang perlu diutamakan sekarang ini adalah menyelesaikan rungutan para guru yang membabitkan kerja-kerja di luar tugasan hakiki mereka. Kementerian Pendidikan khususnya Bahagian Pengurusan Sumber Manusia sedang berusaha mengatasi masalah beban kerja yang ditanggung oleh 420,000 guru di seluruh negara. Sehingga kini, KPM telah menempatkan pembantu guru di sekolah melalui projek rintis di negeri Kedah dan Melaka bagi memastikan hal ini tidak menjejaskan tugasan hakiki mereka sebagai pendidik.

“GURU BESAR: MEMBINA ILMU, MENYEMPURNAKAN AKHLAK”

YB Dato', Datin, Tuan-tuan dan Puan-puan yang saya hormati sekalian,

4.      Tema konvensyen pendidikan ini yang selari dengan tema hari guru tahun 2015 dilihat amat sinonim dengan jiwa warga pendidik iaitu "GURU BESAR: MEMBINA ILMU MENYEMPURNAKAN AKHLAK". Hal ini bersesuaian dengan tanggungjawab para guru besar yang memainkan peranan penting sebagai ketua atau peneraju institusi pendidikan bagi menyempurnakan akhlak murid serta membentuk insan seimbang dan berperibadi unggul. Bahkan sebagai arkitek sosial, tuan-tuan dan puan-puan sememangnya memikul tugas besar, bukan sekadar memimpin para guru dalam memberi pendidikan dan menyampaikan ilmu, malah dipertanggungjawabkan untuk merealisasikan transformasi pendidikan yang dicita-citakan negara. Pembinaan tamadun ilmu bakal terhasil apabila ilmu diberikan status sebagai ‘the highest good' dalam pembentukan peradaban insan sejagat. Budaya ilmu yang sebenar akan memberi peluang yang saksama kepada semua warga pendidikan untuk mengejar dan mengamalkan ilmu dalam kehidupan.

5.      Dalam menghadapi arus kemajuan dan cabaran abad ke-21, keperluan terhadap pembentukan akhlak mulia semakin mendesak akibat permasalahan sosial yang wujud seiring dengan perkembangan ekonomi dan kepesatan kemajuan dunia. Kepincangan membentuk masyarakat berakhlak mulia samalah seperti membuat kerosakan pada muka bumi ini. Dalam konteks ini, semua guru besar seharusnya mengambil iktibar dengan mencontohi asas yang ditunjukkan oleh Nabi Muhammad SAW iaitu membentuk akhlak mulia melalui sabda Baginda yang bermaksud: "Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlak mulia”. (Hadis riwayat Ahmad dan Al-Hakim). Kepentingan akhlak mulia ini diperjelaskan lagi oleh Baginda Rasulullah SAW dalam satu hadis lain yang bermaksud: "Tidak ada sesuatu yang lebih berat timbangannya selain daripada akhlak yang baik." (Hadis riwayat Abu Daud dan at-Tirmizi).

6.      Pada hemat saya, tema konvensyen pada kali ini juga selaras dengan hasrat murni warga kementerian pendidikan menyempurnakan keberhasilan berpandukan enam aspirasi murid seperti yang termaktub dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013 - 2025 merangkumi pengetahuan, kemahiran berfikir, kemahiran memimpin, kemahiran dwibahasa, etika dan kerohanian, dan identiti nasional yang perlu ada pada setiap murid. Modal insan yang dibangunkan dalam negara kita ini tidak seharusnya dilengkapkan dengan ilmu pengetahuan dan kemahiran semata-mata, tetapi hendaklah diperkukuh dengan akhlak terpuji dan nilai-nilai murni. Oleh itu, semua guru besar di Malaysia perlu mempunyai aspirasi yang sama untuk membangunkan sistem pendidikan berkualiti dan bertaraf dunia dengan memikul tanggungjawab melahirkan modal insan cemerlang dan bersahsiah tinggi tanpa berorientasikan peperiksaan semata-mata.

7.      Sejajar dengan itu, saya menyeru semua guru besar agar terus berpegang kepada satu agenda bagi memastikan kejayaan PPPM 2013 - 2025 dan juga berpegang teguh kepada etika profesion keguruan dalam melahirkan murid yang seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek seperti yang dihasratkan dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Jelas di sini bahawa aspek akhlak, budi pekerti, integriti, akauntabiliti, amanah dan nilai-nilai murni adalah komponen yang amat penting dalam membina negara bangsa dan mencapai kemajuan ekonomi lestari. Sudah tentu amat penting bagi Malaysia melakar kejayaan sistem pendidikan yang dibangunkan bagi memenuhi keperluan semua rakyat dan menyediakan negara untuk bersaing di persada antarabangsa.

Para hadirin yang saya hormati sekalian,

8.      Kementerian Pendidikan bermatlamat menghasilkan kumpulan murid terbaik bagi mendepani cabaran abad ke-21. Dalam usaha menggerakkan agenda pembangunan negara seiring dengan pelaksanaan Program Transformasi Kerajaan, tuan/puan diberi amanah berada di barisan hadapan untuk memberi penerangan tentang dasar dan hasrat negara kepada ibu bapa dan masyarakat. Oleh itu, saya sekali lagi menyeru semua guru besar supaya terus berusaha memainkan peranan sebagai pembina ilmu, penyubur perpaduan, pembangun sahsiah malah sebagai jurutera sosial yang mampu menggerakkan proses transformasi bagi mencorakkan landskap sistem pendidikan negara. Antara cara terbaik membentuk akhlak mulia ialah dengan menunjukkan teladan yang baik. Guru besar sebagai pemimpin khususnya perlu memiliki sifat amanah, dedikasi, komited pada tugas, ikhlas, sanggup berkorban masa dan tenaga. Tuan/puan juga perlu bersikap suka membantu dan membimbing serta berperanan sebagai suri teladan kepada para guru, anggota pelaksana dan murid di bawah pimpinan tuan/puan.

9.      Saya pasti peranan tuan/puan semakin mencabar dalam keadaan alaf baharu yang diwarnai dengan kebangkitan revolusi maklumat dan multimedia yang amat besar pengaruhnya terhadap penyebaran sistem maklumat. Sebagai guru besar, peranan tuan/puan bukan sahaja memberi impak besar terhadap pembinaan minda generasi muda, malah amat penting bagi mencorakkan gaya hidup yang unik dalam kalangan mereka. Peranan tuan/puan sebagai fasilitator dalam konteks budaya pendidikan bestari seharusnya mampu membangunkan sahsiah murid melalui tapisan kandungan maklumat dalam wahana teknologi terkini.

10.   Umumnya, guru ialah insan terpilih yang memainkan peranan penting dalam memperkasa dan membina ilmu serta penerapan nilai murni demi menyempurnakan akhlak murid. Proses pencarian dan pembinaan ilmu harus dijadikan amalan penerokaan yang tidak bernoktah. Menjelang tahun 2020, unjuran penduduk Malaysia adalah seramai 34.2 juta orang dan golongan yang berada dalam lingkungan umur antara 15 hingga 64 tahun adalah seramai 26.2 juta orang. Yang pastinya, guru, murid dan kita semua berada dalam lingkungan julat tersebut, justeru, kemahiran dan ilmu perlu dipertingkatkan melalui penyemaian budaya ilmu yang boleh diterokai melangkaui batasan usia, masa, mahupun tempat.

11.    Saya percaya konvensyen dan persidangan ini dapat menjadi platform yang berkesan dalam membudaya dan memperkasa pembelajaran sepanjang hayat bagi semua warga Kementerian Pendidikan, khususnya guru besar yang merupakan golongan yang sudah berkerjaya mantap. Seorang guru besar yang profesional adalah guru besar yang berilmu, bertanggungjawab, mempunyai kemahiran dan ketrampilan yang baik serta memiliki sahsiah yang boleh menjadi contoh teladan kepada warga sekolah. Sememangnya transformasi ke arah "Guru Besar: Membina Ilmu Menyempurnakan Akhlak" adalah selari dengan dasar Malaysia yang ingin menjadi negara maju dan melahirkan generasi yang berilmu, berkebolehan dan berakhlak mulia. Seterusnya dapat menyerlahkan keseimbangan dari sudut keupayaan intelektual dan nilai kerohanian setiap murid.

TRANSFORMASI PENDIDIKAN NEGARA

YB Dato’, Datin, Tuan-tuan dan Puan-puan yang saya hormati sekalian,

12.   Bagi menjayakan transformasi, idea baharu dan pendekatan kreatif amat diperlukan. Inilah yang sedang dilaksanakan kerajaan pimpinan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri bermula dengan Gagasan 1Malaysia: Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan, yang menjelmakan program transformasi, iaitu Pelan Transformasi Kerajaan, Program Transformasi Ekonomi dan Pelan Transformasi Politik. Saya difahamkan melalui konvensyen ini, para guru besar akan diberi pendedahan dengan ilmu dan pengetahuan yang jelas tentang konsep Transformasi Pendidikan Negara, mempertingkatkan keupayaan memimpin dan mengurus secara profesional, membantu guru besar dalam usaha melonjakkan sekolah ke arah ’Sekolah Berprestasi Tinggi’ dan memartabatkan profesionalisme guru besar.

