PERUTUSAN MAAL HIJRAH 1438H/2016M YAB PERDANA MENTERI


PERUTUSAN MAAL HIJRAH 1438H/2016M YAB PERDANA MENTERI

Bismillah hirrahman nirrahim,
Alhamdulillahi rabbil alamin wabihi nasta'in

Selawat dan salam ke atas junjungan besar Baginda Muhammad S.A.W. penghulu segala nabi

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

Salam sejahtera, salam 1Malaysia, salam Maal Hijrah

Saudara saudari umat Islam yang dikasihi sekalian

1. Saban tahun, Maal Hijrah, disambut di pelbagai negara Islam seperti Malaysia. Sesungguhnya 1 Muharam, jika diteliti dari segi fakta dan sejarahnya adalah detik permulaan kiraan kalendar atau taqwim rasmi Islam, bermula pada zaman Khalifah Saidina Umar Al-Khattab.
Umat Islam Yang Dikasihi Sekalian,

2. Bersempena dengan temanya pada tahun ini, 1438 Hijriah, bersamaan 2016 Masehi, yakni ‘Ukhuwah Islamiah Asas Penyatuan Ummah’, dengan jelas memperlihatkan ehwal kesatuan dan perpaduan sebagai faktor utama terhadap keberterusan serta kesinambungan agenda syiar Islam dan umatnya.

3. Dalam pada umat Islam di beberapa negara Asia Barat yang masih terjebak dalam kancah pergolakan sesama sendiri, akibat campur tangan asing mahupun sengketa dalaman, kita di Malaysia, sewajibnya bersyukur kerana, Allah Hu Ta’ala terus memperkekalkan tanahair kita dalam keadaan aman, damai dan sentosa.

4. Berbekalkan kepada mafhum pengertian surah Al-Hujurat ayat 10, yang mengajak umat Islam supaya memperkukuhkan persaudaraan sesama mereka dan mengelakkan sengketa yang boleh memudarat serta memecahbelahkan umat.

5. Begitulah juga seperti mafhum surah Al-Baqarah ayat 195, bahawa, janganlah sesekali mencampakkan diri dalam lembah kebinasaan dan kehancuran.

6. Justeru, berlandaskan kemurnian dan kesucian ajaran Islam serta mengambil ibrah daripada pelbagai cabaran, dugaan, peristiwa dan apa yang berlaku di sekeliling kita dan seluruh dunia, perutusan Ma’al Hijrah kali ini, ingin mengajak umat Islam berfikir dan merenung sejenak,…
Akan di manakah letak duduknya kita kini sebagai satu umat? Adakah kita golongan yang dihormati kerana ilmu, akhlak dan tamadunnya seperti waktu dulu atau realitinya kini kian disalah erti sebagai puak pelampau, pengganas, dengan pelbagai aliran yang susah difahami seraya itulah ditafsir dan digambarkan dari perspektif yang salah?

7. Oleh itu, apakah tindakan kita sebagai sebahagian daripada umat Islam? Ternyata sejak mencapai kemerdekaan, dengan bersandarkan kepada peruntukan perlembagaan, yang menjadikan Islam sebagai agama persekutuan, dengan iltizam parti UMNO melalui pemerintahan Barisan Nasional, telah berjaya selama hampir 6 dekad, mengangkat syiar dan pengamalan Islam ke satu tahap yang mampu diperbanggakan.

8. Sehingga, Malaysia telah dijadikan role model, atau negara Islam contoh yang maju lagi progresif di seluruh dunia. Bahkan, daripada perspektif iktisadnya, menurut laporan State of The Global Islamic Economy 2015/2016 oleh Thomson Reuters, kita sekali lagi telah menduduki tangga pertama secara keseluruhan daripada senarai 73 buah negara di dunia.

9. Selanjutnya, kita merupakan negara penerbit sukuk terbesar dunia, yang merangkumi hampir 55 peratus daripada jumlah sukuk terkumpul global yang bernilai melebihi 320 bilion dolar Amerika setakat penghujung 2015.

10. Malahan, hasil daripada laporan kali pertama, sesudah Indeks Syariah dilancarkan pada tahun 2015, Malaysia telah memperoleh skor keseluruhan dalam pelbagai bidang melebihi markah 75 peratus.

Umat Islam Yang Dikasihi Sekalian,

11. Menjengah di sudut lain, sebagai sebuah negara yang mengamalkan prinsip wasatiyyah, kita sewajibnya berjaga-jaga agar tidak terjerumus ke kancah salah tafsirnya konsep jihad.

