SOALAN LAZIM (FAQ's) OPERASI PEJABAT KERAJAAN SEMASA PERINTAH KAWALAN PERGERAKAN BERSYARAT (PKPB)


SOALAN LAZIM (FAQ's) OPERASI PEJABAT KERAJAAN SEMASA PERINTAH KAWALAN PERGERAKAN BERSYARAT (PKPB). Soalan lazim berdasarkan Surat Edaran JPA rujukan JPA.SARAAN(S)256/6/31 JLD.6 (6) bertarikh 2 MEI 2020 yang boleh dimuat turun melalui pautan https://docs.jpa.gov.my/docs/se/2020/se02052020.pdf

1. Apakah tujuan surat edaran ini dikeluarkan?
Surat edaran ini disediakan sebagai prinsip panduan (guiding principle) untuk Ketua Jabatan menyediakan garis panduan operasi pejabat yang khusus dan sejajar dengan fungsi dan tugasan jabatan masing-masing dengan mengambilkira keperluan menyediakan perkhidmatan kepada pelanggan dan memadankan keperluan petugas-petugas menyampaikan perkhidmatan samada di lokasi atau secara maya. Walau apa pun, penyediaaan garis panduan yang khusus ini perlu mengambilkira saranan YAB Perdana Menteri dan Ketua Setiausaha Negara, antaranya, keberadaan di pejabat kepada pegawai yang perlu, penggiliran pekerja dan galakan pelaksanaan mesyuarat
secara maya.

2. Siapakah yang layak dipertimbangkan untuk bekerja dari rumah?
Semua pegawai Perkhidmatan Awam Persekutuan boleh dipertimbangkan untuk bekerja dari rumah kecuali mana-mana perkhidmatan yang urusan atau tugasannya memerlukan keberadaan pegawai di pejabat.

3. Adakah Waktu Bekerja Fleksi Ramadhan boleh digunakan sepanjang bulan Ramadhan ini bagi pegawai yang perlu hadir ke pejabat?
Boleh. WBF Ramadhan sepanjang bulan Ramadhan adalah mengurangkan waktu rehat selama 30 minit bagi membenarkan pegawai meninggalkan pejabat 30 minit lebih awal seperti dijelaskan
dalam Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 5 Tahun 2019. Ketua Jabatan adalah bertanggungjawab memastikan pegawai mengisi borang WBF Ramadan untuk memilih tempoh waktu rehat yang bersesuaian dengan keperluan WBF pegawai.

4. Adakah Waktu Bekerja Fleksi Ramadhan dan kemudahan pelaksanaan kebenaran pulang awal satu jam kepada pegawai wanita mengandung seperti dijelaskan dalam Pekeliling
Perkhidmatan Bilangan 11 Tahun 2017 boleh digunakan sepanjang bulan Ramadhan ini bagi pegawai yang bekerja dari rumah?
Tidak. WBF Ramadhan dan kemudahan pelaksanaan kebenaran pulang awal satu jam kepada pegawai wanita mengandung hanya terpakai bagi mereka yang hadir seharian di pejabat sahaja.

5. Apakah contoh-contoh perkhidmatan yang tidak sesuai untuk dipertimbangkan pemberian kemudahan bekerja dari rumah?
Jenis-jenis perkhidmatan yang tidak sesuai untuk dipertimbangkan pemberian bekerja dari rumah adalah berbeza-beza antara jabatan. Sebagai contoh bagi perkhidmatan kewangan, sekiranya urusan
berkaitan boleh diuruskan secara atas talian atau hanya diuruskan pada waktu-waktu tertentu, maka pegawai di bahagian atau unit berkenaan boleh dipertimbangkan bekerja dari rumah secara bergilir
atau mengikut tempoh yang sesuai. Walau bagaimanapun sekiranya perkhidmatan kewangan berkenaan memerlukan pertemuan bersemuka dengan pelanggan seperti di kaunter, maka pegawai yang bertanggungjawab tidak wajar bekerja dari rumah. Justeru adalah menjadi tanggungjawab Ketua
Jabatan menetapkan kriteria pertimbangan bekerja dari rumah yang sesuai dengan tanggungjawab dan kaedah bekerja jabatan masing-masing.

