PENCAPAIAN PPPM 2013-2025

PENCAPAIAN PPPM 2013-2025



Kita telah melalui tempoh setahun pelaksanaan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 yang penuh warna dan cabaran. Penggabungan semula dua Kementerian terbesar dalam perkhidmatan awam – Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pengajian Tinggi merupakan satu langkah berani kerajaan untuk menyelaraskan usaha memartabatkan sistem pendidikan negara ke peringkat yang lebih tinggi. Di bawah PPPM, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah menunjukkan iltizam dan komitmen yang tidak berbelah bagi untuk melaksanakan insiatif-inisiatif yang telah ditetapkan.

Selaras dengan Program Transformasi Kerajaan 2.0, KPM mengorak langkah dengan penetapan 1Agenda pada 5 Disember 2012 bagi memastikan kita semua bergerak dalam satu pasukan - satu nada, satu suara. Usaha ini telah membuahkan hasil kerana dalam masa 100 hari, KPM telah berjaya melaksanakan 6 sasaran awal yang telah ditetapkan. Kejayaan ini telah diumumkan oleh YAB Menteri Pendidikan di SMK Jalan 4, Bandar Baru Bangi pada 10 April 2013 yang lalu sebagai bukti bahawa KPM benar-benar serius dalam usaha memberikan pendidikan berkualiti bertaraf dunia.


1. PROGRAM TRANSFORMASI DAERAH 
Program Transformasi Daerah di bawah Anjakan ke 6 PPPM bertujuan mempercepat penambahbaikan prestasi sekolah melalui program yang sistematik dan dipimpin oleh Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) telah dirintis di Sabah dan Kedah. Fungsi dan peranan PPD dan JPN telah ditambahbaik untuk memberikan sokongan dan bimbingan melalui Rakan Peningkatan Sekolah (SIPartners+) dan Jurulatih Utama Peningkatan Sekolah (SISC+). Di Kedah dan Sabah, program ini melibatkan 2551 sekolah, lebih 89,000 guru dan hampir satu juta murid. Hasilnya, kedua-dua negeri mencatatkan prestasi UPSR terbaik dalam tempoh 8 tahun dan peningkatan tertinggi berbanding negeri lain pada 2013. Gred purata Kedah dan Sabah masing-masing meningkat 0.06 dan 0.07 mata berbanding purata peningkatan kebangsaan sebanyak 0.04.

2. LINUS 
Kementerian berbangga kerana usaha gigih guru-guru di negara ini telah menunjukkan hasil memberangsangkan bagi LINUS – Anjakan kedua PPPM. Pencapaian murid Tahun 3 di seluruh negara yang menguasai literasi Bahasa Malaysia ialah 99.1% atau 440 591 murid Tahun 3 manakala kadar numerasi meningkat kepada 99.3% atau 441 571 murid selepas 3 tahun persekolahan. LINUS B Inggeris juga dilancarkan pada tahun ini dan dalam masa empat bulan, garis asas pencapaian murid menguasai literasi Bahasa Inggeris adalah 50% bagi murid Tahun 1 dan pencapaian ini telah meningkat kepada 63% pada bulan November 2013. Walaupun peratusan ini tidak setinggi yang diharapkan, tetapi ia merupakan satu titik permulaan ke arah mempertingkatkan kadar literasi bahasa Inggeris secara lebih berstruktur dan sistematik berbanding tahun-tahun sebelumnya.

3. PELIBATAN IBU BAPA, KOMUNITI DAN SEKTOR SWASTA 
Pencapaian ketiga, di bawah Anjakan ke 9 Pelibatan Ibu Bapa, komuniti dan sektor swasta, Sarana Pelibatan Ibu bapa telah berjaya diedarkan ke 10 087 sekolah di seluruh Negara dengan penekanan kepada pelibatan mereka bersama pihak sekolah dalam membantu mempertingkatkan keberhasilan murid. 

4. PENDIDIKAN TEKNIK DAN VOKASIONAL 
Pada tahun 2013, 4.7% (daripada sasaran 5%) murid telah mengikuti latihan teknikal dan vokasional di peringkat menengah atas. Walaubagaimanapun, fokus bagi tahun 2014 ini akan diberikan kepada transformasi pendidikan vokasional dan peningkatan penyediaan kemudahan fizikal untuk menambah bilangan pelajar kepada 20%. Dengan Sektor Pengajian Tinggi berada di bawah payung yang sama, laluan latihan vokasional daripada peringkat pendidikan asas ke pendidikan tinggi akan lebih berkesan dan kerjasama yang lebih erat akan wujud di antara kedua-dua sektor Pelajaran dan Pengajian Tinggi. 

