TEKS UCAPAN YB MENTERI PENDIDIKAN SEMPENA MAJLIS PELANCARAN GERAKAN MASSA: ‘TERIMA KASIH CIKGU’ PERINGKAT KEBANGSAAN SEMPENA SAMBUTAN HARI GURU KALI KE-48 TAHUN 2019


TEKS UCAPAN YB MENTERI PENDIDIKAN SEMPENA MAJLIS PELANCARAN GERAKAN MASSA: ‘TERIMA KASIH CIKGU’ PERINGKAT KEBANGSAAN SEMPENA SAMBUTAN HARI GURU KALI KE-48 TAHUN 2019 boleh dimuat turun di url : https://www.moe.gov.my/images/KPM/UKK/2019/03_Mac/V2_TEKS_UCAPAN_MENTERI_PENDIDIKAN_-_MAJLIS_PELANCARAN_GMTKC_HARI_GURU_2019_18.3.2019.pdf

MAJLIS PELANCARAN GERAKAN MASSA: ‘TERIMA KASIH CIKGU’ PERINGKAT KEBANGSAAN SEMPENA SAMBUTAN HARI GURU KALI KE-48 TAHUN 2019 BERTEMPAT DI THE TOP KOMTAR, PULAU PINANG PADA 21 MAC 2019 (KHAMIS), JAM 8.00 MALAM

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera,

Yang Berbahagia Tan Sri, Datuk Seri, Dato', Puan Sri, Datin Seri, Datin, Tuan-tuan, Puan-puan dan para tetamu yang saya hormati sekalian.

Pendahuluan

Alhamdulillah, saya memanjatkan rasa penuh kesyukuran ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah kurnia-Nya, kita dapat berkumpul pada hari ini sempena Majlis Pelancaran Gerakan Massa:
Terima Kasih Cikgu Peringkat Kebangsaan 2019 sebagai tanda pengiktirafan kita yang tidak terhingga atas sumbangan dan jasa warga pendidik ke arah membangunkan modal insan negara. Saya
mengucapkan terima kasih semua warga Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Kumpulan Penggerak Ibu Bapa Komuniti Kebangsaan (KPIBKK), Kumpulan Penggerak Ibu Bapa Komuniti Negeri (KPIBKN), sektor swasta, badan bukan kerajaan (NGO) dan pihak Yayasan yang dapat meluangkan masa untuk turut serta dalam majlis ini.

Saya selaku Menteri Pendidikan dan bagi pihak Kerajaan Malaysia ingin merakamkan ucapan setinggi-tinggi terima kasih dan penghargaan kepada semua warga Kementerian Pendidikan Malaysia, khasnya guruguru di seluruh pelosok negara atas segala pengorbanan dan sumbangan besar mencurahkan ilmu dan memberi tunjuk ajar sehingga kini, saya berada dalam barisan kepimpinan negara. “Terima Kasih Cikgu” atas segala usaha dan kesungguhan yang telah diberikan dalam melaksanakan tanggungjawab mulia ini. Dengan amanah besar ini, guru-guru menduduki satu darjat yang paling dimuliakan dalam masyarakat.

Syabas dan tahniah saya ucapkan atas usaha gigih Jawatankuasa Pengelola majlis khususnya Kumpulan Penggerak Ibu Bapa Komuniti Kebangsaan Pulau Pinang yang bekerjasama dengan Bahagianbahagian KPM, Jabatan Pendidikan Pulau Pinang dan agensi-agensi yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung bagi menjayakan majlis kita pada malam ini.

Para hadirin yang saya hormati sekalian,

Sejak 1972, tanggal 16 Mei disambut saban tahun untuk kita semua memberi penghormatan dan pengiktirafan kepada seluruh warga pendidik bagi tujuan mengenang jasa bakti dan pengorbanan para guru dalam mencurahkan ilmu dan kesungguhan memberi tunjuk ajar dalam mendidik anak-anak menjadi insan yang berguna kepada agama, bangsa, dan negara. Majlis pada hari ini menggambarkan keprihatinan dan komitmen pihak kerajaan menghargai jasa dan pengorbanan guru sejak dahulu lagi. Hal ini membuktikan bahawa guru sentiasa berada di tempat yang istimewa di hati kita semua atas sumbangan bakti yang tidak ternilai.

Guru memikul satu tanggungjawab yang besar dalam memupuk perpaduan serta mengekalkan kemerdekaan dan kedaulatan negara melalui sistem pendidikan. Guru perlu membimbing generasi muda untuk menjadi pewaris kepemimpinan negara tanpa mengira latar belakang mahupun perbezaan kaum dan agama. Guru jugalah yang menggilap potensi murid untuk memastikan setiap murid mempunyai pengetahuan, kemahiran berfikir, kemahiran memimpin, mengamalkan nilai-nilai murni serta bersedia dalam menghadapi cabaran masa kini.

