Teks Perutusan Hari Guru Tahun 2017 Oleh YBhg. Tan Sri KPPM


Teks Perutusan Hari Guru Tahun 2017 Oleh YBhg. Tan Sri KPPM boleh dimuaturun melalui pautan berikut : http://moe.gov.my/images/KPM/UKK/2017/05_May/TEKS_PERUTUSAN_KPPM_HARI_GURU_2017.pdf

TEKS PERUTUSAN HARI GURU TAHUN 2017
KETUA PENGARAH PELAJARAN MALAYSIA

TEMA: “GURU PEMBINA NEGARA BANGSA”

Assalamua'laikum Warahmatullahi Wabarakatuh,
Salam Sejahtera dan Salam Negaraku Malaysia.

Tuan-tuan, puan-puan warga pendidik dan murid-murid yang dikasihi sekalian,

Pendahuluan

1. Saya bersyukur kerana 16 Mei muncul lagi sebagai satu hari yang amat istimewa bagi semua warga pendidik. Pada hari ini, saya mengucapkan “Selamat Hari Guru” dan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas segala jasa, pengorbanan dan perjuangan para guru menyampaikan ilmu kepada anak-anak kita. Untuk kali yang ke-46 ini, kita bersama-sama meraikan hari guru sebagai tanda penghormatan dan pengiktirafan tertinggi masyarakat terhadap sumbangan besar dan khidmat bakti yang telah dicurahkan oleh para guru di seluruh pelosok tanah air.

2. Sesungguhnya profesion keguruan terlibat secara langsung dalam melahirkan warganegara yang menjadi aset penting pembangunan sesuatu bangsa dan negara. Profesion keguruan pada abad ke-21 ini terdedah kepada pelbagai cabaran baharu yang berbentuk intelektual, kerohanian, kebudayaan, material, ideologi baharu dan isu yang berkaitan dengan etika perkhidmatan awam. Apatah lagi profesion ini merupakan bidang pekerjaan yang terbesar dalam sektor awam di negara kita. Bagi mendepani cabaran tersebut, para guru perlu membentuk jati diri murid agar mampu bangkit dan membina kekuatan untuk menjadikan masa depan mereka lebih cemerlang.

3. Guru kini berhadapan dengan murid yang jauh berbeza dengan murid masa lalu. Murid-murid kita sekarang lebih terdedah dengan maklumat yang diperoleh daripada pelbagai sumber dan mereka cenderung untuk mengetahui dan bertanya dengan lebih mendalam. Murid pada alaf baharu ini mempunyai akses maklumat yang lebih luas kerana kepesatan teknologi dan ekonomi. Justeru, sebagai guru yang berwibawa, kita semua perlu melengkapkan diri dengan kemahiran terkini agar mudah menghadapi cabaran pendidikan abad ini.

4. Guru juga perlu melahirkan generasi berilmu untuk berfikir, bertindak dan menghasilkan sesuatu yang bermanfaat berlandaskan skop yang global dan teknologi terkini serta berupaya menangani gelombang perkembangan dan perubahan masa kini. Bagi memenuhi enam aspirasi murid yang termaktub dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025, iaitu melahirkan murid yang mempunyai pengetahuan, kemahiran berfikir, kemahiran memimpin, kemahiran dwibahasa, etika dan kerohanian serta identiti nasional, guru perlu memainkan peranan penting dalam menjayakannya.

Tema Hari Guru 2017

5. Tema Hari Guru kali ke-46 pada tahun ini iaitu “Guru Pembina Negara Bangsa” menjadi bukti betapa pentingnya peranan besar yang digalas oleh guru dalam membangunkan modal insan negara. Sememangnya tema ini bertepatan dengan aspirasi sistem pendidikan negara seperti yang dinyatakan dalam PPPM 2013-2025 menerusi Anjakan Ketiga iaitu melahirkan rakyat yang menghayati nilai. Malah usaha membina negara bangsa telah menjadi teras pertama dalam enam teras strategik Pelan Induk Pembangunan Pendidikan 2006-2010 yang memberi fokus tentang hasrat KPM membangunkan warganegara dari awal persekolahan dengan ciri-ciri glokal, patriotik dan cintakan negara. Jelas sekali, tema ini dipilih buat kali keempat bersesuaian dengan peranan guru sebagai wahana untuk memperkasakan budaya, bahasa dan nilai jati diri bagi memperkukuh perpaduan dan integrasi kaum.