13.    Selari dengan Dasar Transformasi Pendidikan Negara, guru besar perlu meningkatkan kefahaman tentang hala tuju negara dalam bidang pendidikan untuk meningkatkan keberkesanan pendidikan sekolah rendah sebagai pemangkin kepada objektif dan hala tuju Kementerian Pendidikan Malaysia. Bersesuaian dengan tema konvensyen, sebagai guru besar yang merupakan tonggak pendidikan rendah, tuan/puan perlu memainkan peranan yang proaktif dalam menjayakan transformasi ini. Pengurusan sekolah masa kini sememangnya mencabar dengan pelbagai isu dan perkembangan baharu dalam sistem pendidikan. Justeru, tuan/puan perlu sentiasa bersedia dengan pelbagai langkah dan pendekatan untuk mengatasi cabaran dan halangan yang dilalui sepanjang melaksanakan tugas mentadbir sekolah.

14.    Bagi mencapai matlamat transformasi pendidikan, Kerajaan telah meluaskan akses kepada pendidikan berkualiti dan berkemampuan menerusi empat sub NKRA iaitu Prasekolah, LINUS, Sekolah Berprestasi Tinggi dan Tawaran kepada Pengetua/Guru Besar. Tawaran Baharu ini atau Bai’ah diperkenalkan sebagai pengiktirafan kepada pengetua/guru besar dalam usaha melonjakkan kecemerlangan sekolah iaitu menawarkan ganjaran yang menarik kepada pengetua/guru besar yang melepasi sasaran serta membantu mereka yang lemah dalam mencapai sasaran tersebut. Penilaian terhadap pencapaian pemimpin sekolah dibuat berasaskan kombinasi pencapaian akademik, kokurikulum dan elemen-elemen lain yang memberi impak dalam kemenjadian murid. Tahniah dan syabas saya ucapkan kepada tuan/puan yang telah berjaya mendapat pengiktirafan seperti yang saya nyatakan.

15.    Transformasi sistem pendidikan negara menerusi PPPM 2013 - 2025 turut menekankan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) bagi menjana pemikiran murid daripada peringkat akar umbi dan diharap KBAT dapat melahirkan murid yang berdaya saing menjelang abad ke-21. Dijangka peratusan soalan pemikiran aras tinggi akan ditambah sebanyak 50 peratus dalam peperiksaan UPSR dan peperiksaan awam lain menjelang 2016 nanti. Selain itu, dengan KBAT saya harap murid dapat menilai iaitu membuat pertimbangan berdasarkan kriteria dan standard melalui kaedah memeriksa dan mengkritik selain mencipta sesuatu atau struktur yang baharu. PPPM 2013 - 2025 yang memberi penekanan khusus terhadap aspirasi akal dan budi juga dinilai melalui transformasi besar-besaran dalam sistem Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) sebagai teras pembangunan murid secara holistik.  Dalam konteks ini, guru besar berperanan memberi pemahaman yang telus kepada guru yang ditadbir dan juga waris murid sebagai persediaan di peringkat sekolah rendah. Saya begitu yakin dengan kredibiliti para guru besar di hadapan saya ini untuk menjadi penyalur maklumat yang baik dan pencetus transformasi pendidikan negara seperti yang disarankan.

YB Dato’, Datin, Tuan-tuan dan Puan-puan yang dihormati sekalian,

16.    Sebagaimana kita sedia maklum, pengumuman yang dibuat semasa Sambutan Perayaan Hari Guru Peringkat Kebangsaan di Jitra semestinya memberi khabar gembira kepada tuan/puan sebagai pemimpin sekolah. Langkah Kerajaan menambahbaik Elaun Guru Besar sedia ada yang dinaikkan berkuatkuasa 1 Julai 2015 dibuat kerana guru besar memainkan peranan yang amat penting dalam memacu kecemerlangan sesebuah sekolah bertepatan dengan aspirasi PPPM 2013 - 2025. Peranan dan kompleksiti tugas yang semakin mencabar dalam mendokong transformasi sistem pendidikan memerlukan kewibawaan dan kreativiti dalam kepimpinan guru besar. Saya berharap agar insentif ini dapat mendorong tuan/puan selaku pemimpin sekolah untuk terus meningkatkan kualiti kepimpinan bagi menjamin kecemerlangan sekolah dan keberhasilan murid.

17.  Sesungguhnya usaha merealisasikan pembudayaan ilmu dan penyempurnaan akhlak bukanlah kerja sehari, seminggu, sebulan, setahun mahupun sedekad. Ini adalah usaha berterusan dan boleh dilaksanakan melalui penjanaan idea dan program baharu yang membentuk strategi yang cekap, berkesan dan mempunyai nilai tambah. Sehubungan dengan itu, dalam kepesatan ekonomi zaman millenium ini, elemen kreativiti dan inovasi harus ditekankan sejak di bangku sekolah agar Malaysia dapat melahirkan tenaga kerja berkemahiran dan terus berdaya saing untuk berdiri sama tinggi dengan negara-negara maju di dunia.

18.    Saya yakin konvensyen ini dapat meningkatkan kesedaran tentang kepentingan membina ilmu dan menyempurnakan akhlak dalam kalangan pendidik di samping turut memberi pendedahan kepada guru besar untuk mencetuskan idea baharu tentang pendekatan pengajaran dan pembelajaran (PdP) yang mampu menghasilkan murid yang berilmu pengetahuan dan berakhlak mulia. Para pembentang pula diharap dapat berkongsi pengalaman dan amalan terbaik tentang pelbagai strategi ke arah mewujudkan persekitaran pembelajaran yang kondusif bagi membolehkan para peserta mendapatkan pelbagai input dan pandangan tentang perkara yang dibincangkan. Konvensyen ini amat bertepatan dengan peranan guru besar bagi mencetuskan idea bernas dalam membimbing PdP guru-guru di sekolah. Melentur buluh kata orang, biarlah dari rebungnya. Sesungguhnya hijrah minda atau anjakan paradigma, berfikir di luar kotak kebiasaan, berfikir secara lateral atau strategi lautan biru perlu digalakkan dalam kalangan murid bagi menjana minda kreatif serta memiliki kemahiran berfikir aras tinggi.

19.   Sebelum mengakhiri bicara, besarlah harapan saya agar konvensyen dan persidangan yang diadakan ini dapat membakar semangat tuan/puan untuk mengintegrasi hasil positif dan mengadaptasi penemuan terbaharu bagi memantapkan lagi sistem pendidikan negara dan melancarkan penyampaian perkhidmatan kerajaan. Di samping itu, manfaat yang diperoleh melalui penganjuran konvensyen pendidikan ini dapat membina jaringan sokongan dan hubungan intelektual dua hala dengan warga pendidik di peringkat akar umbi hinggalah kepada pihak pengurusan tertinggi.

20.   Akhir kata, saya sekali lagi merakamkan ucapan ribuan terima kasih dan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang bertungkus-lumus menjayakan konvensyen pendidikan dan persidangan GMGBM pada kali ini. Saya juga menyeru kerjasama semua pihak khususnya warga KPM supaya terus memberi komitmen padu dalam membudayakan pembinaan ilmu dan penyempurnaan akhlak melalui perkongsian ilmu, perancangan yang komprehensif dan berterusan demi memartabatkan sistem pendidikan negara agar menjadi sistem yang terunggul di dunia.

Dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, sukacitanya saya merasmikan Konvensyen Pendidikan Kebangsaan ke-21 dan Persidangan Kali ke-33 Gabungan Majlis Guru Besar Malaysia Tahun 2015. Sekian, Wabillahi Taufik Wal-hidayah, Wassalamu'alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Yang Berhormat Dato’ Seri DiRaja Mahdzir Khalid
Menteri Pendidikan Malaysia
Kementerian Pendidikan Malaysia
9 Ogos 2015

Muaturun fail penuh di sini

Via Blogger PC Edisen

Enjoice...Sharing is power!!!

Ping your blog, website, or RSS feed for Free


Selasa, 28 Julai 2015

TEKS UCAPAN YAB TAN SRI DATO’ HAJI MUHYIDDIN BIN HAJI MOHD. YASSIN TIMBALAN PERDANA MENTERI MERANGKAP MENTERI PENDIDIKAN MALAYSIA BAGI MAJLIS PELANCARAN LAPORAN TAHUNAN 2014 PELAN PEMBANGUNAN PENDIDIKAN MALAYSIA 2013-2025

TEKS UCAPAN YAB TAN SRI DATO’ HAJI MUHYIDDIN BIN HAJI MOHD. YASSIN TIMBALAN PERDANA MENTERI MERANGKAP MENTERI PENDIDIKAN  MALAYSIA BAGI MAJLIS PELANCARAN LAPORAN TAHUNAN 2014 PELAN PEMBANGUNAN PENDIDIKAN MALAYSIA 2013-2025


ISNIN, 27 JULAI 2015
DEWAN KOMPLEKS SERI BINTANG
CHERAS, KUALA LUMPUR

SMK SERI BINTANG UTARA
SK SERI BINTANG UTARA
SMK SERI BINTANG SELATAN
SMK SERI BINTANG SELATAN

Bismillahhirramanirrahim

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam Sejahtera dan Salam 1Malaysia,

Salutasi

PENDAHULUAN

Alhamdulillah, marilah kita memanjatkan rasa syukur ke hadrat Allah S.W.T kerana dengan limpah dan kurnia-Nya, dapat kita bersama-sama dalam Majlis Pelancaran Laporan Tahunan 2014, Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025.  Dalam majlis ini izinkan saya terlebih dahulu mengucapkan SELAMAT HARI RAYA AIDIL FITRI kepada semua hadirin dan hadirat sekalian.  Saya juga ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan di atas usaha gigih warga pendidik dan warga Kementerian Pendidikan dalam meneruskan langkah untuk melaksanakan PPPM.  Dan pada hari ini saya berasa bangga kerana dapat merealisasikan Anjakan 11 PPPM dengan  menyampaikan laporan tahunan yang kedua bagi pelaksanaan PPPM.
Sebelum itu, saya merakamkan ucapan terima kasih kepada Pengetua-Pengetua SMK Seri Bintang Utara dan SMK Seri Bintang Selatan, serta Guru Besar SK Seri Bintang Utara dan SK Seri Bintang Selatan yang telah memberi ruang dan kesempatan untuk sama-sama kita berhimpun di sini bagi berkongsi pencapaian insiatif PPPM yang telah kita usahakan bersama-sama.
Para hadirin yang saya hormati.