6. Adakah pegawai yang masih berada di kampung dikehendaki melaporkan diri ke pejabat mulai 4 Mei 2020?
Bagi pegawai yang masih berada di kampung, pada asasnya mereka perlu mematuhi peraturan yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi maksud
melakukan perjalanan balik ke kediaman masing-masing. Sekiranya sehingga 4 Mei 2020, pegawai masih belum dibenarkan untuk melakukan perjalanan balik ke kediaman masing-masing, adalah menjadi tanggungjawab pegawai berkenan memaklumkan Ketua Jabatan mengenai halangan berkenaan. Dalam aspek ini Ketua Jabatan boleh menimbangkan pegawai untuk bekerja dari rumah
selagi mana beliau masih tidak dibenarkan balik ke kediaman mereka.

7. Adakah Ketua Jabatan boleh mengaturkan kaedah bekerja dari rumah secara bergilir atau fleksi kepada pegawai di Jabatan masing–masing?
Ketua Jabatan boleh menetapkan pegawai bekerja dari rumah secara giliran mengikut hari atau mingguan, berdasarkan keperluan perkhidmatan jabatan masing-masing. Contohnya: Sekumpulan pegawai dari kumpulan A bekerja dari rumah untuk minggu pertama dan sekumpulan pegawai dari kumpulan B bekerja penuh di pejabat. Manakala pada minggu kedua, pegawai Kumpulan A akan bekerja penuh di pejabat dan pegawai dari kumpulan B akan bekerja dari rumah. Ketua Jabatan hendaklah memastikan kesinambungan penyampaian perkhidmatan adalah seperti biasa dan pertimbangan pegawai untuk bekerja dari rumah tidak menjejaskan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.

8. Adakah Ketua Jabatan boleh menetapkan pegawai untuk bekerja di pejabat dan bekerja dari rumah pada hari yang sama?
Boleh, tertakluk kepada kelulusan Ketua Jabatan. Ketua Jabatan hendaklah memastikan sistem penyampaian perkhidmatan tidak terjejas.

9. Adakah pegawai boleh memohon untuk bekerja dari rumah bagi urusan penjagaan anak-anak memandangkan sesi persekolahan belum bermula?
Selaras dengan saranan YAB Perdana Menteri dan Ketua Setiausaha Negara, Ketua Jabatan boleh menimbangkan dan memberi kelonggaran untuk bekerja dari rumah bagi pegawai awam yang mempunyai tanggungan anak yang berusia 12 tahun ke bawah atau anak-anak berstatus Orang Kurang Upaya (OKU) yang bersekolah dan memerlukan penjagaan berterusan.

10. Adakah pasangan suami isteri yang mempunyai anak berusia 12 tahun ke bawah atau anak-anak berstatus Orang Kurang Upaya (OKU) yang merupakan penjawat awam boleh bekerja dari rumah?
Pasangan penjawat awam boleh bekerja dari rumah tertakluk kepada pertimbangan dan kelulusan Ketua Jabatan masing-masing. Sekiranya tugasan pasangan penjawat awam memerlukan keberadaan di pejabat, pegawai perlu bergilir-gilir dengan pasangan untuk bekerja dari rumah.

11. Adakah pegawai boleh memohon untuk bekerja dari rumah bagi tempoh mulai 4 Mei 2020 sehingga sesi persekolahan dibuka memandangkan pasangan pegawai adalah pekerja swasta?
Boleh. Pegawai perlu memaklumkan kepada Ketua Jabatan dan sekiranya mendapati ianya perlu, Ketua Jabatan boleh mempertimbang untuk pegawai bekerja dari rumah.