6. Dalam konteks negara Malaysia yang berbilang kaum dan agama ini, aspek perpaduan amat penting untuk dihayati bersama. Keamanan dan keharmonian yang kita kecapi hari ini bukanlah datang secara percuma. Tema ini juga menzahirkan pengiktirafan terhadap peranan semua warga pendidik dalam usaha untuk melahirkan satu masyarakat yang berkualiti serta generasi berketrampilan yang boleh dicontohi. Warga pendidik seharusnya sentiasa berbangga kerana setiap personaliti atau ikon, sama ada ahli sukan atau ahli sains yang mengharumkan nama negara, mahupun para pemimpin yang terlibat dalam pentadbiran negara pastinya pernah menerima asuhan daripada kita, iaitu seorang guru yang sinonim dengan panggilan ‘cikgu'.

Guru-guru yang dikasihi sekalian,

Kejayaan Bidang Pendidikan

7. Kita tidak menafikan bahawa para guru telah memberikan sumbangan yang besar kepada kejayaan bidang pendidikan negara. Tanpa guru, kita sudah tentu tidak berada di sini pada hari ini. Walau siapapun kita pada hari ini, ingatlah jasa, usaha dan pengorbanan guru yang telah mendidik kita menjadi insan yang berjaya. Di hati para guru, hanya ada satu matlamat. Setiap murid perlu ditingkatkan kemampuan inteleknya, dibina akhlak peribadinya, dikukuhkan jati dirinya sebagai insan yang seimbang dan seterusnya menjadi warganegara yang harmonis. Syabas dan tahniah saya ucapkan kepada semua guru!

8. Pelbagai kejayaan membanggakan telah dicapai dalam sistem pendidikan kita, antaranya ialah program bertaraf antarabangsa iaitu Middle Years Programme International Baccalaureate (MYPIB). MYPIB ialah sebuah program pembelajaran untuk murid Tingkatan 1 hingga 5 yang bertujuan melahirkan aspirasi murid dan dilaksanakan di bawah Inisiatif Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT). Program antarabangsa ini mempunyai misi untuk membangunkan generasi muda yang berpengetahuan, berfikiran aras tinggi, bersifat ingin tahu, penyayang serta berfikiran antarabangsa. Menerusi program ini, murid dilatih untuk menjadi independent learner, mempunyai sifat persefahaman dan menghormati perbezaan antara satu sama lain yang akhirnya dapat menyumbang kepada keamanan dunia.

9. Hal ini membolehkan murid bersaing pada peringkat antarabangsa tetapi pada masa yang sama masih mengekalkan jati diri rakyat Malaysia. Program kelestarian bagi tempoh 2017 hingga 2021 ini dirancang bagi memastikan sekolah yang terlibat sentiasa mematuhi semua kriteria dan keperluan yang ditetapkan oleh International Baccalaureate Organization (IBO) di samping menambah baik pelaksanaan sedia ada di sekolah. Hasil ini dicapai setelah menjalani program rintis MYPIB dengan kerjasama Agensi Inovasi Malaysia sebagai model penandaarasan dalam pelaksanaan kurikulum dan pentaksiran yang diiktiraf antarabangsa dan diamalkan di lebih 150 buah negara seluruh dunia.

10. Sebanyak lapan buah sekolah iaitu SMK Sungai Tapang di Sarawak, Kolej Melayu Kuala Kangsar di Perak, SMK Sultanah Bahiyah di Kedah, SMK Putrajaya Presint 9 (2) di Wilayah Persekutuan Putrajaya, SMK Pantai di Wilayah Persekutuan Labuan, Kolej Tunku Khurshiah di Negeri Sembilan, SM Sains Tengku Muhammad Faris Petra di Kelantan dan SMK Seri Tualang di Pahang telah memperoleh pengiktirafan International Baccalaureate World School pada tahun 2016 manakala dua buah sekolah iaitu SMK Dato' Sheikh Ahmad, Perlis dan SMKA Sheikh Abdul Malek, Terengganu telah bersedia untuk proses verifikasi pada tahun ini. Pencapaian ini juga amat membanggakan kerana kesemua sekolah terlibat merupakan antara 28 buah sekolah kerajaan atau dalam kategori state school di lima buah negara rantau Asia-Pasifik yang menerima pengiktirafan sebagai IB World School.