Sebagaimana yang telah kita sedia maklum, Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 telahpun lebih dua tahun dilaksanakan.  Saya merasa bangga dengan komitmen yang ditunjukkan oleh bukan sahaja warga pendidikan, tetapi juga ibu bapa, komuniti dan sektor swasta dalam merealisasikan PPPM.  Dalam dua tahun pertama ini, kita telah melihat usaha bersepadu dijalankan oleh pelbagai pihak berkepentingan dalam mencapai keberhasilan murid. Transformasi pendidikan ini adalah satu proses di mana murid, guru, pemimpin sekolah dan masyarakat saling bergantung untuk memastikan kita mencapai Enam Aspirasi Murid; dan menjadi tanggungjawab Kementerian Pendidikan untuk memastikan sokongan berterusan diberikan bagi mencapai Lima Aspirasi Sistem yang telah kita tetapkan.

Dalam masa kita mengiktiraf pencapaian melalui 14 inisiatif utama  yang dilaksanakan, kita juga sedar usaha perlu dipergiat untuk mencapai keberhasilan Gelombang 1 ini yang akan berakhir akhir tahun ini.  Asas yang kukuh telah kita letakkan pada 2013 untuk kita melangkah ke tahun seterusnya, dan pada 2014 usaha diperhebat dan digalas bersama-sama – secara kolektif dan kolaboratif dengan semua pihak berkepentingan. Tetapi dalam pelaksanaan ini, kita bukan sahaja melihat kejayaan secara kuantitatif melalui pencapaian KPI, tetapi juga secara kualitatif melalui amalan terbaik yang telahpun dilaksanakan oleh semua pihak berkepentingan.

Para hadirin yang saya hormati,

Laporan Tahunan PPPM ini diterbitkan bukan hanya sebagai dokumen rujukan tetapi untuk memberi pencerahan yang sebenar dan telus kepada rakyat dalam usaha Kerajaan meletakkan kualiti pendidikan negara pada peringkat yang boleh dibanggakan. Setelah dua tahun pelaksanaan PPPM, kita telah mula melihat keberhasilan inisiatif yang signifikan secara lebih holistik berteraskan Aspirasi Sistem bagi mencapai Aspirasi Murid, selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan.
Para hadirin sekalian,

PENINGKATAN AKSES KEPADA PENDIDIKAN BERKUALITI

Dalam hal ini, pada 2014, suka saya mengumumkan peningkatan enrolmen prasekolah daripada 81.71% kepada 84.21%.  Kejayaan ini adalah hasil usaha Kementerian melalui pelbagai inisiatif peningkatan enrolmen prasekolah seperti pemberian Geran Prasekolah Swasta dan  insentif kepada keluarga berpendapatan rendah dan murid berkeperluan khas berjumlah RM36.77 juta pada tahun lepas.  Dengan kerjasama agensi berkaitan,  sebanyak lebih 1,273 kelas prasekolah telah dibuka pada 2014, membawa kepada jumlah kelas prasekolah di seluruh negara kepada 42,866.
Dari segi akses, Kementerian terus melipat gandakan usaha untuk memartabatkan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional atau TVET selaras dengan Program Transformasi Vokasional yang dilancarkan pada 2012.  Pada 2014, seramai 1,961 murid mendaftar dalam Pendidikan Asas Vokasional (PAV) yang ditawarkan pada peringkat menengah rendah kepada murid berusia 13 hingga 15 tahun.  Jumlah ini menunjukkan peningkatan sebanyak 14% daripada tahun sebelumnya.  Sebanyak 345 murid kohort pertama kini sudahpun menamatkan program ini pada 2014 dan layak mendapat Sijil Kemahiran Malaysia Tahap 1 dan 2, yang membolehkan mereka untuk menyambung pelajaran di Kolej Vokasional atau Institut Latihan Kemahiran Awam atau Swasta.
Pada peringkat menengah atas pula, Kementerian telah memperkenalkan dua program vokasional iaitu Diploma Vokasional dan Sijil Kemahiran Malaysia. Pada 2014, seramai 22,096 murid lepasan PMR mendaftar untuk program vokasional.  Kementerian turut telah menjalankan usaha sama dengan Institut Latihan Kemahiran Awam dan Swasta bagi menempatkan pertambahan murid aliran vokasional ini.  Kolej Vokasional ini juga menempatkan lebih 775 murid berkeperluan khas, meningkat daripada 518 orang pada tahun sebelumnya. Kementerian juga telah menandatangani Memorandum Persefahaman dengan 90 syarikat lagi pada 2014 bagi memastikan penempatan untuk lepasan Kolej Vokasional Kementerian, menjadikan jumlah keseluruhan kepada 208 syarikat.
Perubahan yang ketara dalam pendidikan lepas menengah pada tahun 2014 adalah Transformasi Tingkatan 6, yang menyaksikan penubuhan lima Pusat Tingkatan 6 di Johor, Kuala Lumpur, Kedah, Selangor dan Sabah.  Seramai 1,236 murid kini mengikuti pengajian di Pusat tersebut dalam usaha Kementerian meningkatkan enrolmen Tingkatan 6 sebagai salah satu alternatif kepada pendidikan lepas menengah

Para hadirin yang dihormati sekalian,

MENINGKATKAN KUALITI DALAM PENDIDIKAN

Peningkatan kualiti sememangnya menjadi teras dalam apa jua inisiatif yang dijalankan dalam PPPM. Pada 2014, bagi program LINUS 2.0, daripada 1,313,752  murid yang melalui proses saringan, sebanyak 98.7% murid Tahun 3 berjaya menguasai literasi asas Bahasa Melayu, 99.0% menguasai numerasi asas dan 78.3% murid Tahun 2 berjaya menguasai literasi asas Bahasa Inggeris. Selaras dengan usaha meningkatkan kualiti sejajar dengan sistem pendidikan terbaik pada peringkat antarabangsa, aplikasi Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) diterapkan secara menyeluruh di dalam kurikulum, pedagogi dan pentaksiran.  Untuk itu, seramai 15,768 guru Sains, 16,123 guru Matematik dan 50,957 guru subjek lain telah melalui latihan pedagogi dan pentaksiran untuk KBAT. Pada tahun lepas juga, sebanyak 62 modul intervensi TIMSS dan PISA dibangunkan sebagai langkah jangka panjang bagi memastikan standard kurikulum dan penilaian kebangsaan adalah setara dengan TIMSS dan PISA.

Peningkatan kompetensi guru Bahasa Inggeris telah diteruskan sebagai kesinambungan usaha yang dijalankan pada 2013.  Seramai 10,502 guru Bahasa Inggeris telah dilatih semula di bawah Programme for English Language Teachers atau ProELT. Usaha yang lebih berfokus untuk meningkatkan profisiensi Bahasa Inggeris dilaksanakan dengan mengenal pasti 1,191 sekolah hotspot Bahasa Inggeris iaitu sekolah yang berada di bawah purata kebangsaan untuk markah lulus Bahasa Inggeris.  Program intervensi merangkumi Komponen dalam Bilik Darjah dengan bantuan SISC+ dan Ketua-Ketua Panitia, manakala bagi Komponen Luar Bilik Darjah ataupun ko-kurikulum pula, Kementerian telah menjalankan usaha sama dengan pelbagai agensi termasuk Kedutaan Amerika Syarikat dan akademi tempatan.

Bagi guru dalam perkhidmatan, Kementerian telah melaksanakan Pembangunan Profesionalisme Berterusan atau CPD bagi memastikan guru-guru sentiasa bersedia untuk pembelajaran abad ke-21.  Bagi memartabatkan profesion keguruan seperti yang dihasratkan di bawah Anjakan 4 PPPM, syarat kemasukan guru baharu diperketatkan.  Pada 2014, 100% guru pelatih baharu yang diambil mendapat sekurang-kurangnya 5A di dalam peperiksaan SPM, manakala mereka yang mendaftar untuk program Pengajaran Bahasa Inggeris sebagai Bahasa Kedua atau TESL mendapat gred A untuk subjek Bahasa Inggeris. Kualiti pemimpin sekolah juga menjadi keutamaan kepada Kementerian.  Di bawah inisiatif Piagam Pemimpin, lebih 2000 pemimpin sekolah telah memperolehi sijil National Professional Qualification for Educational Leaders atau NPQEL, dengan 63% daripada mereka memperolehi CGPA 3.75 ke atas. Pelbagai program telah dijalankan bagi memastikan pemimpin pelapis sentiasa bersedia untuk meneruskan kepimpinan sedia ada.

