KENYATAAN KEMENTERIAN PENDIDIKAN MALAYSIA MENGENAI PENEMUAN DALAM LAPORAN KETUA AUDIT NEGARA TAHUN 2013 SIRI 3 berkenaan Perkhidmatan 1BESTARINET

KENYATAAN KEMENTERIAN PENDIDIKAN MALAYSIA  MENGENAI PENEMUAN DALAM LAPORAN KETUA AUDIT  NEGARA TAHUN 2013 SIRI 3 berkenaan Perkhidmatan 1BESTARINET


Perkhidmatan 1BestariNet merupakan komponen utama dalam Anjakan 7, Pelan
Pembangunan Pendidikan 2013 - 2025. Program ini menyediakan Pelantar
Pembelajaran persekitaran maya untuk mengupayakan pembelajaran akses kendiri.
Kerajaan Malaysia melalui makmal New Key Economic Area - Content Connectivity and
Infrastructure (NKEA-CCI) yang melibatkan syarikat-syarikat telekomunikasi tempatan
dan agensi kerajaan yang berkepentingan telah mengenal pasti KPM sebagai
pemangkin bagi pelaksanaan SchoolNet 2.0 yang telah dijenamakan semula sebagai
1BestariNet.

Pelaksanaan 1BestariNet telah mengambil kira dapatan kajian impak yang
dilaksanakan oleh pakar perunding berkecuali yang diselaraskan oleh Unit Perancang
Ekonomi. Reka bentuk rangkaian, spesifikasi perkhidmatan serta skop kerja telah
dimuktamadkan oleh Jawatankuasa Spesifikasi Teknikal Perkhidmatan 1BistariNet,
KPM.

Berasaskan perakuan Jawatankuasa ini, KPM telah melancarkan tender terbuka untuk
perolehan perkhidmatan 1BistariNet bagi tempoh lima belas tahun pada 15 Mei 2011 di
mana 16 syarikat telekomunikasi telah menyertai tender tersebut. Setelah penilaian
teknikal dan kewangan dilaksanakan oleh Lembaga Perolehan, KPM, Syarikat YTL
Communications Sdn. Bhd. telah ditawarkan kontrak berkenaan pada 29 November
2011 selama dua tahun enam bulan mulai 13 Disember 2011 hingga 12 Jun 2014
berdasarkan kedudukan penilaian spesifikasi teknikal yang terbaik dan harga yang
munasabah yang konsisten dengan keputusan Kementerian Kewangan untuk
membahagikan tempoh pelaksanaan mengikut fasa.

Penemuan dalam Laporan Ketua Audit Negara menyatakan bahawa perkhidmatan ini
belum mencapai objektif sepenuhnya dalam merangkaikan perkhidmatan internet ke
sekolah-sekolah di seluruh Malaysia. KPM ingin menjelaskan bahawa sehingga tamat
tempoh kontrak pada 12 Jun 2014, pihak syarikat telah berjaya merangkaikan sebanyak
8,886 daripada 9,889 buah sekolah di seluruh negara dengan perkhidmatan
1BestariNet. Manakala sebanyak 1,003 sekolah tidak dapat dirangkaikan dengan
1BestariNet kerana syarikat gagal untuk mendapatkan kelulusan dari pihak berkuasa
tempatan bagi membina menara telekomunikasi di beberapa negeri, khususnya di
Negeri Sarawak, Pulau Pinang dan Kelantan. Walau bagaimanapun, bagi 1,003
sekolah yang belum dirangkaikan, KPM telah menyediakan perkhidmatan internet
melalui talian internet interim yang disediakan oleh pembekal perkhidmatan internet
yang lain bagi membolehkan sekolah-sekolah tersebut terus melaksanakan aktiviti
pembelajaran murid secara dalam talian. Di atas kelewatan tersebut, pihak kerajaan
telah pun mengenakan denda kepada syarikat YTLC Communications Sdn Bhd
sebanyak RM2.4 juta pada 27 Oktober 2014.

