Pilihan Raya Kecil DUN Chempaka Ditetapkan 22 Mac - Pengerusi SPR

Pilihan Raya Kecil DUN Chempaka Ditetapkan 22 Mac - Pengerusi SPR


Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof menunjukkan watikah pelantikan Pegawai Pengurus Pilihan Raya sebelum diserahkan kepada Ibrahim Bakri Mat Deris (kanan)PUTRAJAYA, 18 Feb (Bernama) -- Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chempaka di Kelantan pada 22 Mac depan.

Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata hari penamaan calon pula ditetapkan pada 10 Mac, manakala pengundian awal pada 18 Mac.

"Tarikh tutup untuk permohonan bagi undi pos untuk dalam negara adalah pada 12 Mac, manakala untuk permohonan undi pos bagi pengundi luar negara pada 10 Mac," katanya dalam sidang media sempena Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) N.06 Chempaka di sini hari ini.

Pilihan raya kecil itu akan diadakan ekoran kematian penyandangnya yang juga bekas Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pada 5 Feb lalu akibat kanser prostat.

Pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) lepas, Nik Abdul Aziz (PAS) menewaskan calon Barisan Nasional (BN) Wan Razman Wan Abd Razak dengan majoriti 6,500 undi. Nik Abdul Aziz mendapat 12,310 undi manakala Wan Razman memperoleh 5,810 undi.

PRK DUN Chempaka adalah pilihan raya kecil kelapan diadakan selepas PRU13 pada 5 Mei 2013.

Tujuh PRK sebelum ini adalah PRK DUN Kuala Besut, Terengganu (24 Julai 2013); PRK DUN Sungai Limau, Kedah (4 Nov 2013); PRK DUN Kajang, Selangor (23 Mac 2014); PRK DUN Balingian, Sarawak (29 Mac 2014); PRK Parlimen Bukit Gelugor, Pulau Pinang (25 Mei 2014); PRK Parlimen Teluk Intan, Perak (31 Mei 2104) dan PRK DUN Pengkalan Kubor, Kelantan (25 Sept 2014).

Abdul Aziz berkata daftar pemilih yang akan diguna untuk PRK itu ialah Daftar Pemilih Induk 2013 yang digabungkan sehingga Daftar Pemilih Tambahan Suku Ketiga Tahun 2014 dan dikemas kini sehingga 12 Feb lalu.

Beliau berkata daftar pemilih itu mengandungi 21,890 pemilih berdaftar yang terdiri daripada 20,390 pemilih biasa, 1,497 pemilih awal dan tiga orang pengundi tidak hadir luar negara.

"Daftar pemilih akan mula dijual pada 8 Mac. Para pengundi juga boleh membuat semakan daftar pemilih untuk mengetahui maklumat pusat mengundi dan saluran mengundi melalui laman web SPR atau menggunakan khidmat pesanan ringkas (SMS)," katanya.

Beliau berkata proses penamaan calon dan penjumlahan rasmi undi akan diadakan di Dewan Bitara Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Pengkalan Chepa, Kota Baharu.

Katanya sebanyak 10 pusat mengundi melibatkan sembilan sekolah dengan 42 saluran tempat mengundi akan diguna, manakala pengundian awal akan berlangsung di Dewan Tan Sri Hamid Bidin, Kem Pengkalan Chepa, Kota Baharu. Beliau berkata keadaan semua sekolah yang dijadikan pusat mengundi untuk PRK DUN Chempaka itu adalah memuaskan dan tidak memerlukan sebarang penambahbaikan memandangkan ia tidak terlibat dengan banjir besar baru-baru ini.

Katanya sebanyak 403 petugas pilihan raya akan dilantik untuk mengendalikan proses pilihan raya ini dan belanjawan dianggar sebanyak RM810,000.

"SPR juga bersetuju untuk menubuhkan dua pasukan penguat kuasa kempen pilihan raya yang akan diketuai oleh seorang pengawai penguat kuasa bagi setiap pasukan," katanya.

Beliau berkata Timbalan Ketua Jajahan Kota Baharu Pejabat Tanah dan Jajahan Kota Bharu Ibrahim Mat Deris dilantik sebagai pegawai pengurus PRK DUN Chempaka dan akan dibantu oleh dua penolong pegawai pengurus pilihan raya.

Abdul Aziz berkata untuk PRK DUN Chempaka, SPR akan menimbang pelantikan pemerhati tempatan jika ada permohonan untuk menjalankan pemerhatian sepanjang proses pilihan raya bermula dari hari penamaan calon sehingga keputusan pilihan raya.

Katanya para pemerhati itu dilantik dalam kalangan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) dan dibenarkan untuk membuat pemerhatian di dalam pusat penamaan calon, pusat pengundian awal, pusat mengundi dan pusat penjumlahan rasmi undi.

"SPR tidak mengiktiraf mana-mana organisasi dan individu selain yang dilantik oleh suruhanjaya ini. SPR berhak menghalang sesiapa yang tidak diberi kebenaran untuk membuat pemerhatian dan pemantauan," katanya.

--Berita & foto dikongsi dari BERNAMA

Via Blogger PC Edisen

Enjoice...Sharing is power!!!

Ping your blog, website, or RSS feed for Free


Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Kitab Digital Sekolah Agama Kerajaan Negeri Johor

PERMOHONAN ONLINE KE PROGRAM KOLEJ VOKASIONAL (MENJURUS KEPADA DIPLOMA VOKASIONAL MALAYSIA) AMBILAN JUN 2016

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS : Memakan Daging Saudara SeIslam