SAMBUTAN HARI GURU PERINGKAT KEBANGSAAN KALI KE- 51 TAHUN 2022 : PERUTUSAN KETUA PENGARAH PENDIDIKAN MALAYSIA

SAMBUTAN HARI GURU PERINGKAT KEBANGSAAN KALI KE- 51 TAHUN 2022 : PERUTUSAN KETUA PENGARAH PENDIDIKAN MALAYSIA

SAMBUTAN HARI GURU PERINGKAT KEBANGSAAN KALI KE- 51 TAHUN 2022 : PERUTUSAN KETUA PENGARAH PENDIDIKAN MALAYSIA

Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera.
Apa khabar semua?

PENDAHULUAN

1. Alhamdulillah, syukur kerana dengan limpah kurnia dan rahmat-Nya kita dapat meraikan sambutan Hari Guru bagi tahun 2022 pada hari ini. Setiap tahun pada tanggal 16 Mei adalah tarikh keramat
penuh bermakna kepada warga pendidik. Guru diberi pengiktirafan atas peranan dan pengorbanan mendidik anak bangsa. Pastinya sejak dahulu lagi, rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan agama sentiasa memberikan penghormatan dan penghargaan yang tidak terhingga terhadap tugas dan peranan guru.

2. Pengalaman berhadapan dengan situasi pandemik COVID-19 selama dua tahun turut mengubah Sambutan Hari Guru, yang tidak dapat disambut sebagaimana kebiasaan. Namun, tanggal 16 Mei tetap
memberi nostalgia kepada warga sekolah terutamanya dalam kalangan guru untuk mengimbau kenangan manis Sambutan Hari Guru setiap tahun.

3. Pada tahun ini, tema hari guru ialah ‘Guru Tunjang Sekolah SEJAHTERA’. Tema ini membawa pengertian yang cukup mendalam dan bermakna kerana guru merupakan tunjang utama dalam Sistem
Pendidikan Negara. Peranan guru bukan sahaja untuk menyampaikan ilmu kepada murid, malah memastikan murid mempunyai sahsiah serta daya saing yang tinggi melalui penjiwaan amalan baik yang diterapkan melalui Pembelajaran dan Pemudahcaraan (PdPc) di sekolah.

4. Sesungguhnya dalam usaha melahirkan generasi yang berilmu pengetahuan, gurulah yang menjadi pengajar, pendidik dan pembimbing yang menyumbang khidmat bakti bermula dari tadika sehinggalah ke peringkat tertinggi. Guru menjadi pendukung dan pemacu kepada transformasi pendidikan negara. Setiap tahun kita telah melalui dan melihat pelbagai pengalaman serta kejayaan murid sama ada yang
masih menuntut di sekolah atau telah tamat persekolahan. Segala pengalaman pahit dan manis tersebut tidak akan dapat dirasai tanpa usaha gigih dan keprihatinan para guru.

MELAHIRKAN MURID YANG MENGHAYATI NILAI

Warga Sekolah yang dikasihi,

5. Masyarakat di seluruh dunia terpaksa mengubah gaya hidup sehingga ada dalam kalangan mereka yang terpaksa keluar daripada kebiasaan akibat pandemik COVID-19. Negara kita juga tidak terkecuali
mengalami kesan akibat penularan COVID-19. Pendidikan anak-anak amat terkesan dengan cabaran dalam era pandemik COVID-19 yang menyaksikan perubahan penyampaian pengajaran dan pembelajaran. Atas keprihatinan dan tanggungjawab Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), pendidikan anak-anak perlu diteruskan dengan pelbagai kaedah termasuklah melaksanakan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) secara dalam talian, luar talian atau off-site. 

6. Pengalaman PdPR telah memberi ruang dan peluang kepada para guru dalam meningkatkan kemahiran teknologi digital malahan kepada anak-anak sekalian. Hal ini turut memberi satu peningkatan kemahiran digital dalam kaedah PdPc apabila pengoperasian sekolah dibuka secara bersemuka. Penggunaan aplikasi teknologi digital diteruskan dalam PdPc agar pendidikan negara terus relevan seiring dengan perkembangan teknologi tanpa mengabaikan nilai-nilai murni dalam kehidupan kita.

