MAINJ tetapkan zakat fitrah 2018 dengan kadar RM7.00


MAINJ tetapkan zakat fitrah 2018 dengan kadar RM7.00. Umat Islam yang bermukim di Negeri Johor wajib menunaikan zakat fitrah di Negeri Johor. Bayaran fitrah hendaklah dibayar kepada amil bertauliah dan mempunyai kad kuasa amil daripada Majlis Agama Islam Negeri Johor. Pastikan setiap bayaran Zakat Fitrah mendapat resit rasmi Majlis Agama Islam Negeri Johor. Anda digalakkan menunaikan Zakat Fitrah di awal Ramadhan bagi membolehkan agihan kepada fakir dan miskin disempurnakan sebelum Hari Raya.

Semoga ibadah puasa yang dilaksanakan pada tahun ini lebih baik daripada tahun-tahun yang lalu.
Rebutlah Keberkatan Ramadhan Dengan Berpuasa dan Berzakat

Zakat Fitrah merupakan kewajipan fardhu ain ke atas setiap orang Islam. Kewajipan yang dilaksanakan di bulan Ramadhan ini bertujuan membersih dan menyucikan jiwa mereka yang berpuasa daripada perkara yang sia-sia dan seterusnya bayaran fitrah tersebut dapat digunakan untuk membantu fakir dan miskin membuat persiapan menyambut Hari Raya. Inilah di antara keindahan Islam di sebalik pensyariatan sesuatu ibadah kepada penganutnya. Sesungguhnya peranan zakat dalam membina sosio ekonomi dan sosial masyarakat Islam amatlah penting dan mesti dihayati sepenuhnya oleh setiap muslim.

Kefardhuan Zakat FitrahTakrif Zakat Fitrah
Zakat dari segi bahasa bermaksud bersih, suci, subur dan berkembang.Zakat Fitrah bermaksud zakat diri yang diwajibkan ke atas setiap individu muslim lelaki dan perempuan dalam bulan Ramadhan mengikut syarat-syarat yang ditetapkan.

Hukum Zakat Fitrah
Mengeluarkan Zakat Fitrah hukumnya adalah wajib ke atas setiap orang Islam yang merdeka dan mampu mengeluarkannya pada waktunya.Orang Islam adalah meliputi golongan tua dan muda, lelaki atau perempuan dan berakal atau tidak.

Fadhilat Mengeluarkan Zakat Fitrah

1. Menampung kekurangan semasa berpuasa.

Maksudnya : Berkata Waki’ bin al Jarah : Zakat Fitrah di dalam bulan Ramadhan seperti sujud sahwi di dalam solat, menampung kekurangan berpuasa sebagaimana sujud sahwi menampung kekurangan dalam sembahyang.

2. Membantu fakir dan miskin pada Hari Raya.

Maksudnya : Daripada Ibn Umar, bersabda Rasulullah s.a.w : Kayakanlah mereka (fakir miskin) daripada meminta-minta pada hari ini (Hari Raya).

Syarat- Syarat Wajib Zakat Fitrah

1. Islam dan merdeka.
2. Mempunyai harta yang lebih daripada keperluan perbelanjaannya untuk dirinya dan orang-orang di bawah tanggungannya pada hari raya dan malamnya.
3. Wajib Zakat Fitrah ialah apabila terbenam matahari pada akhir Ramadhan.

Sehubungan itu tidak wajib zakat Fitrah ke atas orang-orang berikut:

1. Orang yang mati sebelum terbenam matahari pada akhir Ramadhan.
2. Anak yang lahir selepas terbenam akhir Ramadhan.
3. Orang yang memeluk agama Islam sesudah terbenam matahari pada akhir Ramadhan.
4. Tanggungan isteri yang dinikahi selepas terbenam matahari pada akhir Ramadhan.

Waktu Mengeluarkan Zakat Fitrah

1. Waktu Harus – iaitu bermula dari awal bulan Ramadhan sehingga akhir bulan Ramadhan.
2. Waktu Wajib – iaitu selepas terbenam matahari pada akhir bulan Ramadhan.
3. Waktu Afdhal – iaitu selepas solat Subuh pada hari akhir Ramadhan sehingga sebelum mengerjakan sembahyang sunat Aidil Fitri.
4. Waktu Makruh – iaitu selepas sembahyang sunat Aidil Fitri sehingga sebelum terbenam matahari.
5. Waktu Haram – iaitu selepas terbenam matahari pada hari raya Aidil Fitri.

