Teks Perutusan Hari Guru Tahun 2017 Oleh YB Menteri Pendidikan


Teks Perutusan Hari Guru Tahun 2017 Oleh YB Menteri Pendidikan boleh dimuaturun melalui pautan berikut : http://moe.gov.my/images/KPM/UKK/2017/05_May/TEKS_PERUTUSAN_BOS_HARI_GURU_2017.pdf

TEKS PERUTUSAN HARI GURU TAHUN 2017
YB DATO’ SERI MAHDZIR BIN KHALID
MENTERI PENDIDIKAN MALAYSIA

TEMA:
“GURU PEMBINA NEGARA BANGSA”

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,
Salam Sejahtera dan Salam Negaraku Malaysia.

Tuan-tuan dan puan-puan warga pendidik yang dikasihi sekalian,

Pendahuluan

1. Setiap tahun, 16 Mei merupakan tarikh keramat yang disambut sebagai tanda penghormatan dan pengiktirafan terhadap jasa dan sumbangan warga pendidik di seluruh negara. Saya bersyukur kerana sudah hampir lima dekad rakyat Malaysia menyambut dan merayakan Hari Guru; iaitu buat kali yang ke-46 pada tahun ini. Penghormatan kepada para guru amat layak diterima atas kegigihan mereka mencurahkan segala ilmu, khidmat bakti dan tunjuk ajar demi mendidik anak watan menjadi insan cemerlang yang berpengetahuan dan berakhlak mulia.

2. Sempena hari yang istimewa ini, saya mengucapkan “Selamat Hari Guru” kepada seluruh warga pendidik khususnya guru-guru saya yang telah mencurahkan ilmu dan memberi tunjuk ajar sehingga kini, saya berada dalam barisan kepimpinan negara. “Terima Kasih Cikgu” atas segala usaha dan kesungguhan yang telah diberikan dalam melaksanakan tanggungjawab mulia ini. Sememangnya mendidik merupakan suatu tugas yang berat dan amat mencabar kerana saya juga pernah bergelar seorang guru suatu masa dahulu, justeru saya merasa amat dekat dengan profesion keguruan yang telah pun sebati dalam diri saya. Syabas saya ucapkan kepada para guru atas kejayaan mengharungi segala cabaran dengan semangat yang kental demi mengangkat sistem pendidikan negara berada pada tahap membanggakan dan dikagumi oleh dunia luar.

Tema Hari Guru 2017

3. Sesungguhnya pengorbanan guru amat disanjung tinggi oleh segenap lapisan masyarakat kerana jasa bakti yang menggunung dalam mendidik anak-anak sehingga menjadi insan berilmu dan berkeperibadian unggul. Sejak dahulu lagi, guru berperanan memastikan pembentukan jati diri anak bangsa yang bertamadun dan bersahsiah tinggi berlandaskan lima prinsip Rukun Negara serta nilai-nilai murni dalam kehidupan. Oleh itu, amat wajarlah “Guru Pembina Negara Bangsa” diangkat sekali lagi sebagai Tema Hari Guru 2017 dan ini merupakan tahun keempat kita menggunakan tema yang sama bermula pada 2009. Pemilihan tema ini bertepatan dengan peranan dan tanggungjawab yang tergalas di bahu para guru yang beriltizam tinggi memikul amanah sebagai pembina generasi pewaris kepemimpinan negara.

4. Tugas guru bukan semata-mata mengajar di bilik darjah malah lebih daripada itu kerana tanggungjawab mereka merangkumi usaha yang menyeluruh iaitu mentadbir, merancang, menggubal dasar, memantau, membuat penyelidikan dan penilaian tentang pendidikan. Saya yakin, warga pendidik daripada peringkat sekolah hinggalah peringkat Kementerian sentiasa berusaha memastikan kemenjadian murid sebagai warganegara unggul yang berjaya dan akhirnya dapat pula mencurahkan khidmat bakti kepada keluarga, agama, bangsa, dan negara tercinta.