11. Saya turut berbangga kerana pelbagai program sukan dan kokurikulum seperti Program Kecergasan KPM Sempena Hari Sukan Negara pada 8 Oktober 2016 juga telah mencatat sejarah dengan penyertaan seramai 4,688,733 orang termasuk 17,000 orang yang hadir di Putrajaya. Program Perkhemahan Pengakap Pendidikan Khas Kebangsaan iaitu Program Agonoori Antarabangsa Kali Ke-5 Tahun 2015 pula telah berjaya dinaik taraf daripada peringkat kebangsaan kepada peringkat antarabangsa dengan penyertaan dari negara Indonesia dan Singapura. Sumbangan murid yang mengikuti Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) juga amat membanggakan setelah dibuktikan oleh pemenang pingat emas acara lompat jauh Sukan Paralimpik Rio 2016, saudara Abdul Latif bin Romli yang mengikuti program tersebut di SMK Syed Alwi, Kangar, Perlis.

12. Dalam pertandingan reka cipta di peringkat antarabangsa, murid-murid kita juga telah menunjukkan keupayaan yang amat mengagumkan. Beberapa pingat emas telah diperoleh anak didik kita, antaranya di International Warsaw Invention Show, Indonesia Young Inventor Awards, International Invention Awards Canada, The Second World Invention Innovation Contest Korea dan World Invention Creativity Contest Seoul. Malah murid kita turut membuktikan mampu mencapai taraf antarabangsa apabila menjuarai International Music Festival 2016 di Amerika Syarikat. Begitu juga prestasi cemerlang dalam kejohanan World Robot Olympiad kali ke-13 di India, mengharumkan nama Malaysia setelah pasukan negara menjadi johan keseluruhan dunia buat kali keenam dalam pertandingan tersebut.

13. Sudah semestinya segala kecemerlangan ini tidak datang secara tiba-tiba atau percuma. Sebelum kejayaan tersebut dicapai pastinya mereka telah menerima asuhan dan bimbingan daripada ramai guru sama ada di sekolah rendah atau menengah. Gurulah sebagai wira yang tidak didendang yang tekun mengasuh dan mendidik tanpa mengenal erti jemu serta tidak mengharapkan balasan di sebalik semua kejayaan tersebut.

Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025

14. Kita sedia maklum bahawa tahun ini merupakan tahun kedua pelaksanaan Gelombang 2 dalam PPPM 2013-2025 yang memberi fokus untuk memacu peningkatan sistem. Kita telah mencapai beberapa kejayaan pada tahun pertama Gelombang 2, antaranya ialah peratus prasekolah KPM yang melepasi standard minimum prasekolah kebangsaan meningkat daripada 89.8 peratus pada 2015 kepada 99 peratus pada 2016. Manakala sasaran 65 peratus pelibatan ibu bapa dalam enam aktiviti utama telah mencapai 92 peratus iaitu jauh melepasi sasaran awal tersebut. Selain itu juga, pencapaian enrolmen murid berkeperluan khas (MBK) dari Program Pendidikan Inklusif (PPI) 2015 turut meningkat daripada 23.24 peratus kepada 30.26 peratus pada tahun 2016.

Kurikulum Standard

15. Transformasi kurikulum telah dilaksanakan sebagai usaha menambah baik program pembelajaran bagi meningkatkan keberhasilan murid untuk mencapai enam aspirasi seperti yang disyorkan dalam PPPM 2013-2025. Bagi menjayakan Gelombang 2 PPPM 2016-2020, Kurikulum Standard Prasekolah Kebangsaan (KSPK) yang dilaksanakan pada tahun 2010 telah disemak semula dan dinamakan KSPK (Semakan 2017). Untuk pendidikan di peringkat rendah pula, Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) yang mula dilaksanakan sejak tahun 2011 telah ditambah baik bagi mengukuhkan kurikulum tersebut dan dinamakan sebagai KSSR (Semakan 2017). Bagi memastikan berlakunya kesinambungan dalam pendidikan sekolah rendah dan menengah, Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM) yang telah dilaksanakan sejak tahun 1989 juga turut disemak semula, ditambah baik dan diberi nama baharu iaitu Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM). Transformasi ini telah dibuat secara menyeluruh meliputi kandungan, pedagogi dan pentaksiran.

