Sambutan Tahun Melawat Malaysia 2014 di semua pintu masuk seluruh negara

Sambutan Tahun Melawat Malaysia 2014 di semua pintu masuk seluruh negara. Meriah kita tahun depan gini.

Sambutan TMM 2014 Di Pintu Masuk Seluruh Negara Bermula 1 Jan
PUTRAJAYA, 27 Dis (Bernama) -- Sambutan meraikan Tahun Melawat Malaysia 2014 (TMM 2014) akan diadakan di 37 pintu masuk seluruh negara bermula 1 Jan termasuk di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA).
Pengarah Bahagian Pemasaran Domestik Tourism Malaysia Datuk Musa Yusof berkata sambutan di KLIA dijangka dihadiri Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz untuk meraikan kedatangan pelancong.
"Sambutan di pintu masuk negara ini termasuk sama ada melalui darat atau udara. Sebagai contoh di KLIA ada penerbangan antarabangsa yang masuk, kami akan memberi 'goodies' dan sebagainya untuk memberitahu pengunjung bahawa 1 Jan bermulanya TMM 2014," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis pelepasan bas KL Hop On Hop Off sempena jelajah TMM 2014 Putrajaya ke Pulau Pinang 'Follow Countdown Journey Visit Malaysia Year (VMY) 2014' yang disempurnakan Timbalan Ketua Pengarah (Pemasaran) Tourism Malaysia Chong Yoke Har di sini Jumaat.
Menurutnya rombongan itu disertai 50 penari 'flash mob' dan wakil media yang akan berhenti di kawasan Rehat dan Rawat Tapah, Stesen Keretapi Tanah Melayu Berhad Ipoh dan Padang Kota Lama di George Town, Penang hari ini untuk mempromosi dan mengedarkan risalah serta cendera mata TMM 2014.
Selain itu karnival kiraan detik TMM 2014 akan diadakan selama dua hari bermula esok di Queensbay Mall, Pulau Pinang, kata Musa.
"Kami akan adakan banyak acara misalnya persembahan artis dan persembahan kebudayaan, kuiz, pertandingan mewarna dan sebagainya. Selain itu terdapat 13 kaunter agensi pelancongan dan pengusaha produk pelancongan untuk dikunjungi," katanya.
Beliau berkata sambutan TMM 2014 bukan sahaja melibatkan Tourism Malaysia dan Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan, tetapi juga jalinan kerjasama kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan serta agensi-agensi kerajaan antaranya Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan Jabatan Imigresen.
Malaysia menyasarkan kehadiran 28 juta pengunjung dan perbelanjaan pelancong sebanyak RM76 bilion sempena TMM 2014, katanya.

-- BERNAMA

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Kitab Digital Sekolah Agama Kerajaan Negeri Johor

PERMOHONAN ONLINE KE PROGRAM KOLEJ VOKASIONAL (MENJURUS KEPADA DIPLOMA VOKASIONAL MALAYSIA) AMBILAN JUN 2016

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS : Memakan Daging Saudara SeIslam