12. Berpegang kepada hukum hakam Islam yang betul dan syumul, InsyaAllah, kita tidak akan menyimpang daripada landasan yang benar. Apatah lagi, terperangkap dalam fahaman mahupun ideologi yang terlalu ekstrem,… tidak pula terlalu liberal, sebagaimana ancaman IS serta DAESH.

13. Selain itu, kita juga perlulah menjauhi segala anasir yang mencetuskan perpecahan, termasuk ancaman dalang-dalang dalam negara, yang ingin menjatuhkan Kerajaan yang dipilih, secara tidak demokratik. Ini semua dek angkara termakan damak dan racun orang asing serta penjajahan bentuk baharu.

14. Pada sisi kemanusiaan dan atas nama ukhuwah pula, negara kita akan terus beristiqamah, terlibat aktif memainkan peranan dalam membantu saudara seakidah kita yang tertindas, dengan berusaha mencari jalan perdamaian, di seluruh dunia, khususnya di Palestin, Selatan Filipina, Rohingya, dan Selatan Thailand.

15. Malah, pada tahun sudah, Kerajaan Malaysia telah memberi komitmen untuk mengambil sejumlah pelarian Syria ke negara ini, secara berperingkat dalam tempoh tiga tahun.

16. Sesungguhnya, keprihatinan dan tanggungjawab membantu sesama Islam ini amat digalakkan, bak kata pepatah Melayu, cubit peha kanan, peha kiri pun terasa.

17. Namun, kita sedar, masih banyak lagi ruang dan ikhtiar yang boleh dilakukan dalam memenuhi agenda umat Islam kini, antaranya memperkukuh kebersatuan umat, menguasai ilmu pengetahuan dan kemahiran terkini serta memperkasa ekonomi.

18. Meskipun begitu, apa yang lebih penting, kita mesti terlebih dahulu mempastikan umat Islam di negara ini, maju dan unggul, khususnya dalam mempertinggikan syiar Islam menurut kerangka ahli Sunnah Wal Jamaah.

19. Realitinya, bagaimana hendak menolong orang lain, jika umat Islam sendiri pun masih berada dalam keadaan lemah dan berpecah belah.

20. Paling mustahak, umat Islam di Malaysia harus terus diperkasakan, bagi melahirkan generasi yang Islami dan golongan mudanya yang dapat bergelar Ulul Albab.

21. Dalam kata lain, generasi yang dinamik, berdaya saing, berdaya maju dan penuh nilai-nilai keunggulan. Barulah dari masa ke semasa, tamadun Islam dapat disegar dan dikembalikan.

22. Pucuk pangkalnya, berpijak di bumi yang nyata, kita mahu Malaysia terus dijenamakan atau diperteladankan sebagai negara Islam contoh dari serata sudut, yakni ekonomi, siasah dan masyarakatnya, dalam mencapai Baldatun Thoyyibatun wa Rabbun Ghafur.

Rakyat Malaysia dan Umat Islam Yang Dikasihi Sekelian,

23. Menuju ke hadapan, umat Islam dan rakyat Malaysia perlu melakukan transformasi dan anjakan paradigma, sentiasa mengamalkan budaya ketekunan, berdisiplin serta sistematik dalam menjalankan tugas dan amanah, dalam menghadapi liku-liku serta cabaran mendatang.

24. Semoga Malaysia dipelihara Allah dalam kandungan sihat dan selamat serta kekal berdaulat, maju jaya, kerana itulah dia pengertian sebenar hijrah.

Wabillahi Taufik Wal Hidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
Sekian, terima kasih.



---
#terbaeekkk ‎#kipidap #‎mknaceunlimited‬ #‎mknace‬ ‎#blogger‬ #‎photography‬ #‎photoblog‬ ‎#‎SJCAM‬ ‎#SJ4000‬ #‎Asus‬ #‎Zen4‬ ‎#Samsung‬ ‎#GalaxyCamera ‎#altek ‬#‎cubic‬ #love‬ ‎#followme‬ #‎beautiful‬ #‎blogoftheday‬ #fun‬ #like‬‎ #life‬ #colorful‬‎ #photooftheday‬ #‎MyExperience #‎mknaceunlimited,‬ #‎mknace‬, ‎#blogger,‬ #‎photography,‬ #‎photoblog,‬ #‎MyExperience‬,

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Kitab Digital Sekolah Agama Kerajaan Negeri Johor

PERMOHONAN ONLINE KE PROGRAM KOLEJ VOKASIONAL (MENJURUS KEPADA DIPLOMA VOKASIONAL MALAYSIA) AMBILAN JUN 2016

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS : Memakan Daging Saudara SeIslam