mknace unlimited™|The Colours of Life

Welcome to a small world around me and a simple life of mine in full colours. Together we share the beauty of the world. Sharing since '04 on fotopages, blogger on '07.

mknace unlimited™|The Colours of Life

With warmest regards and wishes joy for all.

mknace unlimited™|The Colours of Life

Kufic square art practitioner.

mknace unlimited™|The Colours of Life

Some of the figurines as the hobbies of collecting them.

mknace unlimited™|The Colours of Life

All of us | the colours of life.

Memaparkan catatan dengan label Amanat. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Amanat. Papar semua catatan

Rabu, 31 Ogos 2016

Amanat Hari Kebangsaan 2016 Perdana Menteri Malaysia


Amanat Hari Kebangsaan 2016 Perdana Menteri Malaysia

1. Pertama-tamanya, marilah mengangkat rasa kesyukuran yang amat tinggi, ke hadrat Allah Hu Ta-a’la, kerana pada malam yang bermakna ini, kita diizinkan berhimpun di dewan yang megah lagi bersejarah, menyambut ambang merdeka.

2. Justeru, saya berucap di sini bukan sahaja sebagai seorang Perdana Menteri, atau seorang pemimpin parti, yang lebih utama, saya berdiri sebagai seorang Anak Malaysia.

3. Lalu, di hadapan ribuan hadirin yang dikasihi, dari pelbagai kelompok dan latar belakang berbeza, saya dapat berasakan, saya dapat feel, satu aura luar biasa, a very positive vibe, yang menyalakan semangat nasionalisme, patriotisme dan jatidiri yang mendalam lagi kental.

4. Maka, bagi menghangatkan sambutan malam ini, ayuhlah, ayuhlah, kita berikan, satu tepukan paling gemuruh kepada Malaysia, pertiwi tercinta ini!

5. Saya ingin memulakan amanat Merdeka ini, dengan melontarkan beberapa persoalan.
Pertama: Apakah ertinya kemerdekaan kepada kita semua, terutama sekali setelah negara dengan izin Tuhan, sampai di ambang enam dekad?

Kedua: Sebagai rakyat Malaysia, tidak kira apa bangsa pun, harus bahkan sewajibnya sentiasa beringat-beringat akan sejarah tentang siapakah yang telah mengetuai perjuangan menuntut kemerdekaan.

Kerana itulah, kita perlu bersungguh-sungguh mempertahankan kedaulatan dan kemerdekaan, yang telah diperjuangkan oleh bapa-bapa tanahair yang dipelopori oleh UMNO, bersama Parti-Parti Komponen lain, sejak puluhan tahun yang lalu.

Ketiganya: Yang paling mustahak, bagaimanakah kita sebagai rakyat Malaysia, tidak kira apa warna kulit, bangsa, keturunan, mahupun agama, dapat menzahir dan membuktikan kesyukuran terhadap nikmat ini?

6. Persoalannya juga, cukupkah sekadar menggantung bendera atau berhimpun di sana sini, tanpa roh dan rasa penghayatan akan peri penting pengisian sewajarnya, kepada kebebasan sebuah negara bangsa yang telah diperolehi?

7. Apatah lagi, dalam pada Bahtera Malaysia sedang belayar dengan lancarnya di samudera biru, kita tidak mungkin sesekali biarkan tanahair ini cuba ditebuk, dirobek dan dibocorkan oleh mana-mana pihak yang durjana.

8. Sebabnya, sebabnya, Bahtera Malaysia yang sudah terkembang layarnya ini, kita akan pastikan terus mara membelah gelombang dan tak kan sesekali berbalik haluan.

9. Jika dihitung dari segi usia kemerdekaan sejak 31 Ogos tahun 1957, kita sudah menghampiri gerbang 60 tahun, berdiri di atas kaki sendiri.

10. Apa yang pasti, kurniaan kemerdekaan, bukan sahaja merupakan satu rahmat, bahkan, menurut pandangan para alim dan bijaksana, ia satu karomah kepada bumi Malaya yang kini, menjadi sebuah Malaysia.

11. Dalam mengejar kemajuan, pembangunan luar bandar akan terus menjadi agenda utama Kerajaan, dan diberikan perhatian serius.

12. Merujuk kepada pembangunan Malaysia sebagai sebuah negara maju dalam tempoh enam dekad, yang dulu bermula hanya daripada kampung-kampung kecil, pedalaman dan perdesaan, sekarang Alhamdulillah, mampu berdiri sama tinggi di kalangan negara-negara yang pesat membangun di dunia.

13. Malah, secara simbolik Menara Warisan Merdeka setinggi 118 tingkat, yang mula dibina sejak tahun 2014, bakal menjadi bangunan tertinggi di Malaysia dan ke-5 di dunia.

14. Adalah hakikat, berjaya dan majunya Malaysia sehingga sekarang, merupakan hasil mahsul usaha gigih pentadbiran cekap dan sistematik oleh Kerajaan Barisan Nasional yang dulunya dikenali sebagai Parti Perikatan.

15. Kerajaan ini, yang mentadbir sejak sekian lama, telah mampu mempertahankan prestasi pencapaian dan rekod cemerlang serta terus meletakkan Malaysia di atas landasan kemakmuran.

16. Selain itu, kita sewajarnya berbangga jua, bahawa kemerdekaan Malaysia ini diberkati oleh Yang Maha Berkuasa, kerana jelas terisi dengan kejayaan dan kemajuan, yang sebetulnya tidak terbayang dek fikiran, tidak ternampak dek mata, tidak terjangkau dek akal, oleh sesiapa jua, 59 tahun yang lampau.

17. Bahkan, seperti yang ramai maklum, apa yang kita hadapi ketika itu, hanyalah herdikan-herdikan dan perlian-perlian bahawa, bagaimana mungkin sebuah negara kecil seperti Malaysia, dengan masyarakatnya yang berbilang keturunan, boleh berpadu untuk menempa kegemilangan.

18. Lantaran itu, sejurus selepas mengambil alih tampuk kepimpinan, saya telah melanjutkan gagasan negara dengan Dasar Transformasi Nasional.

19. Kini DTN, telah masuk tahun ke-7 pelaksanaannya, dan terus membuahkan hasil yang begitu memberangsangkan.

20. Ini semua bukan sekadar omongan kosong, akan tetapi, fakta dan angka-angka pencapaian, diabsahkan serta dipersahihkan oleh Badan-Badan Penarafan Berwibawa pada peringkat antarabangsa.

21. Sebagai contoh, semasa laporan Program Transformasi Negara yang saya bentangkan pada bulan April lalu, kita bersyukur, Program Transformasi Kerajaan atau GTP dalam aspek Bidang Keberhasilan Utama Negara, telah mencapai 99 peratus KPI penyampaiannya.

22. Manakala bagi Program Transformasi Ekonomi atau ETP, menerusi Bidang Ekonomi Utama Negara, kita telah berjaya mencapai angka 111 peratus KPI. Melalui inisiatif Pembaharuan Strategik pula, KPI-nya telah menjangkau sasaran 108 peratus.

23. Mutakhir ini, meskipun kita menghadapi ketidaktentuan dan kesuraman ekonomi global, KDNK pada suku kedua tahun ini, Alhamdulillah, Malaysia tetap berjaya mencatat perkembangan sebanyak 4 peratus.