5. Oleh yang demikian, saban tahun sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan telah menjadi agenda rasmi negara dan platform untuk menghargai serta mengiktiraf peranan warga pendidik selaku penjawat awam yang berkhidmat di sekolah, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), mahupun Bahagian di Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM). Sambutan ini juga memberi peluang kepada anak-anak, ibu bapa dan masyarakat untuk menghargai para pendidik yang melahirkan generasi berkemahiran tinggi dan berakhlak mulia. Kerjaya seorang gurulah yang membentuk dan mencungkil bakat anak-anak sehingga mereka berjaya dalam pelbagai bidang kerjaya profesional.

Para guru yang saya hormati sekalian,

Peranan Guru Membina Negara Bangsa

6. Usaha mengekalkan perpaduan dan keharmonian kaum dalam sebuah negara majmuk seperti Malaysia menjadi keutamaan untuk memacu kemajuan negara agar berada pada tahap yang lebih tinggi. Keupayaan untuk membina negara bangsa pula bergantung kepada sejauh mana nilai patriotisme, toleransi serta sikap saling hormat-menghormati dapat dikongsi bersama oleh setiap lapisan masyarakat. Nilai yang seharusnya dihayati bersama ini perlu dipupuk sejak daripada bangku sekolah, seiring dengan aspirasi sistem pendidikan negara menerusi Anjakan Ketiga Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 iaitu melahirkan rakyat yang menghayati nilai.

7. Jelas di sini, perpaduan merupakan aspek penting dalam pembangunan negara yang perlu diberi perhatian serius oleh setiap rakyat yang cintakan keamanan. Kerajaan juga turut menitikberatkan usaha pembinaan negara bangsa bagi memperkukuh perpaduan, membina identiti nasional dan membangunkan sumber manusia bersesuaian dengan keperluan negara dalam menghadapi cabaran globalisasi.

8. Saya pasti hasrat Gagasan 1Malaysia mampu diterjemahkan untuk membina kekuatan melalui perpaduan nasional dan semangat kebersamaan. Lapan nilai aspirasi yang menjadi teras gagasan tersebut iaitu budaya ilmu, integriti, ketahanan, kesetiaan, kebijaksanaan, budaya ketepatan, budaya berprestasi tinggi dan budaya inovasi perlu diterapkan dalam kehidupan rakyat bagi memacu kejayaan berganda pada masa hadapan. Jika nilai-nilai ini dapat diterapkan melalui proses pendidikan yang terancang, saya percaya perpaduan dalam kalangan rakyat akan dapat diperkukuh malah indeks perpaduan juga akan turut melonjak naik pada masa hadapan.

9. Tuntasnya, dalam usaha membina sebuah negara bangsa yang bersatu padu, di bahu para gurulah terletaknya amanah besar untuk menyemai semangat patriotik dan rasa saling sayang-menyayangi antara satu sama lain. Segalanya bermula dengan penguasaan ilmu pengetahuan di bangku sekolah dan kemahiran tinggi dalam kalangan rakyat yang menjadi tonggak utama kecemerlangan bangsa dan negara. Bangsa yang menguasai ilmu akan menjadi bangsa yang maju, justeru, peranan besar para guru ialah untuk melahirkan modal insan yang berilmu, berkemahiran tinggi serta mempunyai kepakaran dalam pelbagai bidang.

10. Tumpuan kerajaan pada ketika ini ialah untuk mempertingkatkan kualiti pendidikan dengan memberikan penekanan terhadap aspek pembangunan sahsiah diri dan pemikiran aras tinggi dalam pengajaran dan pembelajaran di sekolah. Hal ini selari dengan kurikulum pendidikan abad ke-21 yang menepati kehendak Sustainable Development Goal (SDG) 2030 yang sedang dilaksanakan oleh masyarakat pendidik antarabangsa. SDG dengan 17 matlamat global adalah kesinambungan daripada Education For All (EFA) yang telah tamat pada tahun 2015, dan matlamat keempat yang ditetapkan memberi tumpuan kepada pendidikan berkualiti.

11. Dalam usaha kita melahirkan insan kamil selaras dengan hasrat Falsafah Pendidikan Kebangsaan, potensi anak-anak perlu dibangunkan secara menyeluruh dan seimbang termasuklah membangunkan potensi jasmani yang berkait rapat dengan perkembangan minda. Jasmani yang sihat menjamin perkembangan minda yang cerdas menerusi aktiviti sukan yang merupakan komponen utama dalam proses pembelajaran anak-anak. Begitu juga aspek sahsiah dan tingkah laku anak-anak perlu diberi perhatian dari rumah lagi agar kita dapat mengelakkan berlakunya salah laku disiplin serta mengurangkan masalah sosial dalam masyarakat.

