PERUTUSAN SAMBUTAN HARI GURU 2014 OLEH KETUA PENGARAH PELAJARAN MALAYSIA

PERUTUSAN SAMBUTAN HARI GURU 2014 OLEH KETUA PENGARAH PELAJARAN MALAYSIA boleh dimuaturun di url berikut http://www.moe.gov.my/cms/upload_files/articlefile/2014/articlefile_file_003423.pdf

PERUTUSAN SAMBUTAN HARI GURU 2014 OLEH KETUA PENGARAH PELAJARAN MALAYSIA

PERUTUSAN SAMBUTAN HARI GURU 2014
KETUA PENGARAH PELAJARAN MALAYSIA


“GURU: PENCETUS KREATIVITI, PENJANA INOVASI”
Bismillahirrahmanirrahim
 Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Salam Sejahtera, Salam Perpaduan
dan Salam 1Malaysia



Saudara dan saudari warga pendidik
dan murid-murid yang dikasihi sekalian,

1. Tanggal 16 Mei merupakan hari yang amat bermakna kepada individu
yang bergelar guru atau lebih sinonim dengan gelaran „cikgu‟, kerana
hari ini merupakan hari yang diiktiraf sebagai hari guru. Seperti biasa,
tarikh keramat 16 Mei disambut dengan meriah bagi meraikan para
guru yang bertungkus lumus mendidik anak-anak kita tidak kira di
ceruk mana sahaja berada untuk menjadi orang yang berguna. Pada
hari ini, guru-guru diraikan oleh anak-anak didik mereka sebagai
tanda sokongan dan penghargaan atas usaha bakti yang telah
dicurahkan.

2. Marilah kita semua bersyukur ke hadrat Allah swt kerana sekali lagi
kita dapat menyambut Hari Guru kali ke-43 pada tahun ini. Selamat
Hari Guru dan terima kasih serta setinggi-tinggi penghargaan
terhadap komitmen, keikhlasan, dedikasi dan prestasi tinggi para guru
kepada bangsa dan negara. Jasa dan pengorbanan guru serta
seluruh warga pendidikan terhadap pembangunan pendidikan negara
sentiasa relevan dan dihargai.Tugas sebagai seorang guru dipandang 2


tinggi dan amat mulia sebagai pemangkin pembangunan negara,
pembentuk generasi dan menjadi asas kemajuan pendidikan negara
di samping memacu kejayaan rakyat. Guru-guru perlu mempunyai jati
diri dan semangat yang tinggi untuk menabur bakti kepada anak
bangsa tanpa menghirau penat lelah, tanpa menghirau jarak dan
sempadan malah mereka diakui mampu melahirkan modal insan yang
mempunyai jati diri yang kukuh dan boleh memacu pembangunan
dan ekonomi negara ke arah yang lebih baik.

3. Kini kita telah pun melangkah ke tahun kedua pelaksanaan Pelan
Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 (PPPM). Saya akan
meneruskan amanah yang diberikan untuk terus memastikan PPPM
ini berada pada landasannya. Ini bertujuan untuk memastikan
transformasi pendidikan negara ini dapat dilaksanakan dengan lebih
tersusun dan mencapai matlamatnya. Bagi mencapai hasrat itu,
pendidikan perlu bersifat dinamik dan holistik yang sentiasa segar
serta berubah mengikut keperluan masa dan persekitarannya.

4. Salah satu aspek penting dan utama yang diberi penekanan menerusi
pelan tersebut adalah berkaitan profesion keguruan. Tumpuan akan
diberi kepada usaha-usaha peningkatan kualiti guru serta menjadikan
profesion ini sebagai profesion pilihan. Menerusi pelan ini juga, para
guru di seluruh negara adalah diharap dapat meneruskan
peningkatan keilmuan masing-masing sejajar dengan perkembangan
teknologi dan persekitaran semasa.

5. Guru-guru sepatutnya menjadikannya sebagai satu cabaran baru
dalam meneroka dan meningkatkan lagi kebolehan, keupayaan
masing-masing bagi menghadapi gelombang perubahan yang berlaku
masa kini dan mendatang.

6. Pada hemat saya selain daripada dasar dan pelan yang disediakan,
guru-guru merupakan pemain utama dan penentu terhadap
transformasi menyeluruh dalam sistem pendidikan. Segenap lapisan
rakyat dalam negara ini sentiasa menaruh harapan kepada guru.
Yakinlah bahawa pendidikan adalah harapan masa depan negara.