Melalui program Sarana IbuBapa pula, kita dapat melihat sendiri bagaimana ibu bapa, komuniti dan sektor swasta berganding bahu untuk meningkatkan kualiti pendidikan di kawasan masing-masing. Persatuan Ibu Bapa dan Guru atau PIBG SK Taman Megah, Kuala Lumpur sebagai contoh telah membina jaringan global di mana murid mengambil bahagian dalam program pertukaran budaya di luar negara. SJKC Union Pulau Pinang pula membuktikan kerjasama utuh antara alumni, pihak swasta dan sekolah dapat membantu menyediakan infrastruktur yang canggih dengan setiap bilik darjah dilengkapi Smart TV.  Ini adalah antara ribuan sekolah yang telah menyahut seruan Anjakan 9  PPPM ini.  Tahniah diucapkan kepada semua pihak; terutama Jurulatih Pelibatan Ibubapa dan Komuniti Kebangsaan (PIBK) yang ada bersama-sama kita pada hari ini, mahupun di luar sana.

Para hadirin sekalian,

EKUITI DALAM PENDIDIKAN

Kementerian sentiasa komited untuk merapatkan jurang antara Bandar dan luar bandar sebagaimana yang dijanjikan di dalam PPPM.  Menerusi Program Transformasi Daerah, kita berbangga dengan kejayaan kita mengurangkan sekolah-sekolah Band 6 dan 7 daripada 1.39% pada 2013 kepada 0.96% pada 2014; manakala sekolah-sekolah di dalam Band 1 dan 2 pula meningkat kepada 36.8% pada 2014 berbanding 31.0% pada 2013. Keadaan ini menunjukkan bahawa usaha di bawah Program ini mendatangkan hasil, perubahan peranan Pejabat Pendidikan Daerah atau PPD selaku entiti yang paling hampir dengan sekolah kini lebih menjurus kepada bimbingan dan pementoran. PPD kini lebih bersedia kerana dipantau melalui dashboard dan dialog prestasi juga diadakan secara berkala.  Pada tahun lepas, dialog prestasi juga telah diadakan bersama-sama Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia (KPPM) secara video conferencing.

Ekuiti dalam pendidikan juga bermakna memastikan murid berkeperluan khusus, terutamanya masyarakat Orang Asli dan murid berkeperluan khas diberi peluang untuk mendapat pendidikan berkualiti.  Bagi masyarakat Orang Asli, enrolmen murid meningkat kepada 41,207 pada 2014, berbanding 39,149 pada tahun sebelumnya.  Pelan Transformasi Orang Asli 2013-2017 telah dilaksanakan untuk memastikan transformasi secara menyeluruh melibatkan bukan sahaja murid tetapi infrastruktur dan pelibatan komuniti. Kementerian juga komited untuk meningkatkan peluang pendidikan bagi murid berkeperluan khas.  Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) dan Program Pendidikan Inklusif dilaksanakan untuk memberi peluang murid ini belajar dalam arus perdana.  Daripada 58,006 murid berkeperluan khas yang berdaftar, 10,700 murid terlibat dalam Program Pendidikan Inklusif. Jumlah sekolah yang menawarkan program ini juga telah meningkat kepada 2,798 berbanding 1,742 sekolah pada tahun sebelumnya.

Para hadirin yang dimuliakan,

MEMUPUK PERPADUAN DALAM PENDIDIKAN

Perpaduan merupakan salah satu Aspirasi Sistem yang memerlukan usaha bersepadu untuk dicapai. Dalam hal ini, Kementerian telah meningkatkan usaha menerapkan perpaduan melalui Rancangan Integrasi Murid Untuk Perpaduan (RIMUP) yang dijalankan di 3,011 buah sekolah di seluruh negara.  Antara aktiviti yang dijalankan termasuk pertandingan tarian pelbagai bangsa dan budaya, permainan tradisional, karnival bahasa dan sukan.  Di seluruh negara, sebanyak 20,916 pemimpin sekolah telah dilatih untuk melaksanakan konsep baharu RIMUP.  Kajian yang dijalankan pada tahun 2014 oleh Jemaah Nazir dan Jaminan Kualiti menunjukkan 87.2% murid berinteraksi dengan rakan-rakan mereka daripada bangsa lain di dalam kelas, ketika menjalankan aktiviti kokurikulum dan sukan.  Kita berharap dengan adanya usaha-usaha seperti ini, perpaduan antara kaum akan dapat dijalin dan diperkasakan.

MEMPERTINGKAT KECEKAPAN PENYAMPAIAN PENDIDIKAN

Kementerian sentiasa berusaha untuk memaksimumkan keberhasilan murid bagi setiap Ringgit yang dibelanjakan.  Dari segi peruntukan,  pada 2014, Kementerian telah menyalurkan 23% daripada simpanan bajet bukan emolumen kepada aktiviti yang memberi impak secara langsung kepada keberhasilan murid, daripada sasaran 10% yang ditetapkan.  Dari segi sumber manusia, sebanyak 231 pegawai yang berpotensi telah diprofil, bagi memastikan kesinambungan kepimpinan berkualiti pada semua peringkat.  Selaras dengan pembelajaran abad ke 21, Kementerian telah memastikan 8,884 sekolah di seluruh negara dilengkapi dengan 1BestariNet, manakala 6,623 sekolah dilengkapi dengan internet berkelajuan tinggi. Begitu juga dengan usaha untuk meningkatkan kualiti infrastruktur di sekolah, Kementerian telah menyiapkan 93.92% daripada projek baik pulih.  Namun begitu,  masih banyak lagi sekolah yang perlu ditingkatkan kualiti infrastruktur, khususnya di negeri Sabah dan Sarawak.

Para hadirin sekalian,

PENUTUP

Saya percaya sepanjang pelaksanaan inisiatif PPPM ini, banyak pengajaran dan pengalaman telah diperoleh dan dipelajari oleh Kementerian untuk meningkatkan lagi usaha. Melangkah ke akhir Gelombang 1 tidak bermakna kita boleh memperlahankan rentak kerja.  Malahan kita perlu berusaha dengan lebih gigih dan memberi komitmen padu bagi memastikan peningkatan pencapaian secara berterusan setiap inisiatif transformasi yang telah dirancang.

Selepas dua tahun, kita kini sudah dapat melihat perubahan yang berlaku di dalam bilik darjah. Bukan sahaja susun atur di dalam kelas sudah berubah, tetapi juga selaras dengan pendidikan abad ke-21, peranan guru kini lebih kepada menjadi fasilitator untuk membantu murid mendapatkan maklumat yang tepat dan betul yang begitu mudah didapati di hujung jari.  Aktiviti di dalam kelas juga kini semakin hidup dengan pembentangan dan perkongsian murid, malah murid kini boleh membuat penilaian rakan sebaya dan saling membantu dalam proses pembelajaran.  Sedikit sebanyak kejayaan yang dicapai telahpun saya bentangkan petang ini, dan butiran lengkap pencapaian  berserta langkah-langkah seterusnya bolehlah diteliti oleh para hadirin di dalam laporan yang akan dilancarkan sebentar lagi.

Akhir kata, saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh warga pendidik iaitu guru, pemimpin sekolah, serta pegawai Kementerian, dan ibu bapa di seluruh negara atas sumbangan gigih dan dedikasi dalam menjayakan transformasi pendidikan negara. Terima kasih juga diucapkan kepada semua yang terlibat dalam menjayakan majlis ini dan warga ke empat-empat sekolah  yang turut berkongsi tempat pada hari yang bersejarah ini.
Dengan lafaz Bismillahirahmanirahim, sukacita saya lancarkan Laporan Tahunan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) Sektor Pelajaran bagi 2014.
Sekian, wabillahi taufiq wal hidayah, wassalamu alaikum wbt.


Via Blogger PC Edisen

Enjoice...Sharing is power!!!

Ping your blog, website, or RSS feed for Free


Jumaat, 16 Januari 2015

TEKS UCAPAN OLEH YAB TPM DI MAJLIS PERUTUSAN TAHUN BAHARU 2015 KPM

TEKS UCAPAN OLEH YAB TPM DI MAJLIS PERUTUSAN TAHUN BAHARU 2015 KPM


TEKS UCAPAN
YAB TAN SRI DATO’ HJ MUHYIDDIN HJ MOHD YASSIN
TIMBALAN PERDANA MENTERI
MERANGKAP MENTERI PENDIDIKAN MALAYSIA
DI MAJLIS PERUTUSAN TAHUN BAHARU 2015
KEMENTERIAN PENDIDIKAN MALAYSIA

Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamu’alaikum warahmatullahi wa barakatuh, salam sejahtera dan salam 1Malaysia.

Yang Berhormat Dato’ Seri Idris bin Jusoh
Menteri Pendidikan II

Yang Berhormat Datuk Mary Yap Kain Ching
Timbalan Menteri Pendidikan I

Yang Berhormat Tuan P. Kamalanathan a/l P. Panchanathan
Timbalan Menteri Pendidikan II

YBhg. Tan Sri Dr. Madinah binti Mohamad
Ketua Setiausaha
Kementerian Pendidikan Malaysia

YBhg. Dato’ Seri Ir. Dr. Zaini bin Ujang
Ketua Setiausaha II
Kementerian Pendidikan Malaysia

YBhg. Ketua - Ketua Pengarah

YBhg. Pengerusi-Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti

YBhg. Naib Canselor Universiti-Universiti

YBhg. Tan Sri-Tan Sri/ Dato’ Seri-Dato’Seri/ Datuk-Datuk/

Dato’-Dato’/ Datin-Datin tuan-tuan/ puan-puan dan hadirin yang dihormati sekalian.