16. KPM juga turut menggubal kurikulum kontekstual iaitu Kurikulum Asli dan Penan (KAP) yang disesuaikan untuk murid Orang Asli dan Penan bagi memastikan kumpulan murid berkeperluan khusus ini mempunyai peluang untuk mendapatkan pendidikan berkualiti tinggi yang relevan dengan keperluan mereka. Lawatan kerja telah dibuat bagi mengesan pelaksanaan kurikulum tersebut di SK Pos Perwor, Perak, SK Sungai Rual, Kelantan dan SK Sungai Berua, Terengganu manakala pengesanan pelaksanaan Kurikulum Kelas Dewasa bagi Ibu Bapa Murid Orang Asli dan Peribumi (KEDAP) dibuat di SK Segamat Kecil, Johor.

17. Tahun 2017 ini bermulanya semakan semula KSSR 2107 bagi murid Tahun 1 dan KSSM bagi murid Tingkatan 1. Murid yang mengikuti KSSM tersebut merupakan calon Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) kohort pertama yang telah mengikuti KSSR dan melalui Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) sejak mereka berada di Tahun 1 iaitu pada 2011. Format UPSR sebenarnya berkonsepkan guru mendidik berdasarkan kurikulum, bukanlah berdasarkan format peperiksaan seperti mana yang diamalkan di negara-negara yang ditanda aras pada peringkat global. Oleh itu, tahap pencapaian murid diukur berdasarkan standard kandungan, standard pembelajaran dan standard prestasi.

18. Memandangkan ini adalah kali pertama peperiksaan UPSR berasaskan kurikulum baharu, pihak KPM sentiasa berusaha untuk membuat penambahbaikan bagi memastikan pelaksanaannya ditadbir urus dengan lebih kemas dan teratur. Saya juga berharap agar semua warga pendidik bersama-sama dengan pihak KPM berganding bahu agar segala halangan dalam merealisasikan KSSR dan PBS ini dapat ditempuh dengan jaya.

19. PBS yang dilaksanakan melibatkan pentaksiran holistik yang mengambil kira pembangunan jasmani, emosi, rohani dan intelek. KPM sedang berusaha menyediakan profil murid sekolah yang komprehensif untuk menggambarkan keempat-empat pelaporan Pentaksiran Sekolah (PS), Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK), Pentaksiran Psikometrik (PPSI) dan PT3/UPSR dalam bentuk infografik yang mudah untuk difahami.

20. Selain daripada perubahan kurikulum dan pelaksanaan PBS, perubahan dalam bilik darjah juga telah dilakukan. Susun atur dalam bilik darjah bagi merealisasikan enam aspirasi murid telah diperkenalkan selari dengan konsep pedagogi abad ke-21. Perubahan ini bertujuan menyediakan suasana yang lebih kondusif untuk mencapai objektif pendidikan abad ke-21 yang menekankan pembangunan murid secara holistik melibatkan aspek intelek, rohani, emosi dan fizikal. Secara tidak langsung, usaha ini dapat menerapkan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) dalam kalangan murid di sekolah.

21. KBAT merupakan antara tunjang utama dalam transformasi kurikulum yang dilaksanakan. Penambahbaikan sistem peperiksaan awam dan PBS dilakukan melalui peningkatan item KBAT bagi pentaksiran secara berperingkat. Perubahan dalam reka bentuk peperiksaan bermakna guru tidak perlu meramal soalan atau menumpukan kepada topik-topik tertentu untuk tujuan peperiksaan semata-mata dengan mengabaikan aspek pembelajaran serta kemenjadian murid secara holistik.

22. Selain daripada itu, transformasi dalam pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) juga telah mula membuahkan hasilnya. Seramai 2,273 pelajar kohort pertama yang melanjutkan pengajian di 15 Kolej Vokasional seluruh negara telah memperolehi diploma. Saya begitu bangga apabila 83.10 peratus daripada mereka telah mendapat pekerjaan dan menjadi usahawan dalam tempoh tiga bulan selepas graduasi. Bagi memperkukuh transformasi TVET, KPM telah melaksanakan Program Vokasional Menengah Atas (PVMA) pada tahun 2016 di 269 buah SMK yang melaksanakan Mata Pelajaran Vokasional (MPV). PVMA merupakan program menaik taraf MPV bagi melahirkan lebih ramai murid berkemahiran yang disasarkan kepada murid-murid lepasan Tingkatan 3.

