Ahmad Razif Dilantik MB Terengganu Baharu Ganti Ahmad Said

Ahmad Razif Dilantik MB Terengganu Baharu Ganti Ahmad Said

Ahmad Razif Dilantik MB Terengganu Baharu Ganti Ahmad Said. YB Haji Ahmad Razif Bin Abd Rahman telah dilahirkan di Kuala Terengganu pada 7 November 1965. Beliau sudah mendirikan rumahtangga dan mempunyai empat orang cahaya mata. Ahli Dewan Undangan Negeri Seberang Takir ini memegang Ijazah Sarjana Sains dalam Bimbingan dan Kaunseling dari Universiti Putra Malaysia.

Jika diberi pilihan antara percutian tanah tinggi dan di tepi laut, YB Haji Ahmad Razif Bin Abd Rahman memilih percutian di tepi laut kerana ia memberikan beliau ketenangan fikiran, di samping sepanjang kehidupan beliau yang biasanya tinggal berdekatan dengan laut. Jika ada kelapangan, beliau gemar membaca buku-buku agama demi mendalamkan lagi pengetahuan beliau dalam Islam. Destinasi pilihan percutian beliau juga adalah kota-kota suci Mekah dan Madinah sekiranya diberi peluang bercuti selama sebulan. Selain daripada membaca, beliau juga gemar meluangkan masa bersama sahabat baik beliau, Encik Shamsul Bahri Ismail, dengan duduk bersembang di kedai kopi.

Selain daripada aktif mengendalikan akaun-akaun Facebook dan Twitter beliau, YB Haji Ahmad Razif Bin Abd Rahman juga mengendalikan laman blog beliau sendiri di http://ybrazif.blogspot.com. Beliau berpendapat dunia internet memudahkan komunikasi sesama manusia, dan beliau tidak ketinggalan untuk menggunakan kemudahan ini dalam menyampaikan berita serta maklumat tentang aktiviti-aktiviti yang beliau laksanakan. Di samping itu, beliau menganggap laman-laman media sosial sebagai landasan yang baik dan mudah untuk mengutarakan idea dan berkongsi pandangan bersama pengguna-pengguna lain.

Sumber : http://www.barisannasional.org.my/

KUALA TERENGGANU, 12 Mei (Bernama) -- Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi dan Inovasi, Tenaga, Teknologi Hijau dan Air negeri Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman dilantik sebagai Menteri Besar Terengganu yang baharu menggantikan Datuk Seri Ahmad Said.
Ahmad Razif, 49, mengangkat sumpah jawatan itu di hadapan Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin di Istana Syarqiyyah di Kuala Terengganu, pada 9.18 Isnin malam.
Ahmad Razif, lulusan Sarjana Sains dalam Bimbingan dan Kaunseling Universiti Putra Malaysia, pernah menyandang jawatan Exco Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia.
Beliau juga menjadi Ketua Penerangan UMNO Terengganu pada penggal lepas.
Ketika ditemui pemberita, Ahmad Razif berkata beliau bersyukur kerana majlis peralihan kuasa kerajaan negeri berjalan dengan lancar.
Beliau memberi jaminan akan meneruskan perancangan yang dibuat Ahmad.
"Segala perancangan program untuk kebaikan rakyat, kita akan teruskan. Saya berterima kasih kepada Datuk Seri Ahmad Said yang banyak mengajar saya.
"Banyak pengalaman bersama beliau yang boleh saya guna untuk menjalankan tugas dan tanggungjawab (baru) saya," katanya.
Ahmad Razif juga Ketua UMNO Bahagian Kuala Nerus pernah menjadi Pengerusi Biro Pendidikan UMNO Bahagian Kuala Nerus dari 2008 hingga 2013.
Beliau menjadi Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Takir selepas memenangi pilihan raya umum ke-12 pada 2008 dan mempertahankan kerusi itu pada pilihan raya umum 2013.
Ahmad Razif, yang mendirikan rumah tangga dengan Toh Puan Halina Zakaria, dikurniakan empat orang cahaya mata.
Sementara itu, Ahmad pertama kali dilantik sebagai Menteri Besar Terengganu pada 23 Mac 2008 dan dilantik semula memegang jawatan itu pada 9 Mei tahun lepas.
Antara Menteri Besar Terengganu sejak 1959 ialah Mohd Daud Abdul Samad daripada PAS (1959-1960), Tan Sri Ibrahim Fikri Mohamad, UMNO (1960-1970), Datuk Mahmood Sulaiman, UMNO (1970-1971), Datuk Nik Hassan Wan Abdul Rahman, UMNO (1971-1974), Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad, UMNO (1974-1999), Datuk Seri Abdul Hadi Awang, PAS (1999-2004), Datuk Seri Idris Jusoh, UMNO (2004-2008) dan Datuk Seri Ahmad Said, UMNO (2008-2014).
--BERNAMA

Via Blogger PC Edisen

Enjoice...Sharing is power!!!

Ping your blog, website, or RSS feed for Free


Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Jelly Beans

Kitab Digital Sekolah Agama Kerajaan Negeri Johor

Acustop Cataplasma Applied