1. Alhamdulillah, marilah kita bersama-sama merafakkan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah izin dan kurnia-Nya jua kita dapat bersama-sama menghadiri Majlis Perutusan Tahun Baharu 2015 Kementerian Pendidikan Malaysia pada pagi ini. Masih belum terlambat untuk saya mengucapkan Selamat Tahun Baharu kepada seluruh warga Kementerian Pendidikan, termasuk para pegawai kementerian, guru, pensyarah, mahasiswa, murid dan tidak lupa juga kepada para ibu-bapa di seluruh negara. Saya ingin mengambil kesempatan di awal ucapan saya ini untuk mengucapkan ribuan terima kasih kepada anda semua yang telah berusaha dengan gigih dalam melaksanakan segala tugas yang diamanahkan sepanjang tahun lalu. Dengan ketibaan tahun baharu ini, maka bermulalah lembaran baharu dalam kehidupan kita, termasuk tugas-tugas yang perlu kita laksanakan dan sasaran-sasaran yang mesti kita capai.

Saudara dan saudari yang saya hormati sekalian,

2. Pada penghujung tahun 2014, beberapa buah negeri di negara kita telah dilanda bencana banjir yang agak luar biasa. Bencana ini bukan sahaja telah memusnahkan harta benda, malah menyebabkan kehilangan nyawa selain menjejaskan sesi persekolahan. Saya berasa amat sedih dan dukacita
dengan kehilangan 25 nyawa yang menjadi korban banjir, termasuk dua orang guru kita iaitu Allahyarham Mat Zaik Mohd Yusof dari Sekolah Kebangsaan RKT Seberang Tayor dan Allahyarhamah Norhayati Sulong dari Sekolah Menengah Kebangsaan Geliga, kedua-duanya di Kemaman, Terengganu. Bagi pihak Kementerian Pendidikan, saya merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa dan berdoa semoga mereka tabah menghadapi ujian ini. Marilah kita bersama-sama
menghadiahkan Al-Fatihah kepada semua mangsa dan mudah-mudahan roh mereka ditempatkan bersama-sama hamba-hambaNya yang soleh. Al-Fatihah.

3. Saya juga berharap agar guru-guru, pensyarah dan pegawai yang terjejas akibat banjir supaya tabah menghadapi ujian IIahi ini. Usah patah semangat untuk kembali bertugas seperti biasa dan terus menabur bakti kepada anak bangsa. Saya berasa bangga dengan sikap yang ditunjukkan oleh guruguru
dan murid-murid di negeri-negeri yang dilanda banjir. Walaupun dalam keadaan serba kekurangan, tanpa pakaian seragam yang lengkap, perabot yang masih belum sempuna, sekolah yang masih belum bersih sepenuhnya, mereka tetap hadir ke sekolah seperti biasa. Ketika saya sedang berucap di hadapan saudara dan saudari sekarang ini, sebanyak 31 buah sekolah masih belum dibuka kerana terjejas teruk akibat banjir. Saya telah mengambil keputusan supaya kelonggaran diberikan kepada sekolah-sekolah ini untuk dibuka lebih lewat daripada biasa supaya tumpuan dapat diberikan kepada kerja-kerja pembersihan sekolah. Apabila sudah siap, sekolah dapat dibuka semula dan murid-murid boleh mengikuti pembelajaran dengan selesa dan selamat.

4. Saya juga amat bersimpati dengan nasib ibu bapa yang terpaksa melalui keadaan yang sukar untuk memulakan kehidupan baharu selepas bencana banjir, dengan harta benda yang musnah, rumah yang rosak atau kehilangan tempat tinggal, dan pada masa yang perlu membuat persediaan untuk anak-anak memasuki sekolah. Kerana itu saya telah membuat keputusan supaya Bantuan Awal Persekolahan diberikan lebih awal daripada biasa supaya ibu bapa dapat menggunakan bantuan kewangan yang diberikan oleh kerajaan untuk membeli pakaian dan peralatan sekolah anak-anak. Mudah-mudahan
bantuan yang dihulurkan oleh kerajaan sedikit sebanyak dapat mengurangkan bebanan dan kesusahan yang ditanggung oleh ibu bapa dalam menghadapi musibah ini.

5. Saya sendiri telah melawat beberapa buah sekolah yang terjejas akibat bencana banjir, iaitu Sekolah Kebangsaan Tanjung Chenok, dan Sekolah Kebangsaan Lati di Pasir Mas, Kelantan; Sekolah Kebangsaan Pulau Tawar, Jerantut, Pahang; dan Sekolah Kebangsaan Lambor Kiri, Bota, Perak. Saya dapati banyak peralatan sekolah seperti perabot, perkakasan ICT, peralatan makmal, buku teks dan alat-alat bantuan mengajar yang musnah. Oleh itu, saya telah pun mengarahkan Ketua Setiausaha Kementerian, Tan Sri Dr. Madinah, supaya menyalurkan peruntukan segera kepada sekolah-sekolah yang terjejas akibat banjir untuk membiayai kerja-kerja pembersihan dan pembaikan sekolah serta
penggantian peralatan yang musnah.

6. Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua sukarelawan yang terlibat dalam kerja-kerja pembersihan sekolah dan institusi pendidikan yang terjejas akibat banjir. Ini termasuk para mahasiswa kita dari universiti, politeknik, kolej komuniti dan Institut Pendidikan Guru serta semua sukarelawan samada yang turun sebagai individu atau mewakili mana-mana NGO atau pertubuhan. Tidak lupa juga kepada Yayasan Sukarelawan Siswa (YSS), para pegawai, anggota keselamatan dan semua pihak yang bekerja bertungkus lumus untuk menyelaras misi bantuan banjir. Anda semua adalah wira-wira yang tidak didendangkan. Saya juga ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada para penderma yang telah bermurah hati menyumbangkan dana dan peralatan bagi kerja-kerja pembersihan yang telah dilaksanakan. Sebagai tanda penghargaan kepada semua sukarelawan dan dermawan yang budiman, saya telah bersetuju supaya Kementerian Pendidikan mengeluarkan sijil penghargaan khas kepada mereka. Saya amat terharu kerana di sebalik musibah yang berlaku ada juga hikmahnya. Rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan agama telah menunjukkan rasa prihatin dan kebersamaan mereka untuk membantu mangsa-mangsa banjir samada menerusi sumbangan tenaga, masa mahu pun wang ringgit. Saya ucapkan syabas dan tahniah.

7. Untuk menghadapi kemungkinan bencana banjir pada masa hadapan, saya menyarankan agar sekolah-sekolah dan institusi pendidikan yang berada di kawasan-kawasan yang mudah terdedah kepada bencana ini supaya melakukan persiapan lebih awal. Semua peralatan yang berharga perlu disimpan di tempat yang lebih selamat supaya kita dapat mengurangkan jumlah kerugian akibat banjir. Dalam musibah banjir baru-baru ini, kos kerosakan di sekolah-sekolah dan institusi pengajian tinggi di bawah KPM dianggarkan berjumlah hampir RM500 juta. Ini adalah satu jumlah yang amat besar. Selain itu, pendidikan kesedaran mengenai bencana alam juga perlu diberikan kepada murid dan ibu bapa supaya mereka lebih bersedia dari segi mental dan fizikal dalam menghadapi sesuatu musibah serta dapat menjaga keselamatan diri dan keluarga dengan baik.

Saudara dan saudari yang saya hormati sekalian,

MEMPERKUKUHKAN TRANSFORMASI PENDIDIKAN

8. Sepanjang tahun lalu, Kementerian Pendidikan telah melaksanakan inisiatif-inisiatif utama yang digariskan di bawah Gelombang Pertama Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025. Alhamdulillah, Program Transformasi Daerah, LINUS, Kemahiran Berfikir Aras Tinggi, Penguasaan Bahasa Inggeris, Pengukuhan Kurikulum Pendidikan Islam dan Pendidikan Moral serta Piagam Guru dan Pemimpin Sekolah telah mencapai KPI yang ditetapkan.

9. Selain itu, proses penyediaan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pendidikan Tinggi) 2015-2025 juga telah berjalan dengan lancar. Saya berharap agar tumpuan dapat diberikan sepenuhnya kepada kerja-kerja menyiapkan PPPM (Pendidikan Tinggi) yang akan menjamin kesinambungan antara inisiatif-inisiatif yang dilaksanakan di sektor pelajaran dengan inisiatif di sektor pengajian tinggi.