12. Kita dapat lihat bahawa aktiviti kurikulum dan kokurikulum menjadi pelengkap kepada usaha untuk membangunkan potensi diri anak-anak agar mereka mempunyai kebolehan untuk mencipta sesuatu pembaharuan dan berfikir di luar kotak. Potensi mereka tidak seharusnya dinilai berdasarkan pencapaian dalam peperiksaan semata-mata, tetapi dinilai secara holistik dengan merangkumi aspek daya cipta, kreativiti dan pelibatan dalam pelbagai bidang ilmu. Dengan cara ini, sudah pasti kita akan berjaya melahirkan modal insan yang kompeten dan mampu bersaing di pentas dunia.

Warga guru yang saya hormati sekalian,

Pembangunan Profesionalisme Keguruan

13. Sejak dahulu lagi, kerjaya guru sentiasa menjadi pilihan utama para lepasan sekolah yang menyambung pengajian hingga ke peringkat tinggi. Sistem pendidikan kita menerima banyak permohonan untuk menyertai program latihan perguruan melalui dua institusi awam iaitu Institut Pengajian Tinggi dan Institut Pendidikan Guru. Kementerian turut memberi keutamaan kepada pemohon yang mempunyai kelayakan minimum tujuh gred cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia. Nisbah pemohon kepada guru pelatih adalah tinggi iaitu 38:1 mengatasi nisbah sistem pendidikan berprestasi tinggi seperti Singapura, Korea Selatan dan Finland. Keadaan ini menunjukkan petanda positif kerana terdapat minat yang meluas dalam kalangan pelajar cemerlang untuk menyertai profesion keguruan.

14. Sesungguhnya sistem pendidikan yang utuh memerlukan dedikasi dan iltizam guru serta pemimpin sekolah untuk melaksanakan sebarang perubahan yang membawa kebaikan. Perubahan sebenar tidak akan berlaku tanpa mempertimbangkan secara serius keperluan guru dan pemimpin sekolah serta mencari kaedah untuk memupuk dan mengekalkan kecemerlangan tersebut. Guru dan pemimpin sekolah sedia ada bukan sahaja perlu dibekalkan dengan sumber yang lebih banyak dalam bentuk sokongan dan pembangunan profesional, serta laluan kerjaya yang lebih baik; malah profesion keguruan juga perlu dijadikan suatu profesion yang dinamik, kekal profesional, dan memberikan kepuasan untuk menarik minat mereka yang terbaik supaya kekal berkhidmat dalam sistem pendidikan negara.

15. Sehubungan dengan itu, peningkatan kualiti guru telah menjadi agenda penting dalam mentransformasi pendidikan negara; dan Kementerian terus beriltizam mengekalkan dasar sedia ada, iaitu mengukuhkan profesion keguruan di Malaysia bagi menjadikannya lebih menarik, mendatangkan kepuasan dan lebih berprestij. Gelombang 1 PPPM 2013-2025 telah memberi sokongan kepada guru meningkatkan kualiti melalui program Pembangunan Profesionalisme Berterusan (PPB) dan usaha memantapkan kualiti guru diteruskan dalam Gelombang 2 dan Gelombang 3 PPPM 2013-2025. Bagi merealisasikan hasrat ini, KPM telah mengoptimumkan pelaksanaan PPB bagi memberi impak kepada peningkatan kualiti guru.

Menjadi Guru Malaysia

16. Pakej Kerjaya Guru turut dibuat penambahbaikan bagi menangani cabaran semasa yang dihadapi oleh guru pada setiap peringkat kerjaya mereka daripada pengambilan dan latihan keguruan hingga persaraan. Pakej ini merangkumi usaha meninggikan syarat kelayakan masuk, meningkatkan peluang pembangunan profesional berterusan mengikut keperluan individu, membolehkan guru maju dalam kerjaya berdasarkan prestasi dan kompetensi, serta mewujudkan budaya kecemerlangan profesional berasaskan teladan rakan setugas.

