PERUTUSAN AWAL TAHUN PENGARAH PENDIDIKAN NEGERI JOHOR 2019


PERUTUSAN AWAL TAHUN PENGARAH PENDIDIKAN NEGERI JOHOR 2019

السلام عليكم ورحمة الله تعالى وبركاته

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera. Tuan-tuan, puan-puan dan warga pendidikan negeri Johor yang dikasihi sekalian.

Tahun 2018, akan melabuhkan tirainya dalam beberapa hari sahaja lagi. Pelbagai peristiwa suka duka, pahit manis dengan pelbagai catatan kejayaan, menjadi warna warni lanskap pendidikan negeri Johor. Tahniah dan terima kasih kepada warga pendidikan Johor yang telah melaksanakan tugas dengan cemerlang. Sesungguhnya pengorbanan dan komitmen yang amat tinggi dalam melaksanakan semua aktiviti pendidikan berjaya menjadikan pendidikan Johor dikagumi bukan sekadar di peringkat nasional malah juga di peringkat antarabangsa.

Mengimbas pencapaian tahun 2018, kita berjaya meletakkan negeri Johor dalam kedudukan yang teratas dalam pelbagai bidang sama ada dalam bidang kurikulum, kokurikulum, kepimpinan mahupun pencapaian murid secara berpasukan dan individu di peringkat nasional dan antarabangsa. Namun, di sebalik lakaran kejayaan yang dicapai, kita juga berdepan dengan banyak cabaran untuk terus meningkatkan pencapaian terutama dalam aspek kemenjadian murid sama ada dalam pentaksiran dan penilaian, enrolmen, disiplin, sahsiah dan lain-lain. Kita juga masih perlu mendepani cabaran kepimpinan khususnya dalam pengurusan organisasi, aduan dan lain-lain untuk terus melonjak ke tahap yang terbaik. 

Tuan-tuan dan puan-puan sekalian.

Sepanjang enam yang tahun lalu, kita telah berjaya melalui fasa transformasi yang mencabar dalam pelaksanaan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025.  Justeru, bagi memastikan momentum Gelombang 2, 2016 - 2020 terus dapat memacu peningkatan sistem, kita perlu menerima hakikat bahawa Aspirasi Sistem dan Aspirasi Murid perlu sentiasa dibugarkan bagi memastikan keberhasilan utama dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia iaitu kualiti sekolah dan kemenjadian murid dapat dicapai. Untuk itu, mulai tahun 2019, Yang Berhormat Menteri Pendidikan telah menggariskan 12 inisiatif baharu bagi menyokong dan memacu peningkatan sistem pendidikan.

Tuan-tuan dan puan-puan sekalian.

Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia juga melalui fokus gerak kerja Melangkah Ke Hadapan turut menggariskan empat dimensi utama yang perlu diberi perhatian sama ada melalui dimensi pendekatan, sasaran mikro, bidang tumpuan dan program strategik agar ia berlaku sederap di setiap peringkat. Semua ini bukan sekadar suatu senario lanskap perubahan dalam pendidikan semata-mata tetapi ia perlu dijadikan asas bagi gerak kerja pada 2019 yang lebih berfokus, konsisten dan jitu agar lebih banyak lagi perkara positif yang boleh dicapai seperti yang terkandung dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia. Oleh itu, dalam pengurusan organisasi, keberhasilan ini perlu diletakkan dalam hierarki yang tertinggi. Selari dengan matlamat ini penstrukturan semula kementerian, JPN dan PPD diselaraskan dengan perubahan fungsi JPN dan PPD  yang direncanakan menerusi Gelombang 2 untuk mempercepatkan keberkesanan perubahan.

Penjajaran semula gerak kerja sedia ada perlu dilakukan agar ia lebih berstruktur dan berimpak tinggi agar kejayaan yang lebih besar dapat dicapai. Apabila kita mensasarkan suatu peningkatan besar dalam kemenjadian murid, kita perlu memastikan gerak kerja transformasi bilik darjah kerana bilik darjah merupakan jantung dan nadi bagi transformasi pendidikan negara. Sewajarnya pembelajaran dan pemudahcaraan dalam bilik darjah diurus dengan berkesan agar potensi anak-anak dapat dibangunkan mengikut kecenderungan mereka. Transformasi bilik darjah diyakini berupaya membawa gelombang (ripple effect) atau sinergi  dalam perubahan bermakna secara keseluruhan.

Tuan-tuan dan puan-puan sekalian.

Selaras dengan usaha membangunkan murid secara holistik, Kementerian Pendidikan Malaysia telah membuat perubahan dalam pentaksiran. Pembelajaran berorientasikan pertumbuhan yang menjadi salah satu bidang tumpuan dalam gerak kerja bagi mengoptimum kemenjadian murid dalam 9 tahun pertama persekolahan perlu diperkukuh. Pada masa ini, sewajarnya guru-guru perlu memberikan lebih tumpuan terhadap perkembangan potensi murid-murid untuk sekurang-kurangnya melepasi tahap minimum dan bukan kecemerlangan peperiksaan.

