PERUTUSAN HARI MERDEKA YAB TIMBALAN PERDANA MENTERI MALAYSIA 57


PERUTUSAN HARI MERDEKA
YAB TIMBALAN PERDANA MENTERI
MALAYSIA 57

"Disini Lahirnya Sebuah Cinta"

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Tidak seperti tahun-tahun sebelum ini, sambutan Hari Kemerdekaan negara ke-57 tahun ini disambut dengan suasana cukup berbeza. Seluruh negara pastinya masih terkesan dengan dua tragedi besar yang menimpa negara, iaitu kehilangan pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH 370 dan MH 17.

Namun, dalam melahirkan rasa sedih dengan tragedi ini serta simpati yang tidak berbelah-bahagi kepada semua mangsa, saya mengajak seluruh rakyat Malaysia melihat tragedi ini dari sudut yang berbeza.
Sesungguhnya, tragedi ini telah memanggil seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan agama untuk bersatu mengharungi detik-detik sukar ini bukan hanya demi negara, tetapi yang lebih utama untuk keluarga-keluarga mangsa.

Semangat sebegini tidak akan lahir sekiranya rakyat Malaysia tidak mempunyai jati diri dan semangat patriotisme yang tinggi untuk berdiri bersama-sama ketika negara berdepan tragedi yang cukup dahsyat ini.
Kita harus akui bahawa cabaran mengekalkan perpaduan dan keharmonian antara masyarakat berbilang kaum di negara ini bukan sesuatu yang mudah. Namun, kita sudah melakukannya dengan cukup cemerlang dan berjaya sejak 57 tahun lalu atas nama 1 Malaysia .

Kita bersatu dalam perbezaan, bersama-sama meraikan dalam kepelbagaian, saling menghormati dalam percanggahan dan menghapus rasa syak wasangka serta curiga dalam perhubungan.
Alhamdulillah, sebagai rakyat Malaysia kita seharusnya berasa bangga kerana dalam tempoh lima dekad ini negara kita telah berjaya mengharungi pelbagai cabaran untuk menjadi sebuah negara bangsa yang maju dan bersatu padu.

Percayalah, jika semangat kebersamaan ini kita teruskan, satu tempoh yang lebih panjang dapat kita harungi bersama-sama atas semangat dan patriotisme anak Malaysia . Bertoleransi dan menerima perbezaan adalah resipi utama kejayaan Malaysia membina sebuah negara bangsa yang didiami oleh masyarakat majmuk.
Daripada sebuah negara miskin pada tahun 1957, Malaysia hari ini berada dalam kelompok negara berpendatan sederhana tinggi, dan Insya-Allah akan menjadi sebuah negara maju dalam tempoh 6 tahun akan datang.

Pertumbuhan ekonomi Malaysia pada suku kedua tahun ini sebanyak 6.4%, adalah yang terbaik dalam kalangan negara-negara ASEAN. Kadar pengangguran juga berjaya dikekalkan pada kadar yang rendah iaitu 2.8%. Ini bermakna program transformasi ekonomi yang dilaksanakan oleh kerajaan telah membuahkan hasil. Jika pencapaian yang memberangsangkan ini berterusan untuk tahun-tahun yang akan datang, insyaAllah Malaysia pasti akan menjadi sebuah negara maju pada tahun 2020.

Saya berharap rakyat Malaysia sentiasa menyemat di sanubari bahawa kemerdekaan negara yang dikecapi hari ini bukan sepenuhnya milik kita. Tetapi kemerdekaan ini adalah amanah yang perlu diwariskan kepada generasi muda akan datang.

Kita bukan hanya memegang janji pejuang kemerdekaan tanah air silam untuk mempertahan keamanan negara. Tetapi turut bertanggungjawab untuk memberi makna sebenar kemerdekaan negara, untuk dinikmati pula oleh generasi akan datang.

Sudah semestinya, kita tidak mahu anak-anak dan cucu-cucu kita mewarisi sebuah negara Malaysia yang porak-peranda. Kerana sama seperti pejuang kemerdekaan tanah air silam, sama seperti kita hari ini, dan sama seperti generasi negara akan datang, di sinilah iaitu di sebuah negara yang bernama Malaysia inilah, Lahirnya Sebuah Cinta.

YAB Tan Sri Muhyiddin Hj Mohd Yassin
Timbalan Perdana Menteri
30 Ogos 2014

Via Blogger PC Edisen

Enjoice...Sharing is power!!!

Ping your blog, website, or RSS feed for Free


Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Jelly Beans

Kitab Digital Sekolah Agama Kerajaan Negeri Johor

SPM 2018 Result : Analisa & Ranking SBP