24. Selanjutnya, tidak putus-putus buah-buah kejayaan masak dan meranum atas kerja kuat Kerajaan dan pelbagai agensi. Misalnya, Global Competitiveness Report oleh World Economic Forum, telah meletakkan Malaysia berada di tangga ke-18 pada tahun 2015.

25. Menurut Financial Market Development oleh World Economic Forum Global Competitiveness Ranking 2015-2016 pula, kita berada di tangga ke-9, sebagai satu-satunya emerging market, yang tersenarai dalam sepuluh negara teratas.

26. Malaysia juga diiktiraf oleh laporan Bank Dunia, dari sudut Ease of Doing Business, pada kedudukan ke-21 pada 2010, dan telah naik ke tangga ke-18 pada tahun 2015.

27. Dari segi lain, sebagai sebuah negara Islam contoh yang progresif dan dinamik serta diteladani sebagai role model yang berpegang kepada prinsip wasatiyyah, di persada dunia, daripada perspektif iktisadnya, Malaysia telah menduduki tangga pertama Petunjuk Ekonomi Global Islam 2014-2015, daripada senarai 70 buah negara.

28. Suka saya menyebut juga bahawa, Malaysia adalah negara penerbit sukuk terbesar dunia, yang merangkumi hampir 55 peratus daripada jumlah sukuk terkumpul global yang bernilai melebihi 320 bilion dolar Amerika setakat penghujung 2015.

29. Fakta-fakta ini, ternyata adalah bukti kukuh yang menyangkal tohmahan-tohmahan meleset oleh segelintir golongan bahawa, kononnya Malaysia adalah negara yang gagal, atau a failed state.

30. Di atas segalanya, Kerajaan tidak akan berkompromi dengan isu keselamatan negara. Hakikatnya, Mesyuarat Keselamatan Negara bersidang beberapa kali setiap bulan, dalam langkah berwaspada, akan ancaman musuh dari luar dan dalam.

31. Berbanding dengan senario dunia pula, kita berasa simpati, khususnya dengan nasib saudara-saudari seakidah di Timur Tengah, yang masih tidak menentu. Tanahair mereka sedang bergolak, dalam kancah peperangan, yang belum tertampaknya cahaya kedamaian.

32. Secara umumnya, kita bersyukur tidak terhingga, lantaran negara kita masih diperkekalkan oleh Tuhan dalam keadaan aman dan sentosa.

33. Berhubung ini, saya mengajak para hadirin dan hadirat, kita berikan penghargaan dan semangat kepada para perajurit serta anggota keselamatan yang telah berkorban siang dan malam demi keamanan Malaysia. Syabas dan satu tepukan gemuruh buat semua pasukan keselamatan negara.

34. Ketikamana melangkah bulan Mei tahun 2015, saya telah membentangkan Rancangan Malaysia Ke-11. Rancangan ini, merupakan pelonjak akhir negara memasuki gelanggang High Income Advanced Economy.

35. Sekalipun kemelut ekonomi global masih bergelora, Kerajaan Barisan Nasional terus mengambil keputusan yang berhemah dan menjadi Kerajaan yang bertanggungjawab agar rakyat tidak terbeban dengan keadaan semasa.

36. Justeru, sebarang ehwal kebajikan dan kepentingan masyarakat terbanyak, pasti didahulukan.

37. Antaranya, perkara pokok tentang kehidupan adalah lantai tempat berpijak, bumbung tempat berteduh daripada hujan dan panas untuk diri serta keluarga. Dalam hal ini, usaha membina rumah mampu milik kepada rakyat akan tetap kita laksanakan.

38. Contohnya, bagi menghargai penjawat awam, Kerajaan telah meluluskan lebih 82 ribu unit kediaman, di bawah inisiatif Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia.

39. Selanjutnya, kita juga telah melaksanakan projek-projek perumahan mampu milik seperti PR1MA, Rumah Mesra Rakyat, Perumahan Felda serta Felcra, selain memperkenalkan Skim Pembiayaan Deposit Rumah Pertama dan peruntukan Pemulihan Projek Perumahan Swasta Terbengkalai.

40. Bila bercakap tentang negara maju, pengangkutan awam merupakan nadi kepada mobiliti rakyat seharian. Public transportation menjadi satu keperluan, yang harus dibangunkan oleh Kerajaan yang berdaya saing menuju kemajuan.

41. Indeed, the fact is, providing an efficient, fast, safe and affordable public transportation is a must for a country that aspires to be a developed nation like Malaysia.

42. Lantas, di era pentadbiran ini, saya mahu terlakarnya dalam sejarah akan usaha serius Kerajaan yang saya pimpin, dalam pelaksanaan projek pengangkutan awam yang terbaik jaringannya, bagi memenuhi tuntutan kepesatan kini apatah lagi masa hadapan.

43. Antaranya, Kerajaan kini begitu komited dengan beberapa projek pengangkutan awam, berskala sederhana dan mega, seperti sambungan laluan LRT Ampang dan Kelana Jaya, yang akan mendatangkan manfaat kepada sekurang-kurangnya 300 ribu pengguna setiap hari.

44. Pada minggu lepas pula, saya baru merasmikan projek LRT3 bagi jajaran Bandar Utama-Klang meliputi 36km, mempunyai 25 buah stesen yang dijangka siap pada tahun 2020.

45. Laginya, saya secara peribadi, dan bagi pihak Kerajaan, juga rakyat teramai, tentunya tidak sabar ternanti-nanti, operasi jajaran fasa pertama MRT Sungai Buloh-Kajang, yang akan dilancarkan pada 15 Disember tahun ini. InsyaAllah!

46. Bercakap tentang hal pengangkutan juga, marilah kita sama-sama memberi tepukan perangsang dan syabas kepada kejayaan ‘the Pocket-Rocket-Man’, jaguh lumba basikal negara, yang meraih pingat gangsa dalam acara keirin di Temasya Olimpik Rio 2016, saudara Azizulhasni Awang yang turut bersama kita. Tahniah.

47. Sebetulnya, sejak 59 tahun kita meraih kemerdekaan, gagasan demi gagasan, rancangan demi rancangan dan tidak terhitung dasar-dasar yang diperkenalkan oleh Kerajaan untuk membina kejayaan negara.

48. Dalam era kepimpinan Kerajaan ini, Dasar Transformasi Nasional, turut melaksanakan Strategi Lautan Biru Kebangsaan atau NBOS.

49. Syukur Alhamdulillah, melalui pelbagai inisiatif di bawah NBOS, sejak tahun 2009, Kerajaan telah berjaya menjimatkan sejumlah 3.5 bilion ringgit perbelanjaan negara, melalui kerjasama strategik antara PDRM dengan ATM, yang telah memecahkan tembok silo antara agensi.

50. Pelaksanaan Pusat Transformasi Bandar atau UTC pula, telah memanfaatkan lebih 35 juta pengguna, bagi menyelesaikan segala urusan berkaitan perkhidmatan Kerajaan.

51. Realitinya, saudara, saudari, mana ada negara dalam dunia yang Kerajaannya menyediakan Pusat Khidmat Sehenti yang beroperasi 7 hari seminggu, dari pukul 8 pagi hingga 10 malam, melainkan Kerajaan Malaysia.

52. Inilah dia bukti bahawa, Kerajaan Barisan Nasional amat prihatin dengan keperluan rakyat, demi memudahkan urusan semua.