Jenis Dan Kadar Bayaran Zakat Fitrah

1. Jenis zakat yang dikeluarkan ialah berdasarkan makanan asasi sesebuah negeri seperti beras.
2. Kadar yang dikeluarkan ialah satu gantang Baghdad bersamaan timbangan metrik 2.60 kilogram (2600 gram).
3. Nilai bagi kadar ini adalah berubah dari semasa ke semasa bergantung kepada harga beras yang dimakan oleh kebanyakan penduduk Islam di sesebuah negeri.

Lafaz Akad Zakat Fitrah
1. Lafaz untuk diri sendiri:
Inilah wang bagi menggantikan beras fitrah yang wajib ke atas diriku pada tahun ini kerana Allah Ta’ala.

2. Lafaz untuk diri sendiri dan tanggungan:
Inilah wang bagi menggantikan beras fitrah yang wajib ke atas diriku dan tanggunganku pada tahun ini kerana Allah Ta’ala.

3. Lafaz bagi pihak:
Inilah wang bagi menggantikan beras fitrah yang wajib ke atas pihak yang aku wakili …… pada tahun ini kerana Allah Ta’ala.

Pembayaran Zakat Fitrah Di Negeri Johor
1. Majlis Agama Islam Negeri Johor adalah badan yang dipertanggungjawabkan dalam menguruskan pungutan dan agihan wang zakat dan fitrah di negeri Johor mengikut sebagaimana Enakmen Pentadbiran Agama Islam Tahun 1978 Bilangan 14 Seksyen 28 (1);

“Majlis hendaklah berkuasa memungut Zakat daripada sekalian orang yang diwajibkan oleh Hukum Syarak membayar Zakat di atas harta bendanya di dalam negeri ini yang diwajibkan oleh Hukum Syarak membayarnya”.

2. Bagi mempermudahkan masyarakat Islam di negeri Johor menunaikan Zakat Fitrah, Majlis Agama Islam Negeri Johor telah melantik amil-amil di setiap kariah dan kawasan bagi diberi kuasa dan tauliah memungut Zakat Fitrah sebagaimana Enakmen Pentadbiran Agama Islam Tahun 1978 Bilangan 14 Seksyen 28 (2);

“Kemudian daripada berjalannya kuatkuasa Enakmen ini tiada seorang pun boleh memungut, mengambil atau menerima bayaran Zakat atau Fitrah melainkan bagi pihak atau dengan kebenaran Majlis”.

3. Umat Islam di negeri Johor hendaklah membuat bayaran Zakat Fitrah kepada amil-amil yang diberi kuasa dan tauliah memungutnya di kawasan masing-masing. Bagi mereka yang membuat bayaran zakat kepada mereka yang tidak diberi kuasa dan tauliah daripada Majlis Agama Islam Negeri Johor adalah melakukan kesalahan di bawah Enakmen Pentadbiran Agama Islam Tahun 1978 Bilangn 14 Seksyen 28 (3);

“Kemudian daripada berjalannya kuatkuasa Enakmen ini tiada seorang pun boleh membayar Zakat dan Fitrah melainkan kepada seorang yang telah dibenarkan oleh Majlis bagi memungut, mengambil atau menerimanya”.

4. Enakmen Kesalahan jenayah Syariah Tahun 1997 Seksyen 16 :

Mana-mana orang yang wajib membayar zakat atau fitrah tetapi:

a) enggan membayar atau dengan sengaja tidak membayar zakat atau fitrah; atau
b) enggan membayar atau dengan senganja tidak membayar zakat atau fitrah itu melalui amil yang dilantik, atau mana-mana orang lain yang diberi kuasa oleh Majlis untuk memungut zakat atau fitrah adalah melakukan kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi satu ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya.

---
#terbaeekkk ‎#kipidap #‎mknaceunlimited‬ #‎mknace‬ ‎#blogger‬ #‎photography‬ #‎photoblog‬ ‎#‎SJCAM‬ ‎#SJ4000‬ #J3‬ ‎#Samsung‬ ‎#GalaxyCamera ‎#altek ‬#‎cubic‬ #love‬ ‎#followme‬ #‎beautiful‬ #‎blogoftheday‬ #fun‬ #like‬‎ #life‬ #colorful‬‎ #photooftheday‬ #‎MyExperience #‎mknaceunlimited,‬ #‎mknace‬, ‎#blogger,‬ #‎photography,‬ #‎photoblog,‬ #‎MyExperience‬,

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Kitab Digital Sekolah Agama Kerajaan Negeri Johor

PERMOHONAN ONLINE KE PROGRAM KOLEJ VOKASIONAL (MENJURUS KEPADA DIPLOMA VOKASIONAL MALAYSIA) AMBILAN JUN 2016

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS : Memakan Daging Saudara SeIslam