5. PENDIDIKAN KHAS 
9.6% daripada sasaran sudah tercapai, iaitu seramai 5 393 murid berkeperluan khas sudah pun mendaftar dalam program pendidikan arus perdana. Ini membuktikan bahawa jalinan kerjasama ibu bapa, komuniti, agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan serta warga pendidikan adalah penting dalam memastikan murid berkeperluan khas sentiasa mendapat peluang untuk pendidikan berkualiti tinggi yang sesuai dengan keperluan mereka.

6. INFRASTRUKTUR ASAS 
Bagi memastikan suasana yang kondusif untuk pembelajaran, Kementerian sentiasa berusaha untuk memastikan keperluan asas di setiap sekolah berada dalam keadaan baik, terutama di Sabah dan Sarawak seperti yang dinyatakan dengan jelas dalam Bab 6 PPPM. Di bawah Anjakan 6, kita menetapkan sasaran 1,608 projek pembaikan kritikal selesai, memberikan murid akses kepada bekalan elektrik yang stabil dan bekalan air, dan sasaran ini telah pun dicapai pada 2013. Kita akan meneruskan usaha secara berperingkat untuk mengenalpasti sekolah-sekolah lain yang memerlukan penambahbaikan infrastruktur dari masa ke semasa ini demi keselamatan dan keselesaan semua murid di negara ini. 

7. TRANSFORMASI INSTITUT PENDIDIKAN GURU
Anjakan ke 4 PPPM, iaitu mentransformasi profesion keguruan menjadi profession pilihan yang jelas menerangkan peningkatan peranan dan laluan kerjaya guru. Melalui anjakan ini, guru boleh memilih untuk menjalankan tugas kepimpinan iaitu Guru besar dan pengetua di peringkat sekolah ataupun guru pakar (laluan professional) ataupun menjadi pegawai di peringkat daerah dan negeri dan persekutuan (laluan pentadbiran pendidikan). Yang menariknya, peluang untuk kenaikan pangkat adalah sama tanpa mengira laluan yang dipilih sama ada laluan kepimpinan, laluan pakar pengajaran ataupun laluan pentadbiran pendidikan. Selain itu, kita juga telah berjaya menggabungkan skim Perkhidmatan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah (PPPS) dan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Lepasan Diploma (PPPLD) ke dalam satu skim perkhidmatan bersepadu Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PPP).

Selaras dengan amalan terbaik di peringkat antarabangsa, pencapaian ke TUJUH PPPM menyaksikan kualiti pengambilan guru pelatih di Institut Pendidikan Guru meningkat dengan ketara. 42% daripada kohort tahun ini merupakan pelajar yang mendapat 7A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia. Manakala 70% ambilan IPG yang sedang mengikuti latihan perguruan kini mendapat 5A dalam SPM. Usaha-usaha yang dijalankan di bawah Transformasi IPG akan dapat meningkatkan kualiti guru-guru permulaan yang bakal mencorak masa depan pendidikan negara.

8. PROFISIENSI GURU BAHASA INGGERIS
Pencapaian ke LAPAN, 5000 guru Bahasa Inggeris menjalani program peningkatan profisiensi bahasa Inggeris ke arah kenaikan sekurang-kurangnya satu band berdasarkan Common European Framework Reference (CEFR).

9. PIAGAM PENGETUA DAN GURU BESAR
Di dalam Bab 5 PPPM Kementerian juga telah memberikan komitmen untuk meningkatkan kualiti kepimpinan sekolah dengan memperbaiki pendekatan pelantikan dan melatih pengetua/guru besar. Melalui inisiatif Piagam Pengetua/guru besar, pencapaian ke SEMBILAN PPPM iaitu kriteria pemilihan baru berasaskan prestasi dan proses berasaskan merit telahpun diluluskan, menggantikan model terdahulu dalam memilih dan melantik pengetua/guru besar berdasarkan tempoh perkhidmatan. Langkah awal telahpun diambil bagi memastikan 557 pengetua/guru besar yang akan bersara antara Julai hingga Disember 2014 dapat diganti dengan pemimpin sekolah terbaik daripada seluruh negara.


Via Blogger PC Edisen

Enjoice...Sharing is power!!!

Ping your blog, website, or RSS feed for Free


Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Kitab Digital Sekolah Agama Kerajaan Negeri Johor

PERMOHONAN ONLINE KE PROGRAM KOLEJ VOKASIONAL (MENJURUS KEPADA DIPLOMA VOKASIONAL MALAYSIA) AMBILAN JUN 2016

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS : Memakan Daging Saudara SeIslam