53. Begitu juga dalam ehwal pendidikan. Dari peringkat rendah sampai ke menengah semuanya percuma. Pada peringkat tertiari yakni di universiti-universiti awam, 90 peratus kos pengajian ditanggung oleh pihak Kerajaan.

54. Bagi sudut kesihatan pula, bermula dengan pelbagai rawatan pesakit, hinggalah melahirkan anak, segalanya pun hampir percuma di hospital Kerajaan, kecualilah yang melibatkan kes-kes rumit. Ini melibatkan peruntukan keseluruhan sebanyak kira-kira 23 bilion ringgit setahun.

55. Saya dimaklumkan, baru-baru ini oleh seorang rakan, yang bekerja dengan Kerajaan, bapanya telah dimasukkan ke IJN untuk menjalani angiogram jantung. Bayaran yang dikenakan hanyalah 12 ringgit sahaja, berbanding ribuan ringgit kosnya kalau di hospital swasta.

56. Menurut Laporan Institut Penyelidikan Khazanah, yang diterbitkan dalam sebuah akhbar hari ini, jangka hayat rakyat Malaysia dijangka meningkat daripada 65.5 tahun kepada 77.4 tahun bagi wanita, dan 61.6 tahun kepada 72.5 tahun bagi kaum lelaki. Ini adalah perbandingan dari tahun 1970 hingga 2014.

57. Selain itu, terlalu panjang senarainya, kalau hendak kita sebut satu persatu, akan pelbagai lagi program bantuan oleh pihak Kerajaan kepada rakyat sebagai berkongsi nikmat kemerdekaan dan kemakmuran negara. Banyak lagi yang saya akan sentuh dalam ucapan bajet nanti.

58. Berkait BR1M, meskipun Kerajaan berniat ikhlas untuk membantu golongan sasar yang benar-benar memerlukan pertolongan, ada pihak yang sesedap mulut, menuduh dan menghina para penerima BR1M.

59. Sedangkan, bagi kisah hidup sebenar individu rakyat contohnya Puan Dayah Anak Kepada Mamut, dari Rumah Panjang di Sarawak, yang mempunyai 4 orang anak, BR1M adalah bantuan dan rahmat yang telah dapat meringankan kos keluarga dan persekolahan anak-anaknya.

60. Tambahan, berdasarkan dapatan sekumpulan 35 pakar ekonomi di Britain sepakat bahawa, BRIM adalah kaedah terbaik bagi membantu golongan sasar.

61. Di samping itu, berkat berbagai usaha dan program yang dilaksanakan oleh Kerajaan, seperti gaji minima dan latihan kemahiran, purata pendapatan isi rumah B40 ternyata telah meningkat lebih cepat, berbanding golongan lain seperti M40.

62. Berbicara tentang GST pula, Alhamdulillah, keyakinan dan keberanian politik pihak Kerajaan dalam pelaksanaannya, di sebalik tentangan dan fitnah oleh pelbagai pihak, kini ternyata telah menjadi faktor penyelamat kepada ekonomi Malaysia.

63. Selanjutnya, melalui pelbagai dasar Kerajaan yang bersifat inklusif, menurut laporan Program Transformasi Negara atau NTP, ternyata, tidak kira apa kaum dan golongan, ramai yang telah berjaya meraih kejayaan yang lebih tinggi dalam hidup dan kerjaya, sekaligus merubah untung nasib keluarga kepada kehidupan yang lebih selesa.

64. Menjengah ke hadapan pula, kita tidak tiba di titik kemerdekaan enam dekad ini untuk gagal. Malah, kita berhasrat untuk melihat Malaysia terus melangkah jauh sebagai sebuah negara bangsa yang unggul dan dapat dipermegahkan di persada global, bukan setakat ini sahaja, malah menjangkaui atau beyond 2030.

65. Menyentuh soal ini, jika ingin melihat Malaysia kekal merdeka, berdaulat, damai, dan tersanjung oleh seantero dunia sebagai Bintang Timur yang berkerlipan cahayanya, Moments of Unity atau Detik-Detik Kebersatuan, perlu dicambah serta disemarakkan.

66. Jadinya, pada malam ini, saya ingin berkongsi kisah-kisah harmonis penduduk Malaysia, yang diperlambangkan melalui Detik-Detik Kebersatuan oleh rakyat daripada pelbagai kaum.

67. Kisah pertama, contohnya pada malam perlawanan akhir badminton Olimpik baru-baru ini. Saya dan isteri telah turut sama turun padang ke dataran Putrajaya, untuk menyaksikan saat-saat yang mendebarkan.

68. Apa yang menarik dan istimewanya, saya perhatikan pada malam tersebut, majoriti para penyokong Datuk Lee Chong Wei di situ, terdiri daripada orang-orang Melayu yang bersorak sorai penuh semangat tanda sokongan kepada ‘Raja Badminton Malaysia’.

69. Sebahagian besar terdiri daripada orang Melayu. Inilah antara satu contoh, Moments of Unity, atau Detik-Detik Kebersatuan berasaskan sukan. Tak kira, kepada kita, yang kita sorak pada malam itu, seorang Wira Malaysia.

70. Bersempena itu, marilah kita beri tepukan tahniah kepada Datuk Lee Chong Wei, yang datang pada malam ini. Beliau, buat kali ketiganya menghadiahkan Malaysia pingat Perak pada kejohanan Olimpik 2016. Syabas, syabas Datuk Lee Chong Wei!

71. Ingin saya kongsikan bersama, di sebalik kisah kejayaan beliau ini, selain daripada penghargaan terhadap jurulatih-jurulatihnya kini, Datuk Lee Chong Wei, seringkali tidak pernah lupa akan budi dan jasa juga bimbingan mentor, merangkap bekas jurulatih-nya, yang telah mengasuh dan mendorong kejayaannya, yakni Dato’ Misbun Haji Sidek.

72. Inilah dia indah dan ajaibnya Malaysia…. Semangat kebersatuan dan keeratan, merentasi sempadan kaum, saling bantu membantu, saling harga menghargai.

73. Bukan atas nama Orang Melayu, Orang Cina, Orang India, Orang Iban, Kadazan, Murut, Dusun, Orang Asli, penduduk keturunan Siam, ataupun yang lain-lain, namun lebih mulia dan penting dari itu, semua berpadu atas nama Bangsa Malaysia!

74. Tentunya saudara dan saudari, tepukan tahniah kita berikan kepada jaguh-jaguh badminton dalam acara beregu lelaki dan campuran, yang turut menyumbang pingat-pingat perak kepada negara, yakni saudara Goh V Shem, Tan Wee Kiong, Chan Peng Soon dan Goh Liu Ying.

75. Jelasnya, pada kita, semua mereka adalah wira dan wirawati bangsa Malaysia. Atas sebab itu lah, Kerajaan telah menambah insentif kemenangan sebanyak 200 ribu ringgit lagi, sebagai tanda penghargaan atas kejayaan yang dicapai.

76. Kisah kedua, Moments of Unity adalah mengenai Gerai Nasi Kandar paling terkenal di Ipoh yang popular dengan gelaran ‘Vanggey’.

77. Istilah vanggey, vanggey ini dalam bahasa Tamil bermaksud mari, mari.Jika berkunjung ke Ipoh, kata orang, tidak sah kalau tak pekena nasi vanggey.