17. Selaras dengan itu juga, Menjadi Guru Malaysia (MGM) dibangunkan sebagai satu inisiatif untuk mengiktiraf Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PPP) selaku golongan profesional yang sentiasa berkualiti. Inisiatif ini menepati hasrat KPM memartabatkan profesion keguruan sebagaimana yang dinyatakan dalam Anjakan Keempat PPPM 2013-2025 iaitu “Transformasi Profesion Keguruan Menjadi Profesion Pilihan” melalui pernyataan membudayakan kecemerlangan berasaskan teladan rakan setugas dan proses pensijilan mulai 2025.

18. MGM merangkumi peringkat kelayakan, pendaftaran dan pensijilan bertujuan untuk mengekalkan kompetensi profesional PPP berdasarkan standard yang ditetapkan sepanjang tempoh perkhidmatan. Pendaftaran guru melalui MGM juga merupakan salah satu inisiatif di bawah Teras Strategik 1, Pelan Transformasi Perkhidmatan Awam 2014 yang bertujuan untuk memfokuskan kepada usaha melahirkan PPP yang berdaya saing dan berilmu pengetahuan tinggi, mempunyai kompetensi, bakat dan kemahiran dalam pelbagai bidang bagi meningkatkan prestasi, produktiviti dan daya inovasi.

Budaya Kemahiran Berfikir Aras Tinggi

19. Untuk berdiri sebaris dengan negara maju yang lain, usaha membudayakan masyarakat hari ini dan masa hadapan dengan semangat juang yang tinggi, kritis dan berpandangan jauh perlu disemai sejak di bangku sekolah sesuai dengan pepatah yang mengatakan, melentur buluh biarlah dari rebungnya. Seperti yang diungkapkan oleh cendekiawan Islam terkemuka Profesor Dr. Yusof Al-Qardhawi, "Jika mahu melihat negara pada masa hadapan, maka lihatlah remaja pada hari ini." Sudah tentulah warga pendidik memainkan peranan amat penting bagi menggalas amanah besar dalam membentuk generasi muda masa kini dengan budaya pemikiran aras tinggi, kreatif, inovatif dan bersifat futuristik.

20. KPM komited melaksanakan transformasi pendidikan melalui penambahbaikan kurikulum sekolah dan sistem pentaksiran kebangsaan dengan memberi penegasan kepada penyerapan, aplikasi, adaptasi dan pengamalan elemen kreativiti yang merupakan langkah proaktif dalam membentuk Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT). Pelbagai strategi pengajaran dan pembelajaran telah dirancang bagi mendorong kepada perubahan dalam melahirkan modal insan cemerlang daripada aspek pemikiran kreatif dan mempunyai kemahiran keusahawanan. Penekanan konsep KBAT dan juga inkuiri akan membantu murid-murid bukan sekadar menguasai pengetahuan, tetapi juga mampu untuk menggunakannya. Kesediaan guru dalam memastikan pelaksanaan kurikulum standard sekolah rendah dan menengah berjalan lancar juga merupakan satu perkara yang perlu diberi perhatian dalam menerapkan budaya KBAT.

21. Sememangnya tiada jalan pintas bagi mendapatkan sesuatu yang terbaik. Justeru, transformasi pendidikan yang semakin diperhebatkan sekarang ini terus memberi penekanan kepada pemikiran kreatif dan inovatif agar modal insan yang dilahirkan mampu menghadapi persaingan yang kompleks pada masa hadapan. Hanya melalui sistem pendidikan yang berkualiti, kita berupaya melahirkan murid yang memiliki minda kelas pertama seterusnya menjadikan mereka pekerja mahir yang mempunyai sikap ingin tahu, mencuba sesuatu perkara yang baharu dalam meningkatkan produktiviti dan menjadi pemacu utama dalam menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi yang mampan.

22. Sebagai agen pelaksana perubahan, guru perlu berusaha mengubah stigma murid dan masyarakat bahawa fokus pembelajaran bukan semata-mata untuk lulus cemerlang dalam peperiksaan. Jika dahulu, kecemerlangan hanya berorientasikan peperiksaan, kini penilaian terhadap murid bersifat holistik dengan terlaksananya Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) yang bukan terbatas kepada aspek akademik sahaja, sebaliknya dinilai dengan lebih menyeluruh merangkumi aspek kognitif, efektif dan psikomotor secara berterusan seperti hasrat yang terkandung dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

23. Pelaksanaan PBS yang bertujuan untuk membangunkan modal insan secara holistik melalui penekanan terhadap penguasaan ilmu pengetahuan, modal intelektual, pembudayaan sikap progresif dan pengamalan nilai, etika serta moral yang tinggi perlu difahami dan dihayati oleh setiap guru. Pada hakikatnya, guru yang berjiwa besar dan dinamik sudah tentu bersedia untuk memberikan ruang dan peluang kepada setiap muridnya meningkatkan pencapaian secara berterusan. Dengan cara ini, potensi sebenar murid dapat dikembangkan ke tahap optimum agar tercetus idea bernas dengan lebih baik.