7. Sehubungan dengan ini, Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 turut memberi penekanan kepada pembudayaan amalan baik untuk mewujudkan ekosistem yang kondusif melalui Anjakan 3: Melahirkan Rakyat yang Menghayati Nilai. Dalam usaha untuk mencapai matlamat melahirkan insan yang seimbang, harmoni dan sejahtera, konsep Sekolahku SEJAHTERA diperkenalkan. Konsep ini bertujuan memupuk dan membudayakan amalan nilai murni dalam kalangan warga sekolah serta mewujudkan persekitaran sekolah yang selamat dan kondusif. 

8. Saya percaya, suasana sekolah yang selamat, aman, selesa dan menggembirakan dapat menarik minat dan semangat murid untuk hadir ke sekolah setiap hari. Hal ini penting agar suasana sekolah yang kondusif dan menyeronokkan menjadi tarikan untuk anak-anak mengikuti PdPc serta melaksanakan pelbagai program dan aktiviti kokurikulum bagi memastikan kemenjadian murid.

PENERAPAN ELEMEN SEJAHTERA

Warga Sekolah yang dikasihi,

9. Konsep Sekolahku SEJAHTERA adalah selari dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan iaitu melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri. 

10. Penerapan elemen SEJAHTERA bermula daripada peringkat prasekolah dan berterusan sehingga peringkat menengah dan diamalkan sepanjang hayat. Proses penerapan elemen SEJAHTERA berfokuskan kepada pembelajaran berpusatkan murid bagi memastikan pembelajaran lebih bermakna dan berkesan.

11. Konsep ini juga bermatlamat untuk menambah baik peranan guru sebagai pemboleh daya penerapan elemen SEJAHTERA. Penerapan elemen SEJAHTERA dalam kalangan murid perlu dilaksanakan secara menyeluruh di dalam dan di luar sekolah yang melibatkan aktiviti berstruktur dalam aktiviti kurikulum dan kokurikulum. Murid yang sejahtera sudah pasti akan membentuk sekolah sejahtera. Usaha ini perlu melibatkan kolaboratif antara pihak sekolah dengan keluarga serta sokongan komuniti.

KEMENJADIAN MURID DI SEKOLAH DAN DI LUAR SEKOLAH

Warga Sekolah yang dikasihi,

12. Saya percaya bahawa setiap elemen dalam konsep sekolahku SEJAHTERA yang difahami, dipraktikkan dan dihayati dapat membentuk budaya amalan baik di sekolah serta mewujudkan suasana
sekolah yang selamat. Elemen yang dipraktikkan juga berupaya melahirkan insan bernilai positif yang dapat menyumbang kepada pembentukan masyarakat sejagat.

PENUTUP

Warga Sekolah yang dikasihi,

13. Akhir kata, marilah kita bersama-sama memastikan tema sambutan Hari Guru iaitu Guru Tunjang Sekolah SEJAHTERA ke arah membina negara bangsa melalui pelaksanaan pendidikan yang berkualiti. Kepada guru, andalah pewaris negara yang membina generasi baharu. Sekali lagi, saya ucapkan Selamat Hari Guru, Guru Tunjang Sekolah SEJAHTERA. “Terima kasih cikgu!”

Sekian. Wabillahi taufik wal hidayah wassalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh.


--- 
#‎mknaceunlimited‬ #‎mknace #thecoloursoflife #terbaeekkk ‎#kipidap ‎#blogger‬ #‎photography‬ #‎photoblog‬ ‎#‎SJCAM‬ ‎#SJ4000‬ #J3‬ ‎#Samsung‬ ‎#Fujifilm ‎#altek ‬#‎cubic‬ #love‬ ‎#followme‬ #‎beautiful‬ #‎blogoftheday‬ #fun‬ #like‬‎ #life‬ #colorful‬‎ #photooftheday‬ #‎MyExperience

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Kitab Digital Sekolah Agama Kerajaan Negeri Johor

PERMOHONAN ONLINE KE PROGRAM KOLEJ VOKASIONAL (MENJURUS KEPADA DIPLOMA VOKASIONAL MALAYSIA) AMBILAN JUN 2016

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS : Memakan Daging Saudara SeIslam