78. Apa yang uniknya, nasi kandar vanggey ini beroperasi di sebuah restoran milik keluarga Cina iaitu Rumah Tumpangan dan Kedai Kopi Yong Suan dan kebetulan telah mula berniaga sejak tahun kemerdekaan yakni 1957. Istimewanya, para pelanggan terdiri daripada pelbagai keturunan dan bangsa.

79. Nasi kandar vanggey di restoran itu dinikmati bersama dengan minuman Teh Ais Peram, yang juga popular di kedai Cina tersebut.

80. Saya sendiri pun selalu makan nasi vanggey ini, dan saya ingin kenalkan pemiliknya, Mohd Nihmathullah bin Syed Mustafa.

81. Ini satu lagi ceritera Detik-Detik Kebersatuan yang sungguh menarik sebagai simbol Moments of Unity.

82. Satu lagi kisah dari sudut budaya yang boleh dijadikan teladan Detik-Detik Kebersatuan adalah Kartunis Lat, atau nama sebenarnya Mohammad Nor Khalid,… melalui bukunya yang sangat popular dan tersohor bertajuk Kampung Boy.

83. Hasil karya kreatif kartun beliau, melatarkan kisah kehidupan sebenar masyarakat Malaysia yang majmuk. Saya pasti hampir kesemua kita kenal watak-watak yang ditonjolkan dalam jalan cerita beliau.

84. Selain daripada watak utama Lat dan rakan-rakannya, yang terdiri daripada anak-anak Melayu dan kaum-kaum lain, ada watak cikgu bahasa Inggeris keturunan Cina bernama Mrs Hiew, yang berbadan besar, garang dan berkaca mata tajam. Ada pula watak lelaki Punjabi yang memakai turban dengan dialog-dialog yang melucukan dan mencuit hati kita.

85. Ternyata, kerja-kerja tulisan dan lukisan oleh Datuk Lat ini digemari oleh banyak kaum, sekaligus menjadi satu lagi simbol Detik-Detik Kebersatuan dan penerimaan rakyat Malaysia akan hakikat kita hidup sebumbung dalam sebuah masyarakat yang majmuk dan berbilang keturunan.

86. Saya difahamkan, Datuk Lat ada bersama kita di sini, tahniah dan tepukan untuk beliau!

87. Begitu juga dalam filem Ola Bola, yang telah membangkitkan semangat kebersatuan rakyat Malaysia, dalam membentuk sebuah negara bangsa yang hebat lagi bermartabat.

88. Berbalik kepada Datuk Lat, saya diberitahu bahawa beliau adalah abang kepada Encik Mamat Khalid, seorang pengarah filem terkenal dengan genre kehidupan sebenar masyarakat majmuk Malaysia. Saya pasti ramai tahu akan filem komedi seram dengan kutipan pecah panggung oleh Mamat Khalid bertajuk “Hantu Kak Limah Balik Rumah”.

89. Jelasnya, banyak lagi faktor yang boleh menjadi pemangkin kepada Detik-Detik Kebersatuan, dan tidak terhenti pada contoh-contoh di bidang sukan dan sosio-budaya itu tadi.

90. Misalan lain, saban tahun pabila menjelangnya hari-hari perayaan besar terutamanya Hari Raya Aidil Fitri, jendela silaturrahim 1Malaysia yang menyuburkan Detik-Detik Kebersatuan melalui Budaya Rumah Terbuka begitu menyerlah, sehingga menggamit pelancong-pelancong antarabangsa.

91. Bertolak dari kemerdekaan, kemajuan yang kita tempa dari semasa ke semasa, adalah demi rakyat Malaysia keseluruhannya. Kerajaan tidak akan meminggirkan mana-mana pihak, sekalipun apa-apa kumpulan etnik yang kecil bilangannya.

92. Pucuk Pangkalnya, di mata dan di hati kita, setiap seorang dan setiap etnik rumpun dan keturunan, adalah 1Malaysia.

93. Pada sudut ini, bertepatan untuk kita memberi tepukan syabas dan penghargaan kepada dua ‘Ratu Terjun Negara’ Cik Pandelela Rinong dan Cheong Jun Hoong yang telah mengharumkan sukan terjun air negara dengan merangkul pingat Perak, di temasya Olimpik Rio.

94. Tampaknya, jelas sebagai yang saya nyatakan merdeka dan semangatnya adalah milik semua. Khususnya Pandelela, anak gadis Bidayuh dari Sarawak ini, sekumpulan etnik kecil tetapi mampu menjadi seorang jagoan.

95. Berkait ini, selamat maju jaya juga saya ucapkan kepada atlet-atlet paralimpik negara yang akan berjuang di Paralimpik Rio September nanti.

96. Sesungguhnya, saudara dan saudari, kemerdekaan ini adalah nikmat untuk Malaysia seluruhnya. Bermula dari utara Semenanjung Permata Nilam, ke hujung Sabah negeri di Bawah Bayu, membawa ke pedalaman Sarawak Bumi Kenyalang.

97. Dalam hal demikian, projek Lebuhraya PAN Borneo yang bebas tol, sepanjang 2,325km, yang bermula dari Telok Melano ke Lawas di Sarawak, membawa pula hingga ke Sabah, dari Sindumin ke Tawau, merupakan satu lagi lambang kemajuan, sebuah Malaysia yang merdeka.

98. Terbaru di Semenanjung pula, kita akan membina Keretapi Berkelajuan Tinggi atau HSR yang bermula dari Kuala Kumpur hingga ke Singapura. Ini akan memberikan manfaat besar kepada connectivity dan kepesatan ekonomi kepada Malaysia di rantau ini.

99. Oleh sebab itulah, dalam pada kita bersusah payah memupuk solidariti dan perpaduan, kita tidak mahu terjadinya Moments of Disunity, yakni Babak-Babak atau Episod Perpecahan, yang akan memusnah dan meranapkan segala yang telah terbina.

100. Pokoknya, sanggupkah kita membiarkan tanahair ini, hancur berkecai, punah dalam sekelip mata dek angkara segelintir pengkhianat. Kata orang dulu-dulu, biar putih tulang, jangan putih mata. Para pendurjana dan petualang bangsa serta negara ini, mesti kita tentang habis-habisan.

101. Di ketika ini, yang kita berdepan bukan setakat musuh luar, sebaliknya penjajahan bentuk baharu, yang meresap dan meracun minda rakyat, sehingga melibatkan ‘tangan-tangan kotor’ orang dalam negara sendiri.

102. Dalam hal ini, teringat saya kata-kata tokoh pejuang tersohor, Mahatma Gandhi yang menyebut bahawa, makna kemerdekaan itu adalah pendisiplinan dan kepatuhan kepada rule of law.

103. Bukanlah seperti apa yang cuba diperbuat oleh segelintir pihak yang hendak menjatuhkan Kerajaan secara tidak demokratik, membuat referendum-referendum, deklarasi atau menghasut dan meracun pemikiran rakyat untuk berdemo di jalanan.

104. Sedangkan dalam ajaran Islam sendiri dan dibahaskan oleh para Ulama Muktabar bahawa, ‘matlamat tidak sesekali menghalalkan cara’.

105. Pada hemah saya lagi, merdeka itu ertinya, berdiri di atas kaki sendiri, dengan acuan dan kemahuan kita sendiri. Merdeka itu ertinya bebas dari campurtangan asing.