Sektor Sekolah

10. Transformasi pendidikan yang telah dimulakan pada tahun 2013 melalui pelancaran PPPM 2013-2025 akan terus diperkukuhkan pada tahun ini. Bagi sektor pelajaran, Kad Skor Menteri 2015 merangkumi 20 inisiatif utama yang memberikan tumpuan kepada Keberhasilan Murid berpandukan 6 Aspirasi Murid dan 5 Aspirasi Sistem yang telah ditetapkan di bawah PPPM. Untuk membuktikan komitmen dan keseriusan kita dalam melaksanakan apa yang telah dijanjikan, laporan prestasi akan terus dipantau melalui Kad Skor Menteri, laporan tahunan dan kajian pertengahan tahun. Saya yakin dengan perancangan dan pemantauan yang rapi semua inisiatif penting dalam Gelombang Pertama PPPM 2013-2025 dapat dicapai pada penghujung tahun ini. Ini termasuk memperkasakan guru dan pemimpin sekolah, menerapkan kemahiran berfikir aras tinggi dan meningkatkan kemahiran berbahasa. Di samping itu, usaha untuk memperkukuhkan aspek nilai, adab, perpaduan nasional dan semangat patriotismeakan terus diberikan tumpuan utama selaras dengan matlamat Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

11. Untuk memastikan kejayaan gelombang pertama PPPM dan sebagai persediaan melaksanakan gelombang kedua mulai tahun 2016, saya menyeru agar peranan dan pelibatan ibu bapa, komuniti dan pihak swasta diperluaskan, khususnya di sekolah-sekolah luar bandar dan pedalaman. Saya pasti dengan usaha meningkatkan kualiti guru dan pemimpin yang sedang giat dijalankan, serta sokongan kuat daripada ibu bapa dalam membantu pembelajaran anak-anak di rumah, kita mampu mendidik murid dengan ilmu pengetahuan, kemahiran dan nilai-nilai murni sebelum mereka melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi.

Pendidikan Teknik dan Vokasional

12. Untuk memenuhi permintaan tenaga mahir yang semakin meningkat dalam pasaran pekerjaan di negara kita, transformasi pendidikan teknik dan vokasional akan diteruskan. Perancangan strategik seperti meningkatkan penawaran tempat menerusi kerjasama dengan sektor swasta akan giat dilaksanakan agar enrolmen pelajar dalam bidang teknik dan vokasional dapat ditingkatkan.

13. Bagi politeknik pula, tumpuan akan diberikan kepada peningkatan kualiti graduan menerusi pelaksanaan program akreditasi dan pensijilan antarabangsa. Untuk itu, saya berharap agar lebih banyak politeknik mendapat penarafan daripada badan antarabangsa seperti Pacific Accreditation and Certification Commission (APACC). Setakat ini, tiga buah politeknik iaitu, Politeknik Ungku Omar, Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah dan Politeknik Ibrahim Sultan telah mendapat anugerah emas APACC yang membuktikan para lulusan politeknik sudah mencapai standard antarabangsa dan mempunyai potensi untuk berjaya dalam pasaran pekerjaan global.

14. Selain politeknik, Kolej Komuniti turut memainkan peranan penting dalam melahirkan tenaga kerja mahir untuk memenuhi keperluan industri. Jaringan kerjasama dengan syarikat-syarikat swasta perlu dipergiatkan untuk membuka peluang latihan yang lebih luas khususnya dalam bidang-bidang kritikal. Satu contoh yang baik ialah program Public-Private Partnership dan Industry on Campus yang dilaksanakan secara kerjasama pintar bersama industri automotif pada tahun 2014. Pada tahun ini, kolej komuniti bakal melatih 800 tenaga kerja bagi projek minyak dan gas di PIP Pengerang dan 300 orang untuk projek Sapura Kencana Fabrication Yard di Lumut.

Pendidikan Tinggi

15. Dalam menghadapi cabaran globalisasi, peranan Institusi Pendidikan Tinggi dilihat lebih mencabar. Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pendidikan Tinggi) 2015-2025 yang akan dilancarkan pada suku pertama tahun ini merupakan satu usaha untuk melahirkan Bakat Terpelajar dipacu Nilai (Learned Values-Driven Talent) agar tranformasi negara menuju ekonomi dipacu pengetahuan (knowledge-driven economy) dapat dicapai. Pelan ini juga akan menghasilkan kelompok bakat yang inovatif dan kreatif disusuli dengan agenda New Academia dalam RMK-11.

16. Bertitik-tolak daripada aspirasi yang terkandung dalam PPPM (Pendidikan Tinggi) ini, sektor pendidikan tinggi disarankan untuk menyusun strategi yang lebih berkesan. Antara langkah yang perlu diambil ialah:

Pertama, merekabentuk kurikulum holistik menerusi penilaian semula disiplin ilmu di institusi pendidikan tinggi dengan melihat kepada pendekatan antara-disiplin dan pelbagai-disiplin, memikirkan bentuk pekerjaan yang belum lagi wujud, teknologi yang belum dicipta dan penyelesaian masalah yang bakal berlaku. Di samping itu, dalam memenuhi tuntutan pembangunan negara, aspek nilai dan tanggungjawab yang merupakan paksi peradaban masa depan perlu diberikan penekanan. Kurikulum abad ke-21 juga perlu dibentuk selari dengan aliran pembangunan dan kemajuan teknologi supaya relevan dengan persekitaran semasa serta menekankan penggunaan “Higher Order Thinking and Creative Skills”(HOTaCS) yang bersifat futuristik, fleksibel dan dinamik. Seterusnya, pembudayaan kurikulum holistik dan berintegrasi harus diterapkan menerusi penyampaian dan penilaian; pembelajaran perkhidmatan dan inovasi; di samping penekanan terhadap ciri-ciri keusahawanan dan kemahiran insaniah.

Kedua, memperkasa penyelidikan dan pengkomersialan. Dalam agenda memperkasa ekonomi negara, penyelidikan memainkan peranan penting untuk menghasilkan inovasi dan produk yang boleh dimanfaatkan untuk keperluan negara. Sebagai contoh, Public-Private Research Network (PPRN) yang diperkenalkan oleh Kerajaan melalui KPM dan Malaysian Technology Development Corporation (MTDC) merupakan satu inisiatif baharu ke arah mencapai matlamat ini. Melalui inisiatif ini, peranan institusi pengajian tinggi (IPT) dari segi pengkomersilan kepakaran serta hasil R&D dapat membantu industri tempatan, khususnya Perusahaan Kecil Sederhana (PKS) berkembang dengan lebih pesat dari segi aplikasi pengetahuan. Peranan IPT dalam penyelidikan dan penyediaan perkhidmatan kepada komuniti, di samping mendidik generasi akan datang dapat digambarkan melalui konsep Quadruple Helix, iaitu satu jaringan kerjasama antara industri, akademia, kerajaan dan komuniti. Bagi tahun 2015, di bawah inisiatif PPRN, Kementerian Pendidikan akan mewujudkan 1,000 solution providers di mana semua IPT digalakkan untuk memainkan peranan aktif untuk mencapai sasaran ini; dan

Ketiga, memperkukuhkan kedudukan universiti di peringkat antarabangsa menerusi dua strategi utama, iaitu memperkukuhkan jaringan kolaborasi dengan negaranegara luar dan menaikkan ranking universiti. Sehingga kini, beberapa memorandum telah ditandatangani dengan negara-negara strategik seperti Amerika Syarikat, China, Jepun, Jerman, Korea, Perancis, United Kingdom, dan UAE, di samping mewujudkan kerjasama pendidikan pelbagai hala menerusi ASEAN, OIC, ASEM, IORAC dan MACEE. Kerjasama ini akan memberikan pelbagai manfaat kepada negara seperti pendedahan penuntut Malaysia di arena global melalui pertukaran pelajar dan staf, peningkatan produktiviti negara menerusi kolaborasi penyelidikan dan pengkomersilan serta pemindahan teknologi. Dari segi ranking universiti pula, pencapaian universiti awam pada masa ini dalam 19 subjek menunjukkan 1 bidang subjek berada pada kedudukan ranking 50 ke atas, iaitu USM dalam bidang Sains Alam Sekitar, 10 bidang subjek berada pada kedudukan 51-100, 5 bidang subjek berada pada kedudukan 101-150 dan 3 bidang subjek berada pada kedudukan 151-200.

Walaupun kedudukan ini agak memberangsangkan, masih terdapat ruang untuk penambahbaikan. IPTA perlu mengambil, membangun dan mengekalkan pensyarah tempatan dan antarabangsa yang terbaik. Mereka merupakan individu yang memacu peningkatan kualiti pengajaran dan pembelajaran, penyelidikan dan inovasi serta sumbangan kepada industri dan masyarakat. Perkara ini dapat dilakukan menerusi insentif kecemerlangan, pengiktirafan dan penyediaan persekitaran yang sesuai untuk memajukan dan membangunkan kecemerlangan bakat.

17. Kementerian sedar dalam usaha untuk meningkatkan kecemerlangan institusi pendidikan tinggi, pemberian autonomi adalah satu daripada langkah penting untuk menjadikan pengurusan IPTA lebih berdaya saing, kreatif dan fleksibel. Bagaimanapun, dalam hal ini Kementerian amat menekankan prinsip asas yang perlu dipenuhi bagi memastikan IPTA mampu memanfaatkan status autonomi sepenuhnya. Prinsip asas ini merupakan sempadan dan skop universiti dalam melaksanakan autonomi yang diberikan. Pematuhan kepada prinsip asas ini adalah penting kerana walaupun universiti diberikan autonomi penuh, kerajaan masih bertanggungjawab keatas autonomi tersebut.

Saudara dan saudari yang saya hormati sekalian,

CABARAN NEGARA PADA 2015 DAN SETERUSNYA

18. Melangkah ke hadapan, seluruh warga Kementerian mesti sentiasa menyantuni harapan masyarakat yang melihat pendidikan sebagai satu wadah penting pembangunan modal insan untuk memacu Malaysia menjadi sebuah negara maju. Pada waktu yang sama, kita juga mesti menggembleng seluruh kudrat untuk menghadapi beberapa cabaran utama yang memberikan kesan langsung terhadap perancangan pendidikan di negara kita.