7. Oleh itu, saya menyeru warga pendidik agar bersama-sama
meletakkan keutamaan pada tahap tertinggi bagi memastikan semua
perancangan dalam pelan pembangunan pendidikan berjalan lancar.
 3


Hal ini kerana, saya berpandangan bahawa sentuhan masa depan
negara (touching the future) sebenarnya bermula di tangan guru.

8. Dalam hal ini, saudara dan saudari para guru disaran agar lebih peka
dengan realiti murid masa kini dan mengambil pendekatan
kontemporari dalam mendidik. Tugas “memanusiakan manusia”
bukanlah perkara yang mudah, guru juga harus memiliki jati diri yang
jitu untuk menzahirkan akhlak mulia bagi menjadi contoh kepada anak
didik mereka. Guru perlu memiliki personaliti yang cemerlang untuk
menarik perhatian dan menjadi tempat rujuk murid.

Saudara dan saudari yang dikasihi,

9. Tema Hari Guru tahun ini “Guru: Pencetus Kreativiti, Penjana Inovasi”
sangat bertepatan dengan dunia pendidikan pada masa kini. Kreativiti
dan inovasi amat dituntut untuk melahirkan generasi murid berfikiran
kelas pertama dalam abad ke-21 untuk bersaing dalam abad penuh
cabaran ini. Para guru harus sentiasa meningkatkan keupayaan
kreativiti dan inovasi dalam melaksanakan tugas yang semakin
mencabar. Untuk itu, guru perlu peka dan sentiasa bersedia
menambah ilmu untuk menjadi lebih kreatif dan inovatif.

10. Kreativiti ialah suatu bentuk proses pemikiran yang mendorong
penjanaan idea baharu. Kreativiti melibatkan kombinasi antara idea
baharu dan idea lama yang diproses semula, membuat pemilihan dan
menukar ganti menjadi sesuatu yang baharu. Inovasi pula merupakan
suatu idea, amalan atau objek yang baharu dan yang lebih baik.
Inovasi dihasilkan oleh manusia kreatif yang dapat membina trend
baharu dan menggunakan peluang semaksimum mungkin dalam
ekosistem yang penuh persaingan. Sebagai contoh, jika dulu
penggunaan telefon bimbit hanya sebagai alat perhubungan tetapi
kini melalui inovasi, digunakan sebagai penyampai maklumat, pandu
arah perjalanan, internet, kamera dan alat hiburan.

11. Kreativiti amat penting dalam membangunkan masyarakat dan
negara. Secara umumnya, para pemimpin, ahli perniagaan, saintis,
ahli sejarah, pendidik dan ahli psikologi menyatakan bahawa kreativiti
sangat diperlukan untuk kelangsungan hidup di dalam sesebuah
negara terutamanya dalam era globalisasi, perubahan, cabaran, dan
 4


persaingan yang sedang dan akan terus berlaku. Dalam konteks
Malaysia sebagai sebuah negara yang sedang pesat membangun
dan berhasrat untuk menjadi sebuah negara maju menjelang tahun
2020, keperluan terhadap kreativiti semakin mendesak. Tambahan
pula, perkembangan ekonomi yang berlaku akibat transformasi dasar
kerajaan telah mengubah lanskap pendidikan negara.

12. Guru memainkan peranan penting bagi menerapkan elemen kreativiti
dan inovasi dalam pengajaran mereka. Oleh itu, guru perlu sentiasa
berfikir untuk membudayakan elemen kreatif dan inovatif dalam setiap
aspek pengajaran dan pembelajaran. Melalui budaya pemikiran
kreatif dan inovatif dalam pengajaran dan pembelajaran dapat
mengaktifkan minda murid menjadi lebih dinamik, kreatif dan inovatif.
Hasil atau outcome pembudayaan elemen kreatif dan inovatif ini,
insyaallah akan menjadikan pengajaran guru dan pembelajaran murid
lebih berkualiti. Oleh itu, untuk mencapai tujuan ini maka para guru
mestilah sentiasa think again, think across and think ahead.

13. Dalam hal ini juga, saya percaya bahawa kita perlu melihat apa yang
berlaku di dalam kelas atau pembelajaran di bilik darjah. Pada saya,
the classroom is the source of energy for positive vibrations –
the nucleus of change. Slight ripple of improvement in the
classroom will create a strong wave of transformation.
Pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah harus menekankan
kepada pedagogi. Fokus pembelajaran murid hendaklah menjadi
agenda utama seseorang guru. Guru-guru disaran agar sentiasa
berusaha meningkatkan kemahiran mereka dalam pengajaran dan
pembelajaran di bilik darjah.