Sekolah-sekolah yang dirangkaikan melalui perkhidmatan 1BestariNet dengan kelajuan
4Mbps telah dibekalkan dengan 3 Zoom bagi membolehkan guru dan murid mengakses
internet di makmal komputer, bilik guru dan pejabat sekolah di mana berlakunya
sebahagian besar aktiviti pembelajaran dan pengurusan sekolah. Dengan kewujudan
persekitaran wifi di sekolah, kemudahan ini juga memberikan ruang dan peluang
kepada lain-lain peranti mudah alih yang sedia ada menggunakan kemudahan capaian
internet melalui rangkaian 1BestariNet. Ini secara tidak langsung meningkatkan jumlah
pengguna serta mengakibatkan kesesakan kepada capaian internet berkapasiti 4Mbps
yang disediakan ketika ini. Justeru itu, pengurusan penggunaan capaian lebar jalur
4Mbps secara cekap amat penting dilaksanakan di peringkat sekolah oleh
pengetua/guru besar bagi memastikan manfaat terbaik dapat diperoleh daripada
kemudahan yang disediakan.

Sebagai langkah penambahbaikan, KPM telah mengarahkan supaya sekolah-sekolah
menyediakan jadual penggunaan talian bagi mengurangkan masalah berkenaan dan ini
ternyata berkesan di kawasan-kawasan pedalaman Sabah dan Sarawak yang
dirangkaikan dengan teknologi Very Small Aperture Terminal (VSAT) tetapi masih
berupaya untuk melaksanakan program Sistem Pengurusan Sekolah (SPS) dengan
jayanya. Selain itu, pihak syarikat telah membekalkan dongles kepada setiap sekolah.
Dongles ini membolehkan guru-guru mencapai bahan-bahan pembelajaran murid
dalam kawasan-kawasan sekolah yang tidak berada dalam liputan wifi Zoom.

Untuk memastikan kualiti rangkaian yang dibekalkan menepati piawaian yang
ditetapkan oleh International Telecommunications Union (ITU), KPM telah
melaksanakan pengauditan ke atas rangkaian 1BestariNet secara rawak pada
Disember 2013. Dalam tempoh pengauditan tersebut, KPM mengukur kelajuan lebar
jalur (bandwidth), kependaman (latency), penurunan paket (packet drop) dan naik
opelet (jitter). Kesemua pengauditan yang telah dijalankan sepanjang tempoh kontrak
mendapati bahawa rangkaian 1BestariNet memenuhi Aras Jaminan Perkhidmatan
(SLG) yang ditetapkan. Bagi mengesahkan kualiti rangkaian yang dibekalkan pembekal
serta dapatan pengauditan KPM, pengauditan oleh agensi luar dan pihak berkecuali
juga dilaksanakan dari semasa ke semasa. Antara agensi luar yang pernah dilibatkan
dalam pengauditan rangkaian 1BestariNet ialah MAMPU dan Suruhanjaya Komunikasi
Dan Multimedia Malaysia. Setakat ini, berdasarkan pengauditan rangkaian yang
dilaksanakan secara berkala, pembekal didapati memenuhi aras jaminan perkhidmatan
(SLG) seperti dalam kontrak 1BestariNet.

Mengenai penemuan audit terhadap pencapaian kewangan bagi projek ini bahawa
bayaran ke atas perkhidmatan lebar jalur 10Mbps bagi Bahagian Teknologi Pendidikan
Negeri (BTPN) di seluruh Malaysia sejumlah RM0.32 juta tidak diperuntukkan dalam
Lampiran B - Jadual Harga Kontrak dan tiada sebarang kelulusan pelarasan nilai
kontrak, KPM ingin menjelaskan bahawa pembayaran tersebut tidak diperuntukkan
dalam Jadual Pembayaran Projek. Namun, skop kerja dan kadar pembayaran adalah
seperti yang tercatat dalam kontrak [Klausa 4.2(b)] di mana jadual harga kontrak dan
jumlah perbelanjaan projek 1BestariNet adalah di bawah siling kontrak.

Mengenai penemuan audit berkaitan Pelantar Pembelajaran Maya (VLE), VLE ia
merupakan komponen yang paling penting dalam projek perkhidmatan 1BestariNet.
Tahap penggunaan dalam tempoh 3 tahun pertama adalah berada dalam lingkungan
5% sebagaimana lazim dalam program transformasi pengintegrasian ICT.

Kenyataan penuh boleh diperolehi di pautan url berikut :
http://moe.gov.my/cms/upload_files/articlefile/2014/articlefile_file_003698.pdf

Via Blogger PC Edisen

Enjoice...Sharing is power!!!

Ping your blog, website, or RSS feed for Free


Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Jelly Beans

Kitab Digital Sekolah Agama Kerajaan Negeri Johor

Acustop Cataplasma Applied