Majlis Pelancaran Gerakan Massa: Terima Kasih Cikgu Peringkat Kebangsaan merupakan permulaan sambutan Perayaan Hari Guru yang disambut pada 16 Mei 2019. Pada tahun ini, tibalah giliran negeri Pulau Pinang menjadi tuan rumah bagi Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan Kali ke-48. Maka, pada kesempatan ini, saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada seluruh warga Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang atas kesediaan dan komitmen memikul amanah ini.

Selain itu, sambutan pada tahun ini bertujuan untuk meraikan kejayaan dan sumbangan guru dalam membentuk serta melahirkan murid yang cemerlang dan berdaya saing selaras dengan aspirasi pendidikan. Sungguhpun jasa dan bakti guru sukar untuk dibalas, namun sebagai imbalan yang wajar kepada jasa-jasa guru, kerajaan sentiasa memberi perhatian kepada usaha untuk memartabatkan profesion keguruan. Dalam konteks ini, pelbagai anugerah dan penghargaan dalam perkhidmatan telah dirangka oleh pihak Kementerian untuk mempertingkatkan profesionalisme keguruan. Ini termasuklah mempromosi kejayaan guru di dalam dan di luar negara.

Para hadirin yang saya hormati sekalian,

Hala tuju pendidikan KPM pada era baharu ini adalah untuk memastikan kemenjadian murid berteraskan 4M iaitu membaca, menulis, mengira dan manusiawi. Matlamat utama kita adalah untuk melahirkan murid yang dinamik, fleksibel dan berdaya tahan dalam menghadapi apa jua situasi serta berjaya mendepani cabaran kehidupan pada era Revolusi Industri Keempat. Oleh itu, guru dan ibu bapa serta penjaga seharusnya aktif memainkan peranan penting dan perlu sentiasa menjalinkan kerjasama dengan pihak sekolah bagi mengoptimumkan potensi murid menguasai kemahiran abad ke-21. Sejajar dengan itu, kerjasama kukuh KPIBKK, agensi kerajaan, sektor swasta dan pihak NGO dilihat amat penting untuk membantu pihak sekolah dalam memastikan kemenjadian murid.

KPM memberikan penekanan khusus kepada hala tuju mengembalikan cinta ke dalam pendidikan dengan memberi tumpuan kepada tiga nilai dan budaya teras iaitu cinta (love), kegembiraan (happiness) dan saling menghormati (mutual respect). Saya yakin bahawa sistem pendidikan yang berteraskan nilai ini mampu untuk melahirkan insan yang mencintai satu sama lain, mencintai masyarakat dan akhirnya mencintai negara.

Para hadirin yang saya hormati sekalian,

Kementerian Pendidikan Malaysia amat bersyukur dan berterima kasih atas sokongan padu yang diberikan oleh semua warga pendidik terhadap pelbagai usaha dan inisiatif dalam memartabatkan pendidikan negara demi pembangunan modal insan negara. Pelbagai usaha telah dilaksanakan untuk memajukan pendidikan di Malaysia melalui pembudayaan amalan pendidikan yang berteraskan kegembiraan, kasih sayang dan saling hormat-menghormati dalam membangunkan sahsiah ke arah kemenjadian murid. Program Ziarah Cakna misalnya cukup bermakna kerana ia bertujuan untuk memperluaskan konsep sekolah penyayang dan memperkukuh hubungan antara sekolah dengan ibu bapa melalui amalan ziarah guru ke rumah murid untuk bertanya khabar ibu bapa mahupun penjaga.

Program Sifar Murid Cicir pula dilaksanakan melalui intervensi berfokus dan permuafakatan dengan pelibatan pelbagai agensi, organisasi, individu setempat bersama pejabat pendidikan daerah. Melalui program ini, pihak kementerian daripada peringkat sekolah hingga ke jabatan pendidikan negeri mengamalkan kaedah ziarah ke rumah murid-murid tercicir sehingga berjaya membantu mereka kembali ke sekolah. Pelbagai bantuan juga turut diberikan dengan kerjasama komuniti setempat.