19. Cabaran pertama ialah perkembangan ekonomi ASEAN. Dalam tempoh lima tahun mendatang, rantau ASEAN akan muncul sebagai blok ekonomi yang kelima terbesar di dunia selepas Amerika Syarikat, China, Jepun dan India. Perkembangan ini pastinya akan merangsang perniagaan dan perdagangan dalam negeri dan antara negara-negara ASEAN. Dengan pelaksanaan Komuniti ASEAN bermula pada tahun ini, Malaysia perlu bersedia menghadapi persaingan ekonomi, keselamatan dan kebudayaan yang lebih terbuka antara negara anggota. Dalam konteks ini, sektor pengajian tinggi khususnya perlu merangka satu perancangan strategik untuk menangani cabaran mobiliti tenaga kerja mahir dalam pasaran pekerjaan serantau yang lebih terbuka.

20. Cabaran kedua ialah peningkatan dalam hubungan antarabangsa. Kita perlu sentiasa peka terhadap perubahan dan kemajuan di peringkat antarabangsa serta ketidakpastian pada masa akan datang. Menyedari keperluan untuk sektor pendidikan berkembang seiring dengan perkembangan pendidikan dunia, Kementerian Pendidikan telah mengambil langkah proaktif dalam memperkasakan jalinan kerjasama di peringkat antarabangsa dengan pelbagai negara peneraju seperti Amerika Syarikat, China dan Australia. Kementerian komited untuk melaksanakan jaringan kerjasama antarabangsa menerusi pelbagai inisiatif baharu seperti penyelidikan, latihan pra dan dalam perkhidmatan untuk tenaga pengajar, program penandaarasan dan mobiliti pelajar.

21. Kejayaan kita dalam bidang pendidikan turut diiktiraf oleh pihak luar apabila kita sering kali menjadi sumber rujukan badan-badan antarabangsa seperti UNESCO, UNICEF dan Bank Dunia terutamanya dalam usaha mentransformasi sistem pendidikan di beberapa buah negara seperti Iraq, Yemen, Oman, Bhutan dan Nepal. Penyertaan Malaysia dalam 7th Islamic Conference of Ministers of Higher Education and Scientific Research di Rabat, Maghribi pada 18-19 Disember 2014 baru-baru ini contohnya, menyaksikan Malaysia akan menerajui negara-negara Islam ke arah kecemerlangan pendidikan bagi manfaat agama dan ummah seluruhnya. Malaysia akan memainkan peranan penting dalam menerajui pembangunan pengkomersilan khusus, pembelajaran sepanjang hayat, pendidikan keusahawanan dan juga penyelidikan dan inovasi sebagai usaha kolaboratif dalam kalangan negara anggota OIC. Atas kepercayaan yang diberikan, Malaysia akan menerajui penubuhan OIC Collaborative Efforts in Commercialization and Entrepreneurship Education (OIC-CECE) yang akan menjadi pusat rujukan bagi negara-negara anggota OIC.

22. Cabaran yang ketiga ialah mengupaya peranan Kementerian dalam pelaksanaan RMK-11. Satu daripada peranan penting yang dipertanggungjawabkan kepada Kementerian Pendidikan dalam RMK-11 nanti ialah memastikan negara “Memanfaatkan Bakat” iaitu menghasilkan Modal Insan Minda Kelas Pertama yang mampu menggunakan pengetahuan secara proaktif, kreatif dan inovatif. Modal insan yang dilahirkan oleh sistem pendidikan kita perlu berupaya menangani persekitaran global yang sentiasa berubah, meningkatkan kualiti hidup serta menyumbang kepada kesejahteraan dan kekayaan negara.

23. Untuk memenuhi tuntutan ini, Kementerian mesti merangkumkan semua aspek penjelmaan modal insan yang mampu memacu Malaysia untuk menjadi negara maju berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020. Ini termasuklah aspek kualiti pelajar, tenaga pengajar, kepimpinan institusi, pengurusan kewangan, program pengajian dan pembangunan institusi. Dalam RMK-11, program-program yang dilaksanakan mestilah berimpak tinggi (high impact), berpelaksanaan cepat (rapid execution) dan bertransformasi.

24. Cabaran yang keempat ialah kepesatan teknologi. Kejayaan dalam bidang sains dan teknologi telah menyebabkan dunia menjadi semakin kecil dan kompetitif. Pada masa yang sama, kemajuan teknologi juga telah menghasilkan “game-changer” iaitu perubahan pada corak, cara dan gaya hidup manusia. Penggunaan internet secara berleluasa telah mewujudkan komuniti internet yang secara agresif berusaha untuk mendapatkan maklumat dan juga menyebarkan maklumat melalui pelbagai jaringan siber. Atas nama “kebebasan”, komuniti internet ini telah menyebarkan pelbagai maklumat melalui jaringan-jaringan siber. Maklumat ini sama ada benar atau pun tidak mudah menjadi “viral” umpama sel kanser dan virus yang merebak menembusi segala bentuk benteng dan halangan. Jelasnya, pembangunan dalam bidang teknologi ini walaupun mempunyai banyak kelebihan tetapi banyak juga cabaran yang perlu dihadapi khususnya dalam mendidik insan supaya menjadi pengguna teknologi yang bertanggungjawab.

Saudara dan saudari yang saya hormati sekalian,

PENDIDIKAN BERTUNJANGKAN NILAI, KELESTARIAN ALAM SEKITAR DAN PERPADUAN

25. Keempat-empat cabaran yang saya sebutkan tadi jelas menuntut agar generasi masa hadapan dididik dengan ilmu pengetahuan, kemahiran dan nilai-nilai murni. Kita perlu kembali kepada tujuan asas pendidikan iaitu bukan sahaja untuk melahirkan insan yang berpengetahuan (knowledge person) tetapi insan yang berguna (useful person) dan warga negara yang baik (good citizen) yang boleh menyumbang sesuatu yang bermanfaat kepada masyarakat dan negara. Dalam usaha membangunkan Malaysia sebagai sebuah negara maju mengikut acuan sendiri, elemen nilai moral dan etika yang utuh serta sifat penyayang, adil dan saksama dalam kalangan warga Malaysia yang berbilang kaum dan agama perlu sentiasa dijadikan elemen teras dalam sistem pendidikan kita.

26. Saya percaya bahawa pertumbuhan ekonomi sahaja tidak memadai untuk menjadikan Malaysia sebuah negara maju tanpa menyemai nilai-nilai kemanusiaan, kesaksamaan dan keadilan sosial dalam masyarakat. Dalam konteks ini, jurang pendapatan yang masih wujud di negara kita perlu ditangani dengan berkesan untuk memastikan Malaysia terus kekal stabil dan harmoni. Justeru, saya berharap agar institusi pendidikan di negara kita dapat memainkan peranan yang penting dalam memastikan pertumbuhan ekonomi negara disertai dengan pembahagian kekayaan yang adil dan saksama. Sehubungan itu, sukacita saya mengumumkan penubuhan Malaysian Inclusivity, Development and Advancement Institute (MINDA) di Universiti Kebangsaan Malaysia yang akan menjalankan kajian-kajian khusus untuk menangani isu ketidaksaksamaan sosial dan ekonomi dalam masyarakat dengan memberikan penekanan kepada pembangunan dan kemajuan ekonomi yang bersifat inklusif serta mengecilkan jurang pendapatan rakyat.

27. Selain itu, dalam keghairahan kita mengejar kemajuan ekonomi, jangan kita abaikan tanggungjawab memelihara alam sekitar. Ini termasuk penerokaan hutan yang berleluasa sehingga menyebabkan berlakunya pencemaran air, kejadian tanah runtuh dan juga banjir besar seperti yang dialami di negara kita baru-baru ini. Sebaliknya, kita mestilah sentiasa mementingan keseimbangan antara pembangunan ekonomi dan kelestarian alam sekitar yang menjadi penentu kesejahteraan hidup generasi masa hadapan.

28. Dalam konteks ini, saya ingin memetik satu pemerhatian penting yang dibuat oleh Jeffrey D Sachs, seorang pakar ekonomi yang tersohor di dalam bukunya “Common Wealth: Economics for a Crowded Planet” yang saya fikir wajar direnung oleh kita semua. Beliau menyebut:

“The world’s ability to combine long-term economic growth with environmental health is heavily debated. Yet one thing is certain: the current trajectory of human activity is not sustainable. If we simply do what we are doing on the planet with unchanged technology, the environmental underpinnings of global well-being will collapse. The limits of the environment itself will defeat our global aspirations for prosperity”

29. Untuk mengelakkan masa depan kemajuan ekonomi dan kesejahteraan hidup masyarakat kita terjejas akibat sumber alam yang tidak diurus dengan baik, saya mencadangkan supaya universiti-universiti di negara kita memberikan fokus kepada kajian mengenai pemeliharaan alam sekitar dan pembangunan lestari. Universiti yang mempunyai kepakaran dalam bidang ini digalakkan membuat kajian berimpak tinggi yang berfokus kepada pengurusan sumber alam, penghasilan teknologi hijau, penciptaan tenaga boleh dibaharui (renewable energy), seni bina mesra alam, hidrologi dan bidang-bidang lain yang berkaitan. Sudah sampai masanya kita menjajarkan semula pendekatan pembangunan negara dengan melihat pemeliharaan alam sekitar sebagai satu faktor penting dalam menjamin kelestarian kemajuan ekonomi dan kesejahteraan hidup rakyat di masa hadapan.

