Kembara Mahkota Johor 2015 Sejauh 858 Kilometer Berakhir Selepas Rentas 10 Daerah

Kembara Mahkota Johor 2015 Sejauh 858 Kilometer Berakhir Selepas Rentas 10 Daerah


JOHOR BAHARU, 13 Ogos (Bernama) -- Kembara Mahkota Johor (KMJ) 2015 sejauh 858 kilometer berakhir hari ini selepas merentasi 10 daerah di negeri ini sejak Isnin lepas.

Kembara bertemakan 'Muafakat Bangsa Johor' yang menyaksikan Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar menggunakan motosikal berkuasa tinggi dan bas menjelajah seluruh negeri ini, berakhir di Hutan Bandar Mutiara Rini, Skudai, di sini.

Ketibaan Sultan Ibrahim pada 2.30 petang dengan diiringi Permaisuri Johor Tuanku Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah dan para anakanda baginda, disambut meriah oleh masyarakat pelbagai kaum.

Turut hadir Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, barisan exco kerajaan negeri dan ketua jabatan kerajaan.

Kembara yang memasuki tahun ke-15 dan edisi ke-18 itu diadakan bertujuan merapatkan hubungan antara rakyat, pemimpin dan Istana Johor selain mendekatkan hubungan antara kaum di negeri ini.

Rombongan empat hari itu bermula di Laman Diraja Pontian, Isnin lepas sebelum singgah ke daerah Batu Pahat, Muar, Ledang, Segamat, Kluang, Mersing, Kota Tinggi, Kulaijaya dan berakhir di bandar raya ini.

Terdahulu, pada hari terakhir jelajah hari ini, Sultan Ibrahim dan rombongan baginda turut singgah di Felda Semenchu, Kota Tinggi dengan beramah mesra bersama peneroka di tanah rancangan berkenaan, kira-kira sejam.

Tunku Putera Johor Tunku Abu Bakar turut menunjukkan bakat bermain dart, ceper, lastik getah dan membaling tin mengguna tandan sawit di felda tersebut.

Sementara itu, Mohamed Khaled dalam ucapannya pada majlis penutup berkata kembara berkenaan menzahirkan dan mewakili beberapa manifestasi yang unik, bermakna, istimewa dan tersendiri.

"Inilah manifestasi sebuah pemerintahan yang sentiasa mengutamakan segala kepentingan rakyat. Melalui pelbagai aktiviti serta program bersama rakyat, telah menyerlahkan betapa akrabnya tuanku dengan rakyat jelata dan betapa kasihnya rakyat terhadap tuanku," katanya.

Mohamed Khaled berkata kembara terbabit juga membuka ruang untuk semua pihak menambah baik segala perkhidmatan dan amal bakti kepada rakyat seiring dengan dasar pembangunan negeri yang bersifat prorakyat serta inklusif.

Beliau berkata segala kebaikan yang dilakukan Sultan Ibrahim dan kerabat diraja sepanjang kembara itu juga akan menjadi teladan kepada rakyat.

-- BERNAMA




Via Blogger PC Edisen

Enjoice...Sharing is power!!!

Ping your blog, website, or RSS feed for Free


Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Jelly Beans

Kitab Digital Sekolah Agama Kerajaan Negeri Johor

Acustop Cataplasma Applied