Warga pendidik harapan negara sekalian,

Inisiatif Perkukuhan STEM

23. Kita tidak dapat menyangkal bahawa bidang sains dan teknologi memainkan peranan yang amat penting dalam memacu kejayaan negara. Pelbagai inisiatif telah dijalankan bagi memperkukuh pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM). Kelab STEM+ telah mula dirintis di tiga puluh buah sekolah dan akan diperluaskan dari semasa ke semasa. Pertandingan School Lab yang telah masuk tahun kedua penganjurannya mendapat sambutan amat memberangsangkan dengan penyertaan lebih daripada 1,200 kumpulan iaitu sepuluh kali ganda lebih tinggi bebanding tahun sebelumnya. Pada pertandingan akhir yang diadakan pada 6 Mei 2017 yang lalu, SMK Sanzac, Sabah telah muncul sebagai juara diikuti oleh SMK Batu Lintang, Sarawak dan SMK Hamid Khan, Pulau Pinang.

24. Melalui inisiatif Perkukuhan STEM, KPM telah menghasilkan bahan Exemplar STEM iaitu sebagai panduan untuk guru menggalakkan dan meningkatkan minat murid melalui pendekatan Pengajaran dan Pemudahcaraan (PdPc) STEM. Bagi memperkukuh penguasaan murid terhadap mata pelajaran Sains, amali sains akan diperkasakan menerusi beberapa siri bengkel yang dijalankan bagi meningkatkan kompetensi guru-guru sains di samping melatih pembantu makmal agar pelaksanaan di peringkat sekolah berjalan lebih lancar dan berkesan.

25. KPM juga telahpun menjalankan audit ke atas makmal sains di seluruh negara bagi memastikan makmal tersebut dapat berfungsi dengan baik bagi menyokong usaha untuk memperkasakan amali sains dalam pembelajaran sains di sekolah. Selain daripada itu, KPM juga sedang berusaha mencipta gamifikasi iaitu permainan berasaskan video STEM, yang hingga kini berjaya menghasilkan sebanyak 18 video STEM KPM bagi menambahkan bilangan bahan bantu mengajar yang mudah diakses dan mampu merangsang kreativiti murid.

26. Beberapa siri Kolokium Pendidikan STEM juga diadakan di setiap zon di negara ini. Kolokium bagi zon tengah yang meliputi Putrajaya, Kuala Lumpur, Selangor dan Negeri Sembilan telah diadakan pada 9 Mei 2017 lalu berjaya menarik penyertaan lebih daripada 1,700 peserta yang melibatkan kalangan guru bidang STEM serta guru kaunselor di sekolah menengah. Manakala kolokium bagi zon timur diadakan pada 15 Mei 2017 yang melibatkan kerjasama antara KPM dan Universiti Malaysia Terengganu. Melalui kolokium ini, pihak KPM juga bekerjasama dengan pelbagai agensi kerajaan serta pihak industri bagi memberi lebih kefahaman kepada para peserta berkaitan kerjaya dalam bidang STEM serta mendedahkan mereka dengan beberapa aktiviti hands-on yang boleh dilaksanakan dalam kelas bagi menjadikan mata pelajaran Sains dan Matematik lebih menarik dan tidak membosankan.

Penjenamaan Kolej Tingkatan Enam

27. Usaha KPM memantapkan imej, kualiti dan sistem pendidikan Tingkatan Enam terus diperkasakan kerana kita mahu murid menjadi insan yang berjaya dan mampu membawa negara ke era yang lebih gemilang. Selaras dengan itu, berkuat kuasa pada Oktober 2016, semua 10 buah pusat Tingkatan Enam Mod 1 di seluruh negara telah diberi nama Kolej Tingkatan Enam yang mempunyai premis dan pentadbiran tersendiri, guru yang dilantik khas dan persekitaran pengajaran dan pembelajaran prauniversiti yang kondusif. Dengan langkah penamaan kepada kolej ini, saya berharap murid-murid akan lebih bersemangat untuk belajar dengan cemerlang di Tingkatan Enam. KPM turut menyasarkan menjelang tahun 2020 nanti, Kolej Tingkatan Enam akan bertambah sebanyak 44 buah, pusat Tingkatan Enam Mod 2 sebanyak 91 buah dan Mod 3 berjumlah 384 buah.

28. Selain daripada itu, pendidikan Tingkatan Enam juga semakin mendapat perhatian apabila Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) mendapat pengiktirafan daripada Kerajaan Malaysia, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Cambridge Assessment, England. Sijil STPM telah diterima oleh JPA untuk menjawat perjawatan dalam perkhidmatan kerajaan. Murid yang memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan STPM dan kokurikulum layak memohon untuk melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi dalam dan luar negara.

