SET DEKODER MYTV UNTUK PENYIARAN TV DIGITAL MULA DIEDARKAN


SET DEKODER MYTV UNTUK PENYIARAN TV DIGITAL MULA DIEDARKAN. 50,000 set dekoder percuma di bawah Projek Pendigitalan Penyiaran Nasional mula diedarkan di beberapa daerah di Pantai Timur mulai minggu ini. Jumlah itu merupakan sebahagian daripada dua juta set dekoder percuma yang telah diperuntukkan untuk isi rumah-isi rumah terpilih di seluruh negara.

Penerima yang layak terdiri daripada ketua isi rumah warganegara Malaysia dengan jumlah pendapatan isi rumah kurang RM799 sebulan dan berdaftar dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN) sehingga 31 Mac 2016. Dengan penghijrahan dari sistem penyiaran analog ke digital ini, Malaysia kini seiring dengan perkembangan pembangunan teknologi global dan menjadi antara negara Asia Tenggara yang terawal berhijrah ke platform penyiaran TV digital sebelum mencapai status negara maju menjelang 2020.

Projek Pendigitalan Penyiaran Nasional merupakan agenda nasional dan adalah salah satu inisiatif penting dalam Rancangan Malaysia ke-11. Melalui projek ini, kerajaan bakal meraih pulangan dividen digital dengan pelepasan spektrum 700 Mhz setelah penutupan penyiaran analog ataupun ‘Analogue Switch Off’ (ASO) yang disasarkan pada Jun 2018. Ini selaras komitmen Malaysia dengan negara-negara ASEAN untuk melaksanakan ASO secara berperingkat antara 2015 hingga 2020.

Projek Pendigitalan Penyiaran Nasional yang menggunakan sistem Televisyen Terestrial Digital (DTT) adalah di bawah naungan Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) dan diselia oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM). Ia adalah satu projek inisiatif pembiayaan swasta (private funding initiative – PFI) yang dilaksanakan oleh MYTV Broadcasting Sdn Bhd.

Kumpulan pertama sebanyak 50,000 set dekoder percuma telah diedarkan melalui perkhidmatan Pos Laju di daerah Machang, Bachok, Kuala Krai, Pasir Puteh dan Tanah Merah di Kelantan; Kuala Terengganu dan Marang di Terengganu; serta Kuantan, Pekan, Temerloh dan Bentong di Pahang. Ini akan diikuti dengan pengedaran set dekoder percuma di daerah-daerah lain seluruh negara secara berperingkat-peringkat. Proses penghantaran dua juta unit percuma yang disumbangkan oleh pihak MYTV ini dijangka mengambil masa kirakira setahun.

Berbanding negara-negara maju serta rakan dalam ASEAN, Malaysia merupakan satu-satunya negara yang mengambil pendekatan menyediakan dekoder percuma untuk rakyatnya yang melibatkan kira-kira 25 peratus isi rumah yang masih menonton siaran terestrial analog.

Rakyat Malaysia boleh menyemak sama ada mereka terpilih menerima dekoder percuma ini menerusi laman web www.mytvbroadcasting.my ataupun menghubungi Pusat Khidmat Pelanggan MYTV di talian 1300-80-6988. Penerima hanya perlu menyambungkan set dekoder dengan TV sedia ada dan antena Ultra High Frequency (UHF) jenis luaran ataupun dalaman. Antena tidak termasuk dalam set dekoder percuma.  

Pemasangan hanya memerlukan beberapa langkah mudah dan pengguna boleh membuat pemasangan sendiri dengan merujuk manual pemasangan yang disertakan bersama set dekoder. Para pengguna juga boleh menghubungi Pusat Khidmat Pelanggan MYTV jika memerlukan bantuan teknikal yang disediakan oleh kontraktor pemasangan yang berdaftar dengan MYTV. Perkhidmatan ini akan dikenakan caj bermula dari RM50 untuk bantuan teknikal dan penyelenggaraan, atau RM180 untuk khidmat pemasangan set antena luaran baru berserta pendawaian. Orang awam juga boleh mendapatkan dekoder MYTV yang akan mula dijual di kedai-kedai elektrik serta cawangan Pos Malaysia terpilih di seluruh negara mulai akhir Oktober ini.

Dengan sistem DTT, penonton Malaysia akan menikmati banyak manfaat seperti kualiti gambar dan bunyi yang lebih baik, lebih banyak saluran siaran percuma, akses kepada panduan program elektronik (EPG), sarikata pelbagai bahasa, dan berkemampuan untuk menonton TV yang berkualiti HD.  Pada masa hadapan, penonton juga mempunyai akses kepada perkhidmatan televisyen interaktif termasuk membeli-belah di rumah, menonton video atas permintaan, dan perkhidmatan langganan dan Internet terpilih.  

DTT juga membantu merapatkan jurang digital, terutamanya di kawasan-kawasan terpencil negara. Ini mampu dilakukan memandangkan DTT akan menyediakan kemudahan untuk lebih banyak kandungan dan aplikasi yang disediakan untuk penonton. Pembekal kandungan seperti penyiar televisyen tempatan turut meraih manfaat kerana mereka mendapat peluang untuk memperluaskan jangkauan siaran dan perniagaan.  
     
Setakat ini, siaran DTT oleh MYTV dipancarkan dari pusat penyiarannya di Cyberjaya menerusi 13 pemancar utama di seluruh negara, meliputi kira-kira 80 peratus kawasan berpenduduk di Malaysia. Buat masa ini  siaran DTT menawarkan saluran TV terestrial percuma iaitu TV1, TV2, TV3, TV AlHijrah, ntv7, 8TV, TV9, Bernama News Channel (BNC) dan TVi dalam kualiti digital. Saluran-saluran baru akan ditambah dari semasa ke semasa.
 
Secara keseluruhan, MYTV merancang untuk memasang sejumlah 60 pemancar utama dan 40 pengisi jurang (gap fillers) di seluruh negara. Apabila siap sepenuhnya, infrastruktur MYTV mempunyai kapasiti untuk menyiarkan sehingga 80 saluran yang terdiri daripada gabungan saluran definisi tinggi (HD) dan definisi standard (SD). Menjelang pelaksanaan ASO yang dijangka pada Jun 2018, siaran DTT akan dinikmati di sebanyak 98 peratus kawasan berpenduduk di seluruh Malaysia.                    
Dikeluarkan oleh:
Unit Komunikasi Korporat Kementerian Komunikasi dan Multimedia
Untuk maklumat lanjut, sila hubungi Unit Komunikasi Korporat di talian 09-8911 5177 / 5198 / 5199 / 5184

---
#terbaeekkk ‎#kipidap #‎mknaceunlimited‬ #‎mknace‬ ‎#blogger‬ #‎photography‬ #‎photoblog‬ ‎#‎SJCAM‬ ‎#SJ4000‬ #‎Asus‬ #‎Zen4‬ ‎#Samsung‬ ‎#GalaxyCamera ‎#altek ‬#‎cubic‬ #love‬ ‎#followme‬ #‎beautiful‬ #‎blogoftheday‬ #fun‬ #like‬‎ #life‬ #colorful‬‎ #photooftheday‬ #‎MyExperience #‎mknaceunlimited,‬ #‎mknace‬, ‎#blogger,‬ #‎photography,‬ #‎photoblog,‬ #‎MyExperience‬,

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Jelly Beans

Kitab Digital Sekolah Agama Kerajaan Negeri Johor

Acustop Cataplasma Applied