24. Bertitik tolak daripada keperluan ini, maka PBS dilihat mampu memberikan nilai tambah kepada proses pengajaran dan pembelajaran sedia ada dengan memberi peluang dan ruang yang lebih luas kepada murid untuk mengembangkan bakat mereka dalam pelbagai disiplin ilmu. Uniknya menerusi PBS, pengetahuan dapat dikumpul, pengalaman bermakna dapat dialami dan ilmu baharu dapat diterokai oleh murid. Natijahnya impak positif dapat terus dipindahkan kepada masyarakat dan negara.

Warga pendidik yang saya hormati sekalian,

Pengukuhan Dasar Dalam Sistem Pendidikan Negara

25. Dunia pendidikan hari ini dipenuhi pelbagai cabaran untuk seorang yang bergelar guru. Dalam alaf ini, guru berhadapan dengan pemikiran dan kebolehan murid yang jauh berbeza dengan murid masa dahulu. Guru juga berhadapan dengan keperluan pendidikan abad ke-21 yang semakin mencabar dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) serta Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET). Sejajar dengan itu, guru perlu melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan, isi kandungan, teknik pengajaran yang relevan dan kemahiran terkini bagi menyahut seruan kerajaan membina negara bangsa dan melahirkan generasi cemerlang yang bakal memimpin negara.

26. Sehubungan dengan itu, bagi merealisasikan pencapaian status negara maju dan berpendapatan tinggi, anak-anak kita hendaklah memiliki keupayaan yang optimum dalam bidang STEM dan TVET serta mampu menghasilkan idea atau produk baharu yang dapat menembusi pasaran global. Saya kira para pendidik juga harus sentiasa bersedia dan berfikiran terbuka untuk melakukan anjakan paradigma dalam proses pengajaran serta tidak hanya selesa berada di takuk lama.

27. Saya percaya melalui pengajaran kelas abad ke-21 yang bercorak futuristik, fleksibel dan dinamik dalam pendidikan STEM dan TVET, mampu menghasilkan generasi muda yang berupaya menangani cabaran masa kini dan masa depan agar tidak tenggelam dibawa arus kemajuan globalisasi, ledakan ilmu dan maklumat dalam dunia tanpa sempadan. Gurulah yang menjadi pemangkin dan berupaya membuat lonjakan kepada pembaharuan yang lebih cemerlang seterusnya memberikan impak signifikan untuk keberhasilan murid. Semoga dengan bimbingan para guru, hasrat kerajaan dalam pembinaan modal insan yang berkemahiran tinggi akan dapat direalisasikan dalam masa terdekat.

Para guru yang saya hormati sekalian,

Pengukuhan Fungsi dan Penstrukturan Semula KPM

28. KPM meneruskan langkah mentransformasikan sistem pendidikan negara melalui PPPM 2013-2025 kerana pelbagai cabaran harus ditempuh ke arah kemenjadian murid yang cemerlang. Fokus utama Gelombang 2 (2016-2020) iaitu melakukan perubahan struktur bagi mempercepatkan transformasi. Bagi memastikan sasaran Gelombang 2 PPPM ini dapat direalisasikan, kita semua perlu menerapkan budaya kerja berprestasi tinggi, meningkatkan keberhasilan dan akauntabiliti serta menambah baik kaedah pengurusan sekolah, daerah, negeri dan bahagian KPM.

