Sultan Muhammad V, Sultan Kelantan, dipilih menjadi Yang di-Pertuan Agong ke-15


Sultan Muhammad V, Sultan Kelantan, dipilih menjadi Yang di-Pertuan Agong ke-15 oleh Mesyuarat Majlis Raja-Raja kali ke-243 (Khas) di Istana Negara di sini hari ini.

Menurut kenyataan Penyimpan Mohor Besar Raja-raja Datuk Seri Syed Danial Syed Ahmad, pelantikan itu berkuat kuasa 13 Dis ini untuk tempoh lima tahun.

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah pula dipilih menjadi Timbalan Yang di-Pertuan Agong bagi tempoh sama.

Mesyuarat Khas Majlis Raja-Raja itu dihadiri semua Raja dan dipengerusikan Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail.

Ini kali kedua Sultan Kelantan dipilih sebagai Yang di- Pertuan Agong. Sebelum ini nenda Sultan Muhammad V, Almarhum Sultan Yahya Petra Ibni Almarhum Sultan Ibrahim dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong keenam bermula 21 Sept 1975 hingga 29 Mac 1979.

Sultan Muhammad V yang kini merupakan Timbalan Yang di-Pertuan Agong, menggantikan Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah yang akan tamat tempoh pemerintahan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-14 pada 12 Dis ini.

Baginda yang diputerakan pada 6 Okt 1969, mendapat pendidikan awal di Sekolah Sultan Ismail I, Kota Bharu sebelum melanjutkan pelajaran ke Sekolah Antarabangsa Alice Smith di Kuala Lumpur.

Baginda kemudian ke Oakham School Rutland, England, sehingga 1989 sebelum melanjutkan pengajian dalam bidang kajian diplomatik di St. Cross College, Oxford dan Oxford Centre for Islamic Studies sehingga 1991.

Merupakan putera sulung Sultan Ismail Petra dan Tengku Anis Tengku Abdul Hamid, Tengku Muhammad Faris Petra, 47, menggunakan gelaran Sultan Muhammad V setelah dimasyhurkan sebagai Sultan Kelantan ke-29 pada 13 Sept 2010.

Baginda mempunyai tiga adinda iaitu Tengku Mahkota Kelantan Tengku Dr Muhammad Faiz Petra, 42, Tengku Muhammad Fakhry Petra, 38, dan Tengku Amalin A'ishah Putri, 32.

Yang di-Pertuan Agong pertama ialah Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Almarhum Tuanku Abdul Rahman Ibni Almarhum Tuanku Muhammad (31 Ogos 1957 hingga 1 April 1960); diikuti Sultan Selangor Almarhum Sultan Hisamuddin Alam Shah Ibni Almarhum Sultan Alaiddin Sulaiman Shah sebagai Yang di-Pertuan Agong kedua (14 April 1960 hingga 1 Sept 1960).

Yang di-Pertuan Agong ketiga adalah Raja Perlis Almarhum Tuanku Syed Putra Alhaj Ibni Almarhum Syed Hassan Jamalullail (21 Sept 1960 hingga 20 Sept 1965); diikuti Sultan Terengganu Almarhum Sultan Ismail Nasiruddin Shah Ibni Almarhum Sultan Zainal Abidin sebagai Yang di-Pertuan Agong keempat (21 Sept 1965 hingga 20 Sept 1970).

Ini diikuti Sultan Kedah Sultan Abdul Halim yang menjadi Yang di-Pertuan Agong kelima (21 Sept 1970 hingga 20 Sept 1975), sebelum Sultan Kelantan Almarhum Sultan Yahya Petra ibni Almarhum Sultan Ibrahim (21 Sept 1975 hingga 29 Mac 1979) menjadi Yang di-Pertuan Agong keenam.

Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah merupakan Yang di- Pertuan Agong ketujuh (26 April 1979 hingga 25 April 1984), manakala Sultan Johor Almarhum Sultan Iskandar Ibni Almarhum Sultan Ismail dipilih menjadi Yang di-Pertuan Agong kelapan (26 April 1984 hingga 25 April 1989).

Yang di-Pertuan Agong kesembilan ialah Sultan Perak Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Yussuf Izzuddin Shah Ghafarullahu-lah (26 April 1989 hingga 25 April 1994), manakala Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Almarhum Tuanku Ja'afar ibni Almarhum Tuanku Abdul Rahman dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-10 (26 April 1994 hingga 25 April 1999).

Sultan Selangor Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj Ibni Almarhum Sultan Hisamuddin Alam Shah Alhaj merupakan Yang di-Pertuan Agong ke-11 (26 April 1999 hingga 21 Nov 2001), diikuti Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-12 (13 Dis 2001 hingga 12 Dis 2006).

Yang di-Pertuan Agong ke-13 ialah Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin Ibni Almarhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah (13 Dis 2006 hingga 12 Dis 2011), manakala Tuanku Abdul Halim menjadi Yang di-Pertuan Agong ke-14 mulai 13 Dis 2011 hingga 12 Dis ini.

-- BERNAMA

---
#terbaeekkk ‎#kipidap #‎mknaceunlimited‬ #‎mknace‬ ‎#blogger‬ #‎photography‬ #‎photoblog‬ ‎#‎SJCAM‬ ‎#SJ4000‬ #‎Asus‬ #‎Zen4‬ ‎#Samsung‬ ‎#GalaxyCamera ‎#altek ‬#‎cubic‬ #love‬ ‎#followme‬ #‎beautiful‬ #‎blogoftheday‬ #fun‬ #like‬‎ #life‬ #colorful‬‎ #photooftheday‬ #‎MyExperience #‎mknaceunlimited,‬ #‎mknace‬, ‎#blogger,‬ #‎photography,‬ #‎photoblog,‬ #‎MyExperience‬,

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Jelly Beans

Kitab Digital Sekolah Agama Kerajaan Negeri Johor

Acustop Cataplasma Applied