Para hadirin yang saya hormati sekalian,

Sukacita saya maklumkan bahawa acara kemuncak, iaitu Majlis Sambutan Perayaan Hari Guru Peringkat Kebangsaan akan berlangsung pada 16 Mei 2019 dan YAB Perdana Menteri Malaysia dijadualkan hadir ke majlis berkenaan bagi menyampaikan ucapan perasmian khusus untuk warga pendidik. Sudah pasti sambutan hari guru akan lebih terasa kemeriahannya dengan peranan proaktif pihak media sebagai penyebar maklumat terkini. Menyedari hal tersebut, maka pada kesempatan ini, saya amat berbesar hati dan mengucapkan ribuan terima kasih atas kerjasama pihak media cetak mahupun elektronik yang membuat liputan serta hebahan sepanjang masa tentang pelbagai program dan aktiviti kementerian seperti Majlis Amanat Tahun Baharu, sambutan Hari Guru, kebajikan guru, sukan dan kokurikulum dan pencapaian guru di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Saya juga menyarankan agar promosi lebih hebat diadakan bermula pada hari ini untuk menguar-uarkan semua aktiviti yang dilaksanakan ke arah menyuntik semangat warga pendidik dan menyedarkan rakyat di seluruh pelosok negara mengenai tanggungjawab serta pengorbanan guru dalam mendidik anak-anak kita. Sehubungan dengan itu, Unit Komunikasi Korporat KPM akan menjadi penghubung dengan media massa bagi menjayakan usaha ini.

Besarlah harapan saya agar pelaksanaan semua program yang dirancang untuk sambutan hari guru kali ini dapat berjalan dengan lancar. Harapan saya juga agar semua pihak yang terlibat sama ada secara langsung mahupun tidak langsung dapat melaksanakan dan menyempurnakan tugas yang diamanahkan dengan sebaik-baiknya. Penyertaan kaum guru di semua peringkat seluruh negara amat dialu-alukan. Saya berharap agar semua aktiviti tersebut dapat mengeratkan silaturahim dan ukhuwah antara golongan pendidik, murid dan warga kementerian yang hadir bersama-sama nanti.

Para hadirin yang saya hormati sekalian,

Sesungguhnya guru amat dipandang mulia dan berperanan penting dalam membina dan membentuk kualiti anak didik dalam aspek jasmani, emosi, rohani dan intelek bagi memenuhi aspirasi pendidikan. Gurulah yang menjadi tunjang utama dalam merealisasikan kesejahteraan diri insan yang dipimpinnya. Gelaran obor hemah kepada guru menggambarkan tentang kemuliaan, keikhlasan, pengorbanan, tanggungjawab, cabaran, peranan dan komitmen dalam profesion keguruan. Oleh itu, bertepatan dengan sambutan hari guru pada tahun ini, hasil karya Sasterawan Negara Datuk Seri A. Samad Said diangkat menjadi tema hari guru bagi mempertingkat martabat guru sebagai agen penting dalam memperteguh peradaban bangsa melalui pendidikan.

Sebelum mengakhiri ucapan, sekali lagi saya mengucapkan ribuan terima kasih dan setinggi-tinggi penghargaan kepada para tetamu atas kesudian hadir ke Majlis Pelancaran Gerakan Massa: Terima Kasih Cikgu Peringkat Kebangsaan 2019. Terima kasih dan syabas kepada semua ahli jawatankuasa pengelola atas komitmen dan kesungguhan bagi memastikan majlis hari ini berjalan lancar. Tidak ketinggalan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada pengurusan tertinggi Kementerian Pendidikan Malaysia, pihak media dan hadirin yang hadir.

Terima kasih Cikgu! Jasamu dikenang, namamu dijulang. Dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, saya dengan sukacitanya merasmikan Majlis Pelancaran Gerakan Massa: Terima Kasih Cikgu Peringkat Kebangsaan sempena sambutan Hari Guru Kali ke-48 Tahun 2019, logo #terimakasihcikgu dan tema hari guru tahun 2019.

Sekian, wabillahi taufik walhidayah wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Terima kasih.

Menteri Pendidikan
Kementerian Pendidikan Malaysia
21 Mac 2019

---
#terbaeekkk ‎#kipidap #‎mknaceunlimited‬ #‎mknace‬ ‎#blogger‬ #‎photography‬ #‎photoblog‬ ‎#‎SJCAM‬ ‎#SJ4000‬ #J3‬ ‎#Samsung‬ ‎#GalaxyCamera ‎#altek ‬#‎cubic‬ #love‬ ‎#followme‬ #‎beautiful‬ #‎blogoftheday‬ #fun‬ #like‬‎ #life‬ #colorful‬‎ #photooftheday‬ #‎MyExperience #‎mknaceunlimited,‬ #‎mknace‬, ‎#blogger,‬ #‎photography,‬ #‎photoblog,‬ #‎MyExperience‬,

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Jelly Beans

Kitab Digital Sekolah Agama Kerajaan Negeri Johor

Acustop Cataplasma Applied