29. Dalam konteks pencapaian akademik, saya berpuas hati dengan keputusan STPM 2016 yang menunjukkan pencapaian lebih baik berbanding tahun sebelumnya dengan Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) nasional meningkat daripada 2.65 kepada 2.71 dan bilangan murid yang mendapat PNGK 4.0 juga meningkat sebanyak 0.51 peratus. Keputusan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) turut menunjukkan peningkatan dalam Gred Purata Nasional apabila jumlah calon yang memperoleh sijil Mumtaz atau Cemerlang bagi peperiksaan tersebut meningkat. Program pengantarabangsaan peperiksaan juga turut direalisasikan melalui pelaksanaan peperiksaan STAM di Kemboja buat julung kali pada tahun 2016 yang melibatkan 78 orang calon dan tiga buah pusat peperiksaan.

30. Pada kesempatan ini, saya merakamkan ucapan penghargaan dan begitu teruja dengan pencapaian saudara Ahmad Faiz bin Ibrahim, yang menghidap penyakit cerebral palsy sejak kecil, namun beliau telah membuktikan kecemerlangan dengan memperoleh gred Mumtaz bagi semua subjek STAM. Malah beliau yang juga murid Maahad Ar-Rahmah Kenali terpilih dalam kalangan 19 murid terbaik STAM 2016 negeri Kelantan. Kegigihan dan semangat kental saudara Ahmad Faiz amat dikagumi dan wajar dicontohi kerana kekurangan pada dirinya tidak menghalang pembelajaran beliau walaupun terpaksa menulis dengan bantuan dagu dan mulut disebabkan penyakit yang dihidapi sejak kecil.

31. Selain itu, peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2016 juga mencatatkan indeks GPN yang lebih baik iaitu 5.10 berbanding 5.15 pada tahun 2015. Walaupun bilangan murid yang mendapat semua A berkurangan, GPN semua mata pelajaran telah meningkat secara signifikan. Ini bermakna prestasi keseluruhan murid meningkat malah jurang pencapaian antara calon bandar dengan luar bandar juga turut mengecil yang menggambarkan kejayaan hasrat KPM untuk merapatkan jurang perbezaan antara sekolah di bandar dan luar bandar.

32. Saya pasti segala kejayaan ini dapat dicapai berkat usaha dan penat lelah para guru memberi tumpuan yang baik semasa PdP di dalam kelas, selain mengadakan kelas tambahan, nota sampingan serta meraikan anak didik masing-masing tanpa mengira masa, tenaga dan wang ringgit bagi memastikan mereka mendapat ilmu yang sebaik-baiknya. Semua ini tidak akan dapat dilaksanakan tanpa keikhlasan dan kesediaan guru untuk berkorban demi anak bangsa yang tercinta.

Isu Keselamatan Sekolah

33. Saya amat terkesan apabila berlaku beberapa insiden kemalangan yang meragut nyawa dan kecederaan murid di kawasan sekolah kerana hal ini memerlukan perhatian yang serius dalam kalangan warga pendidik, para ibu bapa dan juga murid-murid sendiri. Isu keselamatan murid yang melibatkan kes buli dan mendatangkan kecederaan pula harus dirujuk untuk tindakan lanjut pihak polis. Kejadian seumpama ini yang sering dilaporkan oleh pihak media serba sedikit mencalarkan imej KPM sebagai institusi pendidikan. Susulan itu, Dasar Sekolah Selamat telah dilancarkan untuk menyediakan garis panduan serta peraturan yang berkaitan. Saya amat berharap agar peraturan yang disediakan ini sentiasa dipatuhi oleh setiap warga pendidik dan murid yang saya kasihi sekalian.

Pembangunan Profesionalisme Berterusan

34. Usaha untuk meningkatkan kualiti guru merupakan satu agenda penting dalam mentransformasi pendidikan negara. Gelombang 1 PPPM 2013-2015 telah memberi sokongan kepada guru meningkatkan kualiti melalui program Pembangunan Profesionalisme Berterusan (PPB) dan diteruskan dalam Gelombang 2 PPPM 2016-2020. Bagi memastikan PPB memberi impak yang besar dalam meningkatkan kualiti guru, PPB dirancang mengikut keperluan individu dan organisasi. Kementerian juga telah memperluaskan latihan secara blended learning dengan memperuntukkan antara 40 hingga 60 peratus pembelajaran dilaksanakan secara atas talian.