29. Dalam Gelombang 2 PPPM bagi tahun 2017 ini, antara inisiatif yang diberi fokus adalah mengukuhkan kecekapan penyampaian dengan menetapkan hala tuju Kementerian dengan jelas, membentuk organisasi Kementerian, Jabatan Pendidikan Negeri dan Pejabat Pendidikan Daerah yang responsif demi meningkatkan kebertanggungjawaban pada semua peringkat bagi memastikan lonjakan prestasi sistem pendidikan. Kementerian dengan kerjasama Jabatan Perkhidmatan Awam berusaha memuktamadkan struktur di peringkat Bahagian, JPN dan PPD yang melibatkan pengagihan jawatan Kumpulan Pengurusan dan Profesional; dan Anggota Kumpulan Sokongan sehingga urusan Waran Perjawatan diselesaikan.

Para guru yang saya hormati sekalian,

Pengiktirafan Peringkat Antarabangsa

30. Alhamdulillah, saya mengucapkan rasa syukur kerana kita berjaya memenuhi hasrat kerajaan untuk memastikan kelangsungan pencapaian pendidikan di dalam negara dan keterlibatan yang aktif di luar negara sehingga diberi kepercayaan oleh negara-negara serantau. Saya amat teruja kerana Malaysia telah mendapat undangan khas sebagai Negara Tetamu Kehormat oleh Kerajaan Arab Saudi bersempena Pesta Buku Antarabangsa 2017 di Riyadh pada Mac lalu sekali gus meletakkan kita sebagai negara ASEAN pertama diundang selain negara Jepun dan India.

31. Hala tuju Kementerian jelas menyatakan hasrat untuk menjadikan Malaysia sebagai hab pendidikan antara yang terbaik di dunia. Akses kepada pendidikan berkualiti yang dijanjikan dalam PPPM 2013-2025 telah meletakkan asas yang kukuh untuk membangunkan murid secara holistik dan berupaya menjulang nama negara di persada antarabangsa. Bukan setakat itu sahaja, saya turut bangga kerana pengiktirafan antarabangsa tidak hanya diterima oleh kementerian, tetapi juga diterima atas kejayaan anak-anak dan guru-guru kita pada peringkat dunia dalam pelbagai bidang seperti sukan, kokurikulum, pengajaran dan pembelajaran serta pencapaian inovasi.

32. Syabas saya ucapkan kepada warga Institut Pendidikan Guru Kampus Ilmu Khas yang bukan sahaja berjaya melahirkan bakal guru cemerlang dalam bidang akademik malah begitu hebat dalam kokurikulum sehingga terpilih mengadili pertandingan bertaraf dunia. Pendedahan ini menjadikan bakal guru kita lebih berketerampilan dan relevan dengan kehendak pasaran kerja dunia pendidikan. Bakal guru Pendidikan Jasmani dan Kesihatan, Cik Ayu Malina Zainudin berjaya mengharumkan nama negara apabila terpilih mengadili kejohanan hoki antarabangsa sejak 2015 dan beliau turut terpilih menjadi Pengadil Kelas Satu Antarabangsa dalam Kejohanan Liga Hoki Wanita Dunia.

33. Satu lagi kejayaan dicatatkan oleh pensyarah Unit Kokurikulum IPG yang sama iaitu Cikgu Teo Kian Joo apabila beliau dilantik selaku pengadil badminton dalam temasya Sukan Olimpik Rio 2016 di Brazil dan turut mengadili perlawanan badminton antara Korea Selatan dengan Rusia pada Ogos 2016. Kejayaan sebegini jelas membuktikan program kebitaraan dalam Pendidikan Jasmani dan Kesihatan telah membuahkan hasil, bahkan graduan IPG bukan sahaja kompeten dalam isi kandungan mata pelajaran dan pedagogi, malah mereka juga berkelayakan dalam bidang profesional yang lain.

34. Selain menumpukan kepada pencapaian dan kemenjadian murid, KPM turut peka dan prihatin terhadap kebajikan guru yang telah banyak berkorban masa, tenaga, wang ringgit dan tempat berkhidmat. Sehubungan dengan itu, KPM telah melaksanakan beberapa inisiatif bagi mengurangkan beban, cabaran, kerencaman tugas dan gangguan emosi para guru. KPM tidak pernah lupa jasa guru sekalian. Guru merupakan jurutera pembina bangsa. Sumbangan dan perit jerih guru perlu dihargai dan wajar diiktiraf oleh seluruh masyarakat. Oleh kerana itulah, pelbagai pengiktirafan untuk guru telah diberi seperti Anugerah Ikon Guru, Anugerah Guru Inovatif dan Anugerah Tokoh Kepimpinan Pendidikan. Guru cemerlang yang diiktiraf ini sudah tentu menggunakan pendekatan PdP secara inovatif dan dapat dicontohi oleh guru-guru lain bagi memperkukuh amalan terbaik dalam pendidikan.