106. Lebih besar dari itu, merdeka bererti sebuah anjakan dan transformasi dari kemunduran kepada kemajuan dan keunggulan.

107. Akhir kalam, kepada Allah kita mohon pertolongan dan Ingatlah! Kita punya satu kesamaan sebagai Anak Malaysia, berkongsi satu tujuan, satu matlamat, yakni impian 1Malaysia.
Justeru,

108. Marilah, sekalian dalam Dewan Merdeka ini, sama-sama bangun, bangun, dan berdiri. Genggamkan erat tangan masing-masing seperti ini, dengan rakan-rakan di sebelah kanan dan sebelah kiri saudara-saudari. Pastikan yang lelaki dengan lelaki, perempuan dengan perempuan).
Lalu,

109. Kalau semua sudah bersedia, Ayuh ucap dan lafazkan bersama-sama saya, bahawa;

Kami, rakyat Malaysia,
Sehati Sejiwa, Berikrar,
Akan terus Berpadu, dan Berjiwa Besar,
Demi, masa depan Malaysia.
Sekali Merdeka, selamanya Merdeka,
MERDEKALAH MALAYSIA!

Merdeka!
Merdeka!
Merdeka!

---
#terbaeekkk ‎#kipidap #‎mknaceunlimited‬ #‎mknace‬ ‎#blogger‬ #‎photography‬ #‎photoblog‬ ‎#‎SJCAM‬ ‎#SJ4000‬ #‎Asus‬ #‎Zen4‬ ‎#Samsung‬ ‎#GalaxyCamera ‎#altek ‬#‎cubic‬ #love‬ ‎#followme‬ #‎beautiful‬ #‎blogoftheday‬ #fun‬ #like‬‎ #life‬ #colorful‬‎ #photooftheday‬ #‎MyExperience #‎mknaceunlimited,‬ #‎mknace‬, ‎#blogger,‬ #‎photography,‬ #‎photoblog,‬ #‎MyExperience‬,

Selasa, 19 April 2016

Majlis Perjumpaan Khas Pengarah Pendidikan Negeri Johor Bersama Warga Pendidikan Negeri Johor 2016

Majlis Perjumpaan Khas Pengarah Pendidikan Negeri Johor Bersama Warga Pendidikan Negeri Johor 2016

Majlis Perjumpaan Khas Pengarah Pendidikan Negeri Johor Bersama Warga Pendidikan Negeri Johor 2016. Majlis dijalankan bertempat di Dewan Seminar pada 19 April 2016 jam 12 tengah hari. Majlis ini memberi peluang kepada Tuan Pengarah untuk bertemu dan menyampaikan amanat terakhir sebagai Pengarah Pendidikan Negeri Johor sebelum bertugas di Jemaah Nazir dan Jaminan Kualiti sebagai Ketua Nazir bermula esok, 20 April 2016. Antara lain aku kongsikan bersama amat PPJ yang dikongsikan oleh Ketua Sektor SPMICT.

Pengarah Pendidikan Negeri Johor merakamkan ucapan terima kasih di atas sokongan padu semua pihak sepanjang perkhidmatan sebagai Pengarah Pendidikan Negeri Johor.
- Teruskan legasi dan memontum sedia ada untuk create new ideas dan execute ideas to realiti.
- Perlaksanaan kerja dibuat secara kekal dan berterusan dan biarlah stakeholders yang menilai.
- Perjuangan perlu diteruskan dan dirancakkan sesuai dengan persekitaran yang dinamik.
- Jadikan setiap proses untuk mencapai objektif sebagai kaedah untuk mematangkan kehidupan.
- Laksanakan setiap program yg dirancang dengan cemerlang dan teruskan pemikiran yang kreatif untuk mencapai objektif

4 ciri warga Johor yang perlu ada untuk mencapai 'towering state'
a. Pemikiran, sikap dan tindakan mengurus kepada masa depan pendidikan, bercita-cita untuk ke hadapan dan mendahului pesaing lain
b. fokus utk persekitaran sekolah yang kondusif dan memberi bantuan dan bimbingan pada sekolah yg lemah
c. Budaya dan berfikiran positif  ( singkirkan cara kerja lama, jauhkan amalan alpa dan asyik bergantung pada orang lain)
d. Perlihatkan perspektif global ( ambil kira view yang global, spektrum yang tidak bergantung pada perspektif dalaman tanpa melihat dunia luar)

Harapan Mantan PPJ
Semua warga JPNJ cemerlang, lestari dan dihormati. Semua pihak dituntut utk megemblengkan kudrat dan usaha bersama-sama. Kalau ada yg kurang padu - kukuhkan dia
Kalau ada yang tidak sempurna - perbaikilah dia
Buatlah bersama-sama dan fikirkan usaha di semua peringkat untuk merealisasikan aspirasi Johor Showcase.

Isnin, 31 Ogos 2015

Amanat Hari Kebangsaan 2015 Perdana Menteri Malaysia

Amanat Hari Kebangsaan 2015 Perdana Menteri Malaysia


BismillahirRahmanirRahim,

Alhamdulillahi Rabbil A’lamin wa biHi nasta’in,

Allahhumma Solli A’la Saidina Muhammad wa A’la Saidina Muhammad,

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,

Salam Sejahtera dan Salam 1Malaysia,

Rakyat Malaysia Yang Dikasihi Sekalian,

1. Sebelum memulakan ucapan, saya difahamkan bahawa, yang dijemput hadir dalam dewan ini, terdiri daripada para menteri dan anggota pentadbiran kerajaan, kakitangan serta penjawat awam, ahli-ahli korporat, wakil-wakil NGO, para pensyarah dan golongan pendidik, budayawan, mahasiswa serta individu-individu perseorangan mewakili tokoh-tokoh juga golongan masyarakat.

2. Makanya, Saya berasa yakin, bahawa setiap seorang daripada kita berada di sini kerana, ingin sama-sama memperingati satu peristiwa amat penting dalam perjalanan negara, yakni, kemerdekaan Malaysia tercinta, tanggal 31 Ogos 1957.

3. Justeru, sebelum dilanjutkan sebarang kata-kata, saya pinta kepada semua, terutamanya dalam dewan ini, sama ada yang sedang duduk, mahupun saudara-saudara yang masih berdiri.

4. Tanpa membuang masa lagi, marilah, kita sama-sama menumpukan seluruh perhatian, berdiam dan bertafakur, sambil memejamkan mata masing-masing sebentar, tunduk, dengan rasa keinsafan.

5. Renungkanlah sejenak sedalam-dalamnya, dan tanyalah di sanubari masing-masing, apakah setiap daripada kita ini, benar-benar mengerti serta mampu menghayati maksud kemerdekaan.

Saudara dan saudari sekalian, kini, bukalah kembali mata kita masing-masing.

6. Satu hal lagi yang tidak boleh dilupakan, apabila kita dapat berkumpul dengan aman sebegini, tidak ada orang yang boleh menafikan bahawa, adalah berkat jasa dan bakti para perajurit serta anggota keselamatan tanah air, yang selama ini, tidak pernah kenal erti penat lelah, berkorban apa saja, bagi menjamin rakyat dapat hidup dalam keadaan aman serta sentosa.