Pemerkasaan transformasi bilik darjah melalui Pentaksiran Berasaskan Sekolah khususnya Pentaksiran Bilik Darjah, psikometrik dan PAJSK perlu diletakkan pada perspektif yang betul dan reliable agar ia menjadi kayu pengukur yang tepat bagi melahirkan generasi untuk keperluan masa hadapan. Kita tidak lagi boleh menyediakan murid-murid seperti mana kita disediakan pada masa lepas, atau menyediakan murid-murid untuk masa kini, sebaliknya kita perlu menyediakan murid-murid untuk masa hadapan. Oleh sebab itu, mulai tahun 2019 tiada lagi sebarang bentuk peperiksaan atau ujian setara bagi murid-murid tahap 1 sementara konsep pembelajaran didik hibur (fun learning) dan amalan nilai menjadi rutin harian diterapkan secara konsisten.

Guru-guru pastinya memikul tanggungjawab yang berat bukan sekadar pencapaian peperiksaan semata-mata sebaliknya turut mengambil tanggungjawab dalam pembinaan karekter murid-murid dengan nilai manusiawi yang tinggi. Oleh sebab itu, usaha-usaha untuk terus memperkasa speaker corner dan memartabatkan guru sebagai hero teachers perlu diperkukuh. Mereka perlu memperlihatkan bagaimana mereka mempelbagaikan pedagogi bagi menterjemahkan dan menyahut cabaran Revolusi Industri 4.0 kerana kita menyediakan murid untuk masa hadapan.

Tuan-tuan dan puan-puan sekalian.

Untuk memastikan kelangsungan pendidikan berimpak tinggi, kepimpinan pendidikan di semua peringkat perlu diperkasa. Program-program strategik yang digariskan khususnya dalam Program Transformasi Daerah (DTP), Program Transformasi Sekolah 2025 (TS25) dan Komuniti Pembelajaran Profesional (PLC) mesti dilaksana dan dimanfaatkan secara optimum.

Akhir kata, teruskan usaha dengan memperkukuh organisasi dan pasukan dengan visi yang jelas. Kita tidak lagi boleh melaksana tindakan sepertimana biasa (business as usual) sebaliknya dengan tekad dan iltizam tinggi untuk mengubah lanskap pendidikan demi kepentingan anak-anak pada masa hadapan.

Guru-guru sekalian. 

Biar siapa pun anda, di mana pun anda berada, walau apa pun  alasan anda menjadi guru, di bahu andalah masa hadapan negara. Anda adalah arkitek sekaligus pembina legasi negara bangsa. Oleh itu, bersedialah menghadapi dan menerajui perubahan dengan tekad menjadikan murid-murid sebagai aset kebanggaan negara kelak. Di tangan andalah, kanvas putih terbentang. Lakarlah, lukislah, warnailah dan manfaatkanlah apa jua sumber yang ada untuk menghasilkan corak terbaik buat bekalan kehidupan anak-anak kita di dunia dan akhirat.

Selamat datang 2019. Selamat tahun baharu, dengan azam baharu dan iltizam yang baharu, kita akan melakar kejayaan lebih gemilang. Insya’ Allah.

Wabillahitaufik Walhidayah. Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Terima kasih.

HAJI SHAHARUDIN BIN SHARIF
Pengarah Pendidikan Negeri Johor
Jabatan Pendidikan Negeri Johor
24 Disember 2019

Muat turun dokumen perutusan awal tahun di sini :
http://jpnjohor.moe.gov.my/jpnjohor/v6/index2.php?BHS=&UT=4&MN=40&JN=&W=3065

Muat turun video perutusan awal tahun di sini :
https://drive.google.com/file/d/17gLjSSXlMqWBsE8BxIL-Dpg1-cJ8ZzPu/view


---
#terbaeekkk ‎#kipidap #‎mknaceunlimited‬ #‎mknace‬ ‎#blogger‬ #‎photography‬ #‎photoblog‬ ‎#‎SJCAM‬ ‎#SJ4000‬ #J3‬ ‎#Samsung‬ ‎#GalaxyCamera ‎#altek ‬#‎cubic‬ #love‬ ‎#followme‬ #‎beautiful‬ #‎blogoftheday‬ #fun‬ #like‬‎ #life‬ #colorful‬‎ #photooftheday‬ #‎MyExperience #‎mknaceunlimited,‬ #‎mknace‬, ‎#blogger,‬ #‎photography,‬ #‎photoblog,‬ #‎MyExperience‬,

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Kitab Digital Sekolah Agama Kerajaan Negeri Johor

PERMOHONAN ONLINE KE PROGRAM KOLEJ VOKASIONAL (MENJURUS KEPADA DIPLOMA VOKASIONAL MALAYSIA) AMBILAN JUN 2016

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS : Memakan Daging Saudara SeIslam