30. Satu lagi bidang utama yang perlu diteroka oleh ahli-ahli akademik di negara ini ialah pengurusan bencana. Bidang ini menjadi semakin penting di Malaysia. Kejadian tanah runtuh, jerebu dan banjir yang kerap berlaku di negara kita mutakhir ini memerlukan satu pendekatan yang komprehensif dan berkesan dalam pengurusan bencana. Ini termasuk aspek pengurusan alam sekitar, persiapan menghadapi bencana, program kesedaran masyarakat, penyelarasan bantuan, komunikasi dan pembinaan semula kawasan yang terjejas akibat bencana. Jika kita dapat mengurus bencana dengan baik, saya percaya kita akan dapat menyelamatkan banyak nyawa selain mengelakkan kerugian berbillion ringgit akibat kerosakan infrastruktur dan kemusnahan harta benda.

31. Justeru, sukacita saya mengumumkan penubuhan sebuah Pusat Kecemerlangan Penyelidikan Negara yang memfokuskan kepada aspek pengurusan bencana dan juga pemberian dana penyelidikan khas dalam bidang pengurusan bencana dan mitigasi banjir berjumlah RM20 juta yang boleh dipohon oleh IPT melalui Skim Geran Penyelidikan Jangka Panjang (LRGS) dan Skim Geran Penyelidikan Fundamental (FRGS). Adalah diharapkan hasil kajian yang bakal dilaksanakan dapat menyumbang kepada pemantapan pengurusan bencana di negara ini.

Saudara dan saudari yang saya hormati sekalian,

32. Jelas sekali bahawa modal insan atau bakat yang perlu dibangunkan melalui sistem pendidikan negara bukan sahaja mampu memenuhi tuntutan pembangunan ekonomi, tetapi juga perlu disertai dengan penghayatan nilai dan adab yang tinggi. Matlamat ini adalah selaras dengan tujuan Pendidikan Untuk Pembangunan Lestari ataupun Education for Sustainable Development (ESD) yang menekankan keberhasilan modal insan yang holistik, peka terhadap alam sekitar dan bertangunggjawab.

33. Selain itu, sebagai sebuah negara berbilang kaum dan agama, aspek perpaduan nasional perlu terus menjadi pancang dasar dan program pendidikan di negara ini. Kita tidak boleh sama-sekali mengenepikan aspek perpaduan nasional sebagai teras keamanan, kestabilan dan kemajuan negara. Untuk itu, Kementerian Pendidikan akan memberikan penekanan khusus kepada pengukuhan perpaduan nasional dan pembinaan semangat patriotisme di setiap peringkat pendidikan menerusi pelaksanaan program pendidikan kenegaraan yang lebih berstruktur.

34. Justeru, dalam melahirkan insan yang sempurna atau insān kāmil, kita perlu kembali menghayati asas-asas yang terkandung dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan, iaitu satu usaha yang berterusan ke arah memperkembangkan potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepada kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan.

PESANAN KEPADA GURU, PENSYARAH, PELAJAR, PEGAWAI KEMENTERIAN, IBU-BAPA DAN KOMUNITI

35. Kepada guru-guru dan pensyarah, hayatilah Falsafah Pendidikan Kebangsaan kita. Sentiasalah ingatkan diri kita bahawa tugas sebagai pendidik adalah satu tugas yang amat mulia. Menjadi pendidik bukanlah semata-mata suatu profesion, tetapi suatu perjuangan untuk mendidik anak bangsa kita menjadi insan yang seimbang. Saya percaya jika saudara dan saudari semua mengabdikan seluruh jiwa dan raga kepada tugas yang paling mulia ini, maka kita akan berjaya mencapai matlamat pendidikan yang paling asas, iaitu mendidik insan dengan adab dan pekerti yang mulia. Sepertimana sabda Rasulullah s.a.w dalam sebuah hadis:

Addabanī rabbī fa ahsana ta’dībī

Yang bermaksud:

“Sesungguhnya Tuhanku telah mendidik adabku dan Dia memperelokkan pengajaran-Nya terhadapku”.

36. Kepada para pelajar, berikanlah tumpuan yang sepenuhnya kepada pelajaran. Manfaatkanlah segala peluang yang ada untuk menimba ilmu dan mengasah bakat dengan sebaik mungkin supaya anda menjadi insan yang berjaya. Dalam menghadapi persaingan global yang semakin sengit hari ini, banyak ilmu dan kemahiran baharu yang perlu dikuasai sebelum anda melangkah ke alam pekerjaan. Jadi, berusahalah menjadi yang terbaik kerana dalam dunia yang kompetitif hari ini hanya yang terbaik akan berjaya. Only the best among you will survive and thrive.

37. Kepada ibu bapa, saya amat mengharapkan sokongan dan pelibatan anda semua dalam menjayakan dasar dan program pendidikan di negara ini. Saya tahu ibu bapa hari ini mempunyai harapan yang amat tinggi kepada Kementerian Pendidikan. Mereka berharap agar Kementerian kita ini dapat menyediakan pendidikan yang terbaik untuk anak-anak mereka. Kita sedang melakukan yang terbaik menerusi Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia yang meliputi inisiatif-inisiatif baharu daripada peringkat pra-sekolah hinggalah ke pendidikan tinggi untuk meningkatkan kualiti pendidikan di negara kita. Namun, saya percaya kita memerlukan satu usaha kolektif antara kerajaan, ibu bapa dan komuniti untuk menjayakan hasrat pendidikan Negara. Untuk itu, tiada apa yang saya harapkan daripada para ibu bapa dan masyarakat, melainkan sokongan dan dokongan anda semua terhadap segala inisiatif KPM untuk melonjakkan kualiti pendidikan.

38. Kepada pegawai-pegawai di Kementerian Pendidikan, anda adalah pembuat dasar dan sebahagiannya merupakan pelaksana dasar. Bagi saya, dasar yang baik adalah dasar yang boleh dilaksanakan dengan baik. Sehubungan itu, suka saya ingin berpesan kepada pegawai-pegawai saya di Kementerian, apabila kita menggubal sesuatu dasar kajilah secara terperinci bagaimana dasar ini hendak dilaksanakan di bawah. Tanya diri kita adakah dasar yang kita gubal itu boleh dilaksanakan dengan baik atau tidak? Adakah para pelaksana dasar mempunyai keupayaan yang diperlukan untuk melaksanakannya? Lebih penting lagi, adakah dasar itu boleh diterima dengan baik oleh semua pemegang taruh (stakeholders)? Kata kunci kepada persoalan ini adalah engagement atau pelibatan semua pemegang taruh dalam proses pembuatan sesuatu dasar. Dapatkan pandangan semua pihak secara menyeluruh, kemudian kajilah dengan teliti semua pandangan itu sebelum sesuatu dasar dimuktamadkan.

39. Saya percaya bahawa proses engagement ini telah pun dilaksanakan di Kementerian kita. Sebagai contoh, penggubalan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia melibatkan engagement dengan ribuan individu sehinggakan kita dapat menghasilkan satu perancangan yang komprehensif untuk melonjakkan kualiti pendidikan negara. Teruskanlah proses engagement supaya kita dapat mencapai keberhasilan yang terbaik daripada setiap dasar atau inisiatif yang diperkenalkan oleh Kementerian.

PENUTUP

40. Saya yakin transformasi pendidikan yang telah kita garap akan berjaya sekiranya kita berusaha tanpa mengenal erti putus asa, bekerjasama sebagai sebuah pasukan dan berkhidmat dengan komitmen yang tinggi lagi berintegeriti. Kita perlu berusaha dan berubah daripada amalan biasa untuk melaksanakan transformasi pendidikan. Dalam konteks ini, marilah kita menghayati firman Allah s.w.t di dalam Al-Quran surah Al-Ra’du, ayat 11 yang bermaksud:

“Sessunguhnya Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum kecuali kaum itu sendiri yang mengubah apa-apa yang ada pada diri mereka sendiri’.

41. Sehubungan ini, saya, YB Menteri Pendidikan II danTimbalan-Timbalan Menteri sebagai anggota pentadbiran menaruh harapan yang tinggi kepada pihak pengurusan Kementerian Pendidikan yang diterajui oleh Tan Sri Dr. Madinah Mohamad selaku Ketua Setiausaha, Dato’ Seri Ir Dr. Zaini Ujang selaku Ketua Setiausaha II, Ketua-Ketua Pengarah dan seluruh warga Kementerian untuk memikul tanggungjawab merealisasikan aspirasi dan sasaran Kementerian yang telah dijanjikan kepada rakyat. Marilah kita bersama-sama berdoa kepada Allah s.w.t. agar dipermudahkan segala urusan kita.

InsyaAllah.

Ruyung dilelas sagu bersisa
Letih dan lelah tidak diendah
Berpayung menggalas amanat nusa
Kerja yang rumit menjadi mudah

42. Akhir kata, saya sekali lagi mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua warga Kementerian Pendidikan atas komitmen anda dalam melaksanakan segala tugas yang diamanahkan.

Wabillahi al-taufiq walhidayah wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Muaturun di sini

Via Blogger PC Edisen

Enjoice...Sharing is power!!!

Ping your blog, website, or RSS feed for Free