7. Kerana itulah, kita menolak sebarang bentuk demonstrasi jalanan yang boleh mengganggu-gugat ketenteraman awam dan hanya menyusahkan rakyat, kerana ia tidak langsung mencerminkan kematangan, bahkan bukanlah sebagai saluran yang betul untuk menyuarakan pandangan dalam sebuah negara berdemokrasi.

8. Seperti diketahui, apa yang berlaku sehari dua ini adalah sungguh tidak wajar. Oleh sebab ia mempamerkan kecetekan minda dan miskin semangat kebangsaan.

9. Waima, Mufti Kelantan sendiri telah menyatakan bahawa demonstrasi jalanan dan perhimpunan Bersih 4.0 tersebut adalah hukumnya Haram di sisi agama Islam.

10. Oleh itu, segala susah payah anggota keselamatan akan sentiasa kita beri penghargaan dan penghormatan yang tinggi kerana bakti merekalah, keharmonian serta kerukunan dapat terus dikecapi pada setiap masa.

11. Lantaran, marilah kita beramai-ramai merakamkan ucapan penghargaan dan tahniah serta memberikan tepukan gemuruh kepada kesungguhan Anggota Tentera Malaysia dan ucapan syabas pula di atas keberanian dan ketegasan pasukan Polis Diraja Malaysia, demi mendaulatkan negara!

Rakyat Malaysia yang dikasihi sekalian,

12. Sebetulnya, kemerdekaan hanya datang sekali. Ia bukanlah barang mainan mahupun timbul berulang-ulang. Kerana itu, ia harus dijaga, dipupuk dan dipelihara sebaik-baiknya.

13. Hakikatnya, kemerdekaan adalah sebuah anugerah yang besar lagi tidak ternilai. Ia mengajar sesebuah watan itu berdiri di atas kaki sendiri, mendewasa, dan mematangkan diri.

14. Dalam hal negara ini, Alhamdulillah, satu titik persefahaman telah pun kita capai sepertimana saya sebutkan pada hari Malaysia yang lalu bahawa, kini, tidak timbul lagi polemik, dan menetapkan bermula tahun lepas, semua rakyat Malaysia akan menyambut hanya satu tarikh kemerdekaan sebagai simbolis solidariti, sehati sejiwa, bagi seluruh Malaysia.

Saudara dan saudari,

15. Di satu sudut, Sabah dan Sarawak, dari penghujung Ulu Lachau membawa ke Lahad Datu, nun jauh di pinggir sana,

16. Pada sisi yang lain, bermula dari Arau Perlis hingga ke Tanjung Piai di penamat Tanah Semenanjung, bahkan untuk pengetahuan semua, Tanjung Piai itulah pengakhirnya Tanah Besar Asia.

17. Selanjutnya, bumi Malaysia yang bertuah dan langit pertiwi yang kita junjung ini, sekarang didiami oleh hampir 30 juta penduduk, dengan ratusan etnik dan suku, antaranya, orang Melayu, Cina, India, Iban, Orang Ulu, Melanau, Kadazan, Murut, Dusun, Orang Asli, orang Siam keturunan Malaysia, Punjabi dan orang-orang Serani dan lain-lain lagi.

18. Lantas, pada malam ulangtahun kemerdekaan ini, saya berdiri di sini, bukan sekadar sebagai seorang Perdana Menteri, tidak juga hanya menjadi pemimpin parti,…

19. Tetapi, saya berdiri di sini, sebagaimana saudara dan saudari semua, dan berucap sebagai warga Malaysia yang bersemangat serta bangga dan ingin menyatakan dengan tegas bahawa,…

20. …negara serta tanahair ini, adalah milik setiap seorang daripada kita dan kita tidak akan membenarkan sesiapapun menjadi dalang serta pengkhianat untuk memusnahkannya.

Hidup Malaysia, Hidup Malaysia!

Rakyat Malaysia Yang Dikasihi,

21. Bersabit itu juga, jangan ada sesiapa yang cuba mengadu domba, meski apapun akan berlaku,… biar berdentum guruh di langit, walau bumi berkeping dua, persarikatan mulia antara Sabah, Sarawak dan Semenanjung, bak pesan orang lama-lama, bercerai kasih bertalak tidak, ibarat besi terpatri mati.

22. Oleh yang demikianlah, malam ini, buat kali kedua, sejak menjadi Perdana Menteri, saya memilih untuk berdiri secara langsung di hadapan saudara dan saudari sekalian, tidak seperti perutusan biasa, supaya saya dapat berucap dari hati ke hati kepada semua yang mendengar.

23. Sebelum itu, adalah molek kita mengimbau sedikit tentang dari mana kita datang,… di mana kita kini, dan ke manakah arah tuju negara selepas ini.

24. Pokoknya, kita wajar, terus menghitung syukur ke hadrat Ilahi kerana, selama lebih 50 tahun, telah sama-sama mengharungi dan melalui suka duka, pembinaan sebuah negara bangsa.

25. Oleh itu, jangan sesekali dilupa, semasa meraih kemerdekaan, dunia umumnya, sangsi dan ragu-ragu akan kemampuan sebuah negara kecil ini, dengan penduduk yang berbilang bangsa bahawa, mampukah kita untuk mencipta dan menempa kisah kejayaan.

26. Sebaliknya, setelah dinaungi lebih 170 tahun oleh pentadbiran British, istilah yang digunakan ramai ketika itu adalah, pihak British sendiri ‘mengangkat tabik’ atas kesanggupan orang-orang Melayu, khususnya perjuangan UMNO, dan parti Perikatan, yang cekal dan tabah untuk mengambil tanggungjawab serta berani untuk bernegara sendiri.

27. Oleh yang demikian, kalau ada sesiapa pun mempersoal, mengapa kemerdekaan begitu dekat dengan hati orang Melayu, begitu dekat dengan UMNO dan Barisan Nasional, jawapannya, tidak lain dan tidak bukan, kerana, kemerdekaan inilah lambang kemuncaknya perjuangan, tanda tingginya kesungguhan, dan bukti sifat penuh berani oleh orang-orang Melayu, UMNO dan rakan-rakan parti komponen, demi membina sebuah negara bangsa.

28. Malah, telah tercatat pada hari kemerdekaan disebutkan bahawa, sebuah bintang baharu telah bersinar di Timur, kata orang, sama ada naik atau turunnya bintang itu, yakni Malaysia tercinta, kitalah, kitalah, yang menentukan nasibnya.

Saudara dan Saudari,

29. Syukur, terbukti dan ternyata, selama puluhan tahun ditunjangi pentadbiran kerajaan yang cekap dan sistematik, untung nasib sebuah bintang di Timur ini telah digilap dengan sungguh bersinar serta kini mampu diperbanggakan.

30. Kita telah bertatih daripada sebuah negara pertanian, menjadi sebuah negara perindustrian dan kini dengan deras memacu ke arah menjadi negara maju berpendapatan tinggi.

Syabas kepada kebijaksanaan para pimpinan terdahulu sehingga kini, para kakitangan awam dan tentunya, tahniah kepada seluruh rakyat Malaysia!

Saudara dan saudari,

31. Kenapa saya sorot dan imbaukan kembali sedikit sebanyak kisah kemerdekaan negara. Sebabnya, mahu tidak mahu, tawarikh perlu sentiasa dibugar dan diperingatkan, bukan sahaja kepada generasi umum, yang barangkali mudah lupa asal-usul dan pastinya, seperti kata para cerdik pandai, kita tidak mahu kemudiannya dihukum pula oleh sejarah itu sendiri.