12. Adakah pegawai yang tidak mempunyai anak bersekolah atau tiada anak yang berusia 12 tahun ke bawah atau anak-anak berstatus Orang Kurang Upaya (OKU) boleh bekerja dari rumah?
Boleh. Ketua Jabatan boleh menimbang dan memberi kelonggaran kepada mana-mana pegawai awam seperti di atas untuk bekerja dari rumah tertakluk kepada syarat suatu kerja itu boleh dilaksanakan di rumah.

13. Adakah pegawai yang bekerja dari rumah boleh dipanggil ke pejabat atau lain-lain lokasi?
Ketua Jabatan, atas kepentingan perkhidmatan boleh mengarahkan mana-mana pegawai yang bekerja dari rumah untuk hadir ke pejabat pada masa yang dikehendaki dalam tempoh waktu pejabat. Walau bagaimanapun Ketua Jabatan hendaklah memastikan rumah pegawai atau lokasi/premis yang diluluskan adalah dalam lingkungan jarak yang munasabah untuk membolehkan pegawai hadir ke pejabat pada bila-bila masa apabila dikehendaki.

14. Adakah pegawai boleh menyelesaikan urusan peribadi di luar semasa diarahkan bekerja dari rumah?
Mana-mana pegawai yang dibenarkan bekerja dari rumah perlu mematuhi peraturan penjawat awam. Bagi pegawai yang diarahkan bekerja dari rumah, perkara-perkara seperti berikut hendaklah dipatuhi:
a) sentiasa berada di rumah dalam tempoh waktu pejabat/bekerja yang ditetapkan oleh Kerajaan;
b) sentiasa bersedia sekiranya diarah oleh Ketua Jabatan untuk hadir ke pejabat atau mana-mana lokasi lain; dan
c) memastikan sentiasa boleh dihubungi dalam tempoh waktu bekerja.
Tindakan tatatertib boleh diambil terhadap pegawai yang tidak berada di rumah pada waktu bekerja/pejabat yang ditetapkan melainkan mendapat kebenaran Ketua Jabatan. Pegawai adalah
tertakluk kepada Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 [P.U.(A) 395/1993] dan peraturan-peraturan lain yang dikeluarkan dari semasa ke semasa yang mana bersesuaian.

15. Adakah pegawai yang bekerja dari rumah boleh membuat tuntutan kerja lebih masa?
Elemen tuntutan kerja lebih masa adalah tidak berbangkit kepada pegawai yang dibenarkan bekerja dari rumah. Sekiranya, pegawai yang bekerja dari rumah diarahkan bekerja di lokasi lain selain rumah pegawai selepas waktu pejabat, boleh dipertimbangkan bayaran lebih masa tertakluk kepada peraturan yang berkuat kuasa.

16. Adakah pegawai boleh memohon cuti rehat mulai 4 Mei 2020?
Kemudahan cuti rehat adalah berkuat kuasa berdasarkan peraturan sedia ada. Setiap permohonan cuti rehat perlu mendapat kelulusan Ketua Jabatan.

---
#terbaeekkk ‎#kipidap #‎mknaceunlimited‬ #‎mknace‬ ‎#blogger‬ #‎photography‬ #‎photoblog‬ ‎#‎SJCAM‬ ‎#SJ4000‬ #J3‬ ‎#Samsung‬ ‎#Fujifilm ‎#altek ‬#‎cubic‬ #love‬ ‎#followme‬ #‎beautiful‬ #‎blogoftheday‬ #fun‬ #like‬‎ #life‬ #colorful‬‎ #photooftheday‬ #‎MyExperience

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Kitab Digital Sekolah Agama Kerajaan Negeri Johor

PERMOHONAN ONLINE KE PROGRAM KOLEJ VOKASIONAL (MENJURUS KEPADA DIPLOMA VOKASIONAL MALAYSIA) AMBILAN JUN 2016

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS : Memakan Daging Saudara SeIslam