Standard Kualiti Pendidikan Malaysia Gelombang 2

35. Selaras dengan dasar KPM memacu sistem pendidikan negara, bermula tahun 2017, Standard Kualiti Pendidikan Malaysia Gelombang 2 (SKPMg2) mula diguna pakai di semua sekolah dalam melaksanakan penilaian kendiri bagi menggantikan Standard Kualiti Pendidikan Malaysia (SKPM) yang telah diperkenalkan pada 2010. SKPMg2 juga merupakan instrumen utama yang digunakan oleh Jemaah Nazir dan Jaminan Kualiti, KPM dalam aktiviti penaziran yang dijalankan. SIPartner+ dan SISC+ yang merupakan pembimbing pengetua/guru besar dan guru sekolah juga boleh menggunakan SKPMg2 untuk memastikan kecemerlangan sekolah yang dibimbing.

Integriti Penjawat Awam

36. Sebagai menghargai segala usaha memartabatkan bidang pendidikan negara yang telah dan sedang dilaksanakan oleh KPM, saya menyeru semua warga pendidik agar dapat mengelakkan diri daripada perbuatan yang boleh menggugat integriti penjawat awam seperti ketirisan maklumat, penyalahgunaan kuasa dan aktiviti keganasan yang boleh menghancurkan kemakmuran negara. Dasar dan etika penjawat awam hendaklah sentiasa difahami dan dihayati bagi memastikan profesion keguruan sentiasa dihormati dan dipandang tinggi. Arahan Pentadbiran Bilangan 1/2017 mengenai pengurusan maklumat dan fail terperingkat serta rahsia kerajaan hendaklah sentiasa dipatuhi. Pemantauan berkala bukan sahaja dilakukan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tetapi juga oleh Unit Integriti KPM.

37. Barisan warga pendidik yang terlibat dalam pengurusan dan pentadbiran juga tidak terlepas menerima tempias daripada setiap perubahan yang berlaku. Sejajar dengan Dasar Transformasi Sektor Awam dalam Model Baru Ekonomi yang bertujuan mempertingkatkan kecekapan pengurusan kewangan dan perakaunan, KPM telah melaksanakan perakaunan akruan. Perakaunan akruan ini dapat memberi gambaran kedudukan kewangan yang lebih menyeluruh dan tepat serta meningkatkan ketelusan dan akauntabiliti dalam pengurusan kewangan dan akaun.

38. Perkara tersebut juga dapat menambah baik pengurusan kewangan dan perakaunan melalui tadbir urus yang telus dan berupaya meningkatkan kecekapan serta keberkesanan dengan penjanaan laporan prestasi dan penyata kewangan secara lebih lengkap dan menyeluruh. Oleh yang demikian, sekali lagi saya menyeru semua warga pendidik terutamanya yang terlibat dalam bidang pengurusan samada secara langsung atau tidak langsung agar sentiasa peka serta mematuhi segala garis panduan berkaitan yang telah dikeluarkan dari semasa ke semasa. Kita perlu ingat bahawa sebarang kecuaian yang berlaku dikhuatiri akan mengundang masalah yang tidak dijangkakan.

Transformasi Nasional 2050

39. Baru-baru ini, YAB Perdana Menteri telah mengemukakan satu dasar baharu negara iaitu dasar yang lebih futuristik yang diumumkan melalui Transformasi Nasional 2050 (TN50). Saya berharap semua warga pendidik akan sentiasa peka dengan hasrat yang terkandung dalam TN50. Ini adalah satu dasar yang bersifat holistik dan inklusif untuk menyediakan generasi baharu masa depan yang juga merupakan kesinambungan untuk melahirkan generasi yang berfikiran kreatif dan inovatif. Dasar ini juga selari dengan hasrat yang terkandung dalam PPPM 2013-2025 dan matlamat keempat dalam Sasaran Pembangunan Mapan (Sustainable Development Goal - SDG) iaitu menyediakan pendidikan yang berkualiti dan peluang pendidikan untuk semua menjelang 2030.

40. Sebagai penghormatan kepada guru-guru dan keperihatinan masyarakat terhadap pendidikan di negara ini, saya amat berbesar hati dan berterima kasih kepada Kumpulan Sokongan Ibu Bapa (KSIB), Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), komuniti setempat, sektor swasta dan pihak-pihak yang berkepentingan atas pelbagai usaha dan inisiatif yang dilakukan untuk membantu program dan pembangunan sekolah. KPM tidak akan dapat menjayakan transformasi ini tanpa bantuan segenap pihak. Justeru, demi anak-anak bangsa Malaysia, marilah kita bersama-sama memastikan bidang pendidikan negara terus dimartabatkan hingga berjaya berdiri sebaris dengan negara maju.