32. Bahkan dalam pidato ketika dimasyhurkan kemerdekaan, disebut bahawa, kita telah menjadi sebuah negara berdemokrasi, yang merdeka lagi berdaulat, berdasarkan kepada kebebasan dan keadilan serta mengekalkan keamanan di antara segala bangsa.

33. Manakala, mencecah lebih 50 tahun kemerdekaan sesudah itu, ditakdirkan pula saya mengambil alih tampuk pentadbiran.

34. Bermula 3 April 2009, Kerajaan telah melakarkan Dasar Transformasi Nasional, sebagai falsafah teras kepada pentadbiran negara.

35. Sekiranya hampir 60 tahun lalu, Tunku telah menzahirkan beberapa kriteria asas tersebut kepada sebuah watan yang baru menempa kemerdekaan, kini, kita sedang melangkah lebih jauh berasaskan kriteria-kriteria itu, sepertimana saya telah simpulkan ketika membentang Rancangan Malaysia Kesebelas bahawa, falsafah pembangunan negara, mestilah lebih tuntas dan konkrit.

36. Antaranya, untuk mencapai pertumbuhan yang bersifat inklusif, sustainable, growth with equity, kompetitif, progresif, rakyat yang bersahsiah dan morally strong, dalam satu kehidupan masyarakat yang saling berpadu, mengamalkan pula kesederhanaan yakni wasatiyyah, berpaksikan kepada prinsip 1Malaysia.

37. Makanya, di persimpangan ini, benarlah kata-kata Almarhum Tunku bahawa, cabaran lebih besar adalah pengisian kemerdekaan.

38. Ertinya, dalam meniti permatang kejayaan negara, kita tidak akan sunyi daripada dihadapkan oleh pelbagai situasi dan kemelut, sama ada berbentuk siasah mahupun ekonomi serta kini ternyata, kita dihadapkan dengan cabaran domestik, ekonomi, di kala negara sedang bergerak pantas dan menuju gerbang menjadi entiti sebuah negara maju, High Income Advanced Economy.

Rakyat Malaysia yang dikasihi,

39. Pada malam ini, seperti yang saya nyatakan, adalah elok saya perjelaskan dalam bahasa yang lebih mudah, agar difahami oleh rakyat teramai, seperti pakcik-pakcik dan abang-abang yang bersembang di kedai-kedai kopi, sambil minum teh tarik, para surirumah, anak-anak kita Generasi Y, para mahasiswa di kolej dan universiti, kawan-kawan kita yang aktif di alam siber serta yang pentingnya masyarakat keseluruhan, akan apa yang sebenarnya sedang berlaku.

40. Pertama, kita mendengar kisah-kisah, yang berlegar-legar di sekeliling masyarakat, misalannya, tentang kemerosotan nilai ringgit berbanding nilai dolar Amerika, kejatuhan harga minyak dunia, naik turun harga komoditi yang tidak menentu, seperti minyak sawit, yang sebenarnya semua ini adalah berada di luar kawalan kita.

41. Bahkan, sejak beberapa bulan lalu, rakyat telah disogokkan dengan bermacam-macam maklumat dan cerita-cerita yang tidak menyenangkan.

42. Hatta, ramai di antara kita yang sampai telah percaya, kononnya Malaysia akan menjadi bangkrap seperti negara Greece. Katanya lagi, ekonomi negara pula semakin meruncing dan gawat serta pelbagai lagi andaian atau spekulasi yang disebarkan oleh sesetengah pihak yang tidak bertanggungjawab, atas agenda-agenda tertentu masing-masing.

43. Lantas, jika selama beberapa bulan ini, saya hanya banyak berpeluang dan bertemu dengan kelompok-kelompok yang lebih khusus, berkaitan penyelesaian isu-isu ekonomi di peringkat-peringkat tertentu sahaja.

44. Makanya, pada majlis malam ini, saya ingin mengambil kesempatan untuk seboleh mungkin, dalam ruangan yang terhad, bagi memperbetulkan keadaan, beberapa salah faham dan menerangkan serta memperjelaskan isu-isu berbangkit, supaya rakyat dapat mendengar terus dari saya, sebagai pemimpin, agar menjadi lebih rasional, lebih faham serta lebih tenang.

Rakyat Malaysia yang dikasihi,

45. Secara ringkasnya, kita boleh bahagikan maklumat dan sumbernya yang kita sering perolehi, kepada dua, pertama sekali, berasaskan kepada fakta-fakta yang benar dan bersifat realiti atau sahih lagi boleh dipercayai.

46. Keduanya pula, adalah maklumat dan sumbernya yang didapati atas dasar dengar-dengar khabar sahaja, persepsi dan tekaan serta bersifat propaganda semata-mata.

47. Misalnya, sewaktu kegawatan ekonomi 1998, Kerajaan yang mentadbir ketika itu, telah berjaya menerangkan kepada rakyat, dengan memperbetulkan persepsi bahawa, keadaan ekonomi pada waktu tersebut, adalah di luar kawalan Kerajaan, malah berupaya meletakkan segala kesalahan, kepada penyangak matawang iaitu George Soros.

48. Seringkali pula semua maklumat berbentuk sebegini, begitu cepat dihidang dan disebarkan melalui media sosial, hingga menjadi viral tidak menentu dan disensasikan sesuka hati.

49. Makanya, saudara saudari sekalian, saya ingin menerangkan dengan jelas bahawa, apa yang rakyat perlu faham adalah, sekurang-kurangnya, lima petunjuk utama ekonomi negara sebagai petanda sebenar bahawa, Malaysia pada realiti dan hakikatnya, masih berada di atas jajaran kukuh serta landasan yang betul.

50. Petunjuk pertama; Di sebalik segala ketidaktentuan pertumbuhan ekonomi serantau dan global, saya ingin maklumkan kepada rakyat sekalian, usahlah menjadi terlalu bimbang, hakikatnya ekonomi semasa Malaysia masih berkembang, contohnya tahun lepas, kita berada pada kadar 6 peratus dan tahun ini pula insyaAllah, akan mencapai 5 peratus.

51. Tidak seperti tahun 1998, ketika berlakunya krisis kegawatan ekonomi Asia, di mana ekonomi kita telah menguncup sebanyak negatif 7 peratus.

52. Petunjuk kedua; Sebetulnya, fundamental atau asas ekonomi negara pada hari ini, lebih kukuh lagi kerana kita telah mempelajari dari kesan krisis tersebut.

53. Antara contohnya seperti defisit fiskal Kerajaan yang telah dapat dikurangkan dari negatif 6.7 peratus pada tahun 2009, kepada 3.2 peratus yang dijangka akan dicapai pada tahun ini.

54. Seterusnya, sistem perbankan dan kewangan yang kekal mempunyai modal kukuh dan kecairan yang mencukupi. Kadar pinjaman tidak berbayar dan inflasi yang rendah serta terkawal.

Saudara dan saudari,

55. Petunjuk ketiga; kejayaan dasar-dasar negara khususnya melalui Dasar Transformasi Nasional, telah membawa kepada penurunan kadar kemiskinan, daripada 49.3 peratus pada tahun 1970, kepada hanya 0.6 peratus pada tahun 2014.