Wahai guru pembina negara bangsa,

Transformasi Nasional 2050

35. Transformasi Nasional 2050 (TN50) hasil cetusan idea YAB Perdana Menteri merupakan pelan baharu pembangunan negara yang dirangka bermula tahun 2020 hingga 2050. TN50 ini masih berada dalam peringkat perancangan dan satu usaha untuk membentuk masa depan Malaysia berdasarkan pandangan pelbagai lapisan rakyat sedang giat dilaksanakan oleh kementerian yang bertanggungjawab. Inisiatif dalam pelan ini akan dipacu oleh matlamat dan sasaran yang jelas bagi tempoh tiga dekad. Harapan kita, dari sebuah negara maju, kita harus mensasarkan untuk menjadi antara kelompok negara teratas di tangga dunia dalam ekonomi, pendidikan, inovasi dan kesejahteraan rakyat.

36. Saya menyeru kepada semua guru, khasnya guru-guru muda, teruskanlah perkhidmatan cemerlang dan berbakti demi kelangsungan pendidikan negara menjelang tahun 2050. Saya yakin dengan kekuatan 212,355 orang guru berusia bawah 40 tahun iaitu 50.26 peratus daripada jumlah keseluruhan 422,505 orang guru yang juga dikategorikan dalam Guru Muda 1Malaysia (GM1M). Implikasinya 50 peratus daripada jumlah guru akan terus mengajar dalam tempoh 20 tahun akan datang, manakala separuh lagi akan terus berkhidmat sehingga 30 tahun, pastinya bidang pendidikan akan terus diperkasakan dan banyak pembaharuan akan berlaku dalam tempoh tersebut.

37. Justeru, saya amat berharap agar guru-guru muda ini dapat memberikan komitmen yang tinggi sebagai pendidik dan pembina negara bangsa kerana andalah yang akan meneruskan usaha KPM untuk menjana idea dan melaksanakan program pendidikan ke arah merealisasikan Transformasi Nasional 2050. Marilah kita bersama-sama sepakat menjayakan pelan TN50 ini bersama seluruh rakyat Malaysia yang kita kasihi.

38. Akhir kata, marilah kita bersatu hati dan berganding bahu dalam usaha melestarikan pendidikan yang merupakan agenda berterusan dalam gelombang transformasi pendidikan bagi melahirkan generasi pewaris kepemimpinan negara yang berpersonaliti unggul. Terima kasih buat semua guru. Jasamu dikenang, namamu dijulang. Semoga pengorbanan suci ini kekal terpahat indah dalam lipatan sejarah sesiapa sahaja yang telah pun berjaya dalam kehidupannya.

Sekian. Wabillahitaufik Walhidayah Wassalamu'alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Selamat Hari Guru. Terima kasih Cikgu!

#NegarakuHariGuru2017
#MuafakatGuru
#TerimaKasihCikgu

---
#terbaeekkk ‎#kipidap #‎mknaceunlimited‬ #‎mknace‬ ‎#blogger‬ #‎photography‬ #‎photoblog‬ ‎#‎SJCAM‬ ‎#SJ4000‬ #J3‬ ‎#Samsung‬ ‎#GalaxyCamera ‎#altek ‬#‎cubic‬ #love‬ ‎#followme‬ #‎beautiful‬ #‎blogoftheday‬ #fun‬ #like‬‎ #life‬ #colorful‬‎ #photooftheday‬ #‎MyExperience #‎mknaceunlimited,‬ #‎mknace‬, ‎#blogger,‬ #‎photography,‬ #‎photoblog,‬ #‎MyExperience‬,

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Kitab Digital Sekolah Agama Kerajaan Negeri Johor

PERMOHONAN ONLINE KE PROGRAM KOLEJ VOKASIONAL (MENJURUS KEPADA DIPLOMA VOKASIONAL MALAYSIA) AMBILAN JUN 2016

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS : Memakan Daging Saudara SeIslam