Warga pendidik yang disanjungi,

Kebajikan Guru

41. Pada asasnya, kebajikan guru dan peluang meningkatkan kerjaya menjadi faktor utama motivasi guru untuk terus menyumbang bakti kepada masyarakat dan negara. Rungutan guru tentang bebanan tugas yang terlalu berat perlu diteliti agar perkara ini tidak menjejaskan minat dan komitmen guru untuk berkhidmat dengan lebih cemerlang. Seorang pujangga, George Bernard Shaw pernah berkata, “Sebuah keluarga yang bahagia merupakan syurga yang datang lebih awal”. Pihak pengurusan KPM amat memahami dan sentiasa prihatin tentang permasalahan sebahagian besar warga pendidik yang berdepan dengan pelbagai kekangan dan halangan yang perlu diambil perhatian sewajarnya.

42. Namun begitu, saya bersyukur kerana masalah isu semasa khasnya berkaitan pertukaran guru telah berjaya diselesaikan secara berperingkat-peringkat. Malah KPM juga telah menambah baik urusan pertukaran guru melalui e-GTukar dengan memberi kuasa kepada PPD untuk membuat keputusan bagi melancarkan proses pertukaran ini selain urusan permohonan pertukaran yang ditawarkan sebanyak empat kali setahun berbanding hanya dua kali sebelum ini.

43. Segala inisiatif ini diharap dapat merungkai permasalahan para guru, bahkan KPM sentiasa berusaha melakukan penambahbaikan bagi memastikan kebajikan warga pendidik tidak diabaikan. KPM juga menyedari tentang kegelisahan segelintir warga pendidik tentang beban tugas yang perlu disempurnakan di sekolah masing-masing. Atas keprihatinan terhadap perkara tersebut, KPM sedang berusaha melakukan pengoptimaan sumber manusia dalam kalangan guru. Inisiatif ini diharap dapat meningkatkan kualiti PdP guru bagi mengatasi isu kerencaman tugas hakiki dan tugas tambahan guru di sekolah.

44. Akhir kata, saya berharap agar usaha murni yang dilakukan oleh KPM akan meningkatkan lagi motivasi dan komitmen semua warga pendidik dalam melaksanakan segala amanah yang telah dipertanggungjawabkan. Terima kasih atas khidmat bakti yang dicurahkan bagi menjayakan segala dasar KPM dengan penuh iltizam. Harapan saya, walau di mana jua anda bertugas, sama ada di sekolah, PPD, JPN atau Bahagian KPM, marilah kita menjiwai semangat, roh dan etika keguruan yang sentiasa dihormati dan disanjung tinggi. Mudah-mudahan segala usaha dan keringat yang dicurahkan umpama mutiara yang berharga akan tetap dipandang mulia walau banyak dugaan melanda. Terima kasih cikgu, selamat menyambut hari guru. Guru Pembina Negara Bangsa.

Sekian. Wabillahi taufik walhidayah, wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Tan Sri Dr. Khair bin Mohamad Yusof
Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia
16 Mei 2017

#NegarakuHariGuru2017
#MuafakatGuru
#TerimakasihCikgu

---
#terbaeekkk ‎#kipidap #‎mknaceunlimited‬ #‎mknace‬ ‎#blogger‬ #‎photography‬ #‎photoblog‬ ‎#‎SJCAM‬ ‎#SJ4000‬ #J3‬ ‎#Samsung‬ ‎#GalaxyCamera ‎#altek ‬#‎cubic‬ #love‬ ‎#followme‬ #‎beautiful‬ #‎blogoftheday‬ #fun‬ #like‬‎ #life‬ #colorful‬‎ #photooftheday‬ #‎MyExperience #‎mknaceunlimited,‬ #‎mknace‬, ‎#blogger,‬ #‎photography,‬ #‎photoblog,‬ #‎MyExperience‬,

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Kitab Digital Sekolah Agama Kerajaan Negeri Johor

PERMOHONAN ONLINE KE PROGRAM KOLEJ VOKASIONAL (MENJURUS KEPADA DIPLOMA VOKASIONAL MALAYSIA) AMBILAN JUN 2016

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS : Memakan Daging Saudara SeIslam