56. Bagi Keluaran Dalam Negara Kasar pula telah meningkat sebanyak 47.7 peratus dari 2009 hingga 2014. Manakala, sebanyak 1.8 juta peluang pekerjaan telah diwujudkan sejak pelancaran Program Transformasi Ekonomi pada 2010.

57. Petunjuk keempat; Sekalipun Malaysia terus dihadapkan dengan sekian banyak cabaran domestik dan di arena global, kita masih kekal diiktiraf di mata dunia, kerana masih mampu mengawal pengurusan ekonomi negara dengan begitu baik.

58. Ini terbukti, melalui penarafan dan laporan daripada agensi-agensi kewangan antarabangsa seperti Fitch Ratings, Moody’s, Standard & Poor’s, IMF, yang telah memberi gambaran sebenar, tentang keadaan serta pengurusan ekonomi semasa.

59. Di sinilah, saya mahukan rakyat sekalian faham bahawa, segala kajian dan dapatan terhadap pencapaian Malaysia, bukanlah direka-reka, jauh sekali dipetik dari awan nan biru.

60. Senarai penaraf-penaraf peringkat antarabangsa yang saya sebutkan tadi, merupakan pengabsah-pengabsah berwibawa tinggi yang tidak boleh dipertikai dan diperentengkan kerana hasil kajian dan pandangan merekalah yang diterima pakai di seluruh dunia.

61. Antara lain lagi, Malaysia telah berjaya menduduki tangga ke-12 daripada 60 negara dalam World Competitiveness Yearbook 2014.

62. Namun, saya sedar bahawa, telah timbul keresahan akibat kejatuhan nilai matawang. Harus disedari bahawa ini merupakan fenomena global dan hampir kesemua negara tidak terkecuali daripada menerima kesan kejatuhan mendadak harga minyak dan komoditi, pengucupan ekonomi dunia, termasuk negara China, sebagai rakan dagang terbesar Malaysia.

63. Bagi maksud ini, saya perakui ada faktor-faktor dalaman yang masih berada dalam kawalan kita untuk dilakukan penambahbaikan.

64. Maka, beberapa hari lalu, saya telah menubuhkan Jawatankuasa Khas Ekonomi, dianggotai 10 pakar ekonomi dan tokoh korporat, yang akan bertindak segera menimbang segala perancangan dan tindakan bersifat serta-merta sehingga kemelut ekonomi menjadi reda.

65. Apa yang penting,… saya beri jaminan bahawa, Kerajaan tidak akan hilang fokus, malah akan terus membela untung nasib dan mendahulukan kepentingan, juga kesejahteraan rakyat.

66. Kerajaan komited untuk melaksanakan agenda-agenda pembangunan yang dekat di hati rakyat, seperti projek perumahan mampu milik, penambahbaikan projek kesihatan, meningkatkan kualiti pendidikan dan latihan serta kemahiran, seterusnya menangani kos sara hidup rakyat.

67. Akhirnya, petunjuk kelima; jangan sesekali kita lupa bahawa, sekian banyak lagi usaha dan ikhtiar telah dilaksanakan oleh Kerajaan seperti penubuhan UTC, RTC, BR1M, Kedai Rakyat 1Malaysia dan sebagainya selama ini, telah berjaya membantu meringankan beban sara hidup dan meningkatkan kesejahteraan rakyat.

Saudara dan saudari,

68. Jelas terbukti bahawa, Malaysia bukan negara yang gagal, seperti yang didakwa, bukannya nak bangkrap, malah kita pada hakikat sebenarnya masih berada dalam keadaan yang stabil, dengan ‘fundamental’ yang kukuh dan akan terus mampu bertahan serta berdaya saing.

69. Jadinya, rakyat sekalian, hakimilah Kerajaan melalui peti undi pada pilihanraya kelak. Sehingga itu, berilah peluang kepada Kerajaan ini untuk terus memikul amanah dan berbuat sehabis baik.

Rakyat Malaysia yang dikasihi sekalian,

70. Bumi mana yang tak ditimpa hujan, laut mana yang tidak bergelora. Justeru, berbekalkan pengertian surah Al-Insyirah bahawa, bagi setiap kesusahan, akan datangnya kesenangan dan bahagia yang bakal menanti.

71. Manusia merancang, Tuhan jua merancang, tentunya rancangan Allah adalah yang terbaik,…

72. Merujuk hal ini, pada 28 Julai yang lalu, dengan hati yang bertawakal, saya telah membuat keputusan untuk merombak semula kabinet Persekutuan, buat julung-julung kalinya, setelah mendapat mandat daripada Pilihanraya Umum ke-13.

73. Semestinya, saya dan rakan-rakan yang setia dalam anggota pentadbiran dan Barisan Nasional berjanji dan menjamin akan terus berikhtiar gigih dan komited dalam memakmurkan Malaysia serta mensejahterakan rakyat, bahkan tidak sesekali menoleh ke belakang.

74. Suka saya ulangi disini…Sekali layar sudah dikembangkan, apabila sauh sudah dilabuhkan, pantang nakhoda dan anak-anak kapalnya berbalik haluan.

Saudara dan Saudari,

75. Lalu…saya menyeru, ambillah semangat dan ceduklah roh kemerdekaan 1957, seolah-olah bendera Union Jack baru turunkan dan besok paginya kita mula bernegara baru.

Ladies and gentlemen,

76. Indeed, we will never allow anyone from within or from outside, to simply walk in and steal, ruin or destroy all that we have built so far.

77. Akan tetapi, sayang seribu kali sayang, pada ambang kemerdekaan yang penuh bermakna ini, ada segelintir pihak yang sanggup dan tergamak mencetuskan bibit-bibit persengketaan dan api bermusuhan.

78. Dari itu, beringatlah semua, jika kita tidak bersatu, hilang solidariti dan hilang kesepaduan, segala masalah tidak akan dapat diselesaikan, bahkan segala yang kita bina secara susah payah selama ini akan hancur dan musnah begitu sahaja.

79. Pastinya, walau apapun cabaran yang melintang, meski apa dugaan yang melanda, saya, secara peribadi yang lahir dari leluhur kepimpinan negara dan tentunya bersama rakan-rakan, Dato’ Sri Zahid Hamidi dan yang lain-lain dalam anggota pentadbiran, tidak mungkin akan membiarkan Malaysia sebagai bintang yang telah lahir di Timur hampir 6 dekad lalu, jatuh,.. bahkan, kita akan terus menggilap dan membangun tanahair tercinta ini hingga muncul makmur di gelanggang dunia sampai bila-bila. InsyaAllah.

80. Semoga Pencipta Yang Maha Berkuasa, kekal memayung-mayung dan merahmati Negara bertuah ini. Dijauhkan dari segenap mara bahaya zahir dan batin.

Saudara dan saudari sekalian,

81. Bersamalah kita berdiri, bersamalah kita bangun dan bersamalah kita bangkit, dengan hati yang ikhlas dan tekad yang diperbaharui, memandang masa depan dengan jiwa yang gagah dan merdeka dalam satu solidariti, senada seirama, sehati sejiwa, kita gemakan,…

Merdeka!
Merdeka!
Merdeka!

Wabillahi Taufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Sekian, terima kasih.

Via Blogger PC Edisen

Enjoice...Sharing is power!!!
mknace unlimited™ | The Colours of Life

Ping your blog, website, or RSS feed for Free