Saudara dan saudari yang dikasihi,

14. Peranan pengurusan sekolah juga penting dalam membudayakan
elemen kreativiti dan inovasi agar menjadi organisasi pembelajaran
yang bermaklumat, menggalakkan pengembangan pengetahuan
baharu, membudayakan ilmu saintifik dan teknologi termasuk
menggunakan tenaga sumber secara maksimum. Barisan pentadbir
sekolah haruslah bertanggungjawab bagi mencetuskan budaya
kreativiti dan inovasi.
 5


15. Bagi mewujudkan suasana kreatif dan inovatif, sekolah perlu
mengurangkan kerenah birokrasi dalam pengurusan demi memberi
ruang kebebasan berkarya kepada warganya. Oleh itu, pihak
pengurusan juga perlu menjadikan iklim sekolah sentiasa ceria,
bersih, kemas dan bermaklumat. Pengurusan sekolah perlulah
memastikan komunikasi dua hala, pengaliran maklumat lebih
demokratik, gaya kepimpinan yang berhemah dan pembangunan
insan yang harmoni bagi mewujudkan suasana pengajaran dan
pembelajaran yang kondusif.

16. Penggunaan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (TMK) secara
meluas dapat membina imej baharu dalam pengurusan organisasi
yang berprestasi tinggi. Ia akan menjadikan sekolah lebih berdaya
saing dan menjadi lebih produktif. Guru juga disaran meneliti semula
amalan bilik darjah yang sesuai dengan ciri serta situasi murid
sekarang. Menurut Sternberg (2004), “minda manusia mempunyai
tiga potensi utama iaitu kepintaran, kreativiti dan kebijaksanaan,
ketiga-tiganya mesti dipupuk dan dirangsang agar manusia dapat
menggunakan mindanya secara optimum.”

17. Adalah menjadi tanggungjawab semua guru ke arah melahirkan murid
yang mempunyai enam aspirasi, iaitu berpengetahuan, kemahiran
berfikir, kemahiran memimpin, kemahiran dwibahasa, beretika dan
kerohanian serta beridentiti nasional seperti yang dihasratkan dalam
PPPM. Guru juga perlu sentiasa menggunakan kemahiran dan
pengetahuan pedagogi bersifat kreatif dan inovatif serta menerapkan
unsur Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) bagi menjadikan
pembelajaran menarik dan menyeronokkan.

18. Ciri budaya sekolah yang menggalakkan kreativiti dan inovasi akan
mendorong semangat belajar yang tinggi dalam kalangan murid.Daya
usaha murid sendiri dan sentiasa berusaha mengembangkan potensi
diri dengan bimbingan dan sokongan guru-guru yang dedikasi, terlatih
dan profesional akan membuahkan kejayaan.

Saudara dan saudari yang dikasihi,

19. Pembangunan modal insan merupakan unsur penting yang
seharusnya diberikan tumpuan terutamanya dalam rangka negara kita
sedang bergerak untuk mencapai Wawasan 2020 dan sekaligus 6



menjadi lebih berdaya saing pada peringkat antarabangsa. Menyedari
hakikat ini, pembangunan modal insan yang berpengetahuan,
berkemahiran dan inovatif serta berdaya saing di peringkat
antarabangsa penting untuk melahirkan tenaga kerja yang memiliki
kemahiran, pengetahuan dan daya kreativiti agar mereka dapat
menyelesaikan tugasan yang semakin kompleks.

20. Di samping itu guru juga mempunyai tugas berat dalam menghasilkan
generasi muda yang berpotensi dengan kemahiran pelbagai dan
dapat membentuk ciri-ciri keperibadian agar selari dengan hasrat
Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Guru perlu mempunyai idea kreatif
dan inovatif dalam menjana idea, konsep atau strategi baharu yang
dapat meningkatkan amalan berkesan dalam menyampaikan ilmu
kepada anak-anak didik. Saya amat berharap guru dan murid perlu
sentiasa meningkatkan ilmu dan kemahiran yang diperlukan untuk
membangunkan pendidikan negara.

21. Hal yang demikian, guru perlu melengkapkan diri bagi menghadapi
cabaran global. Guru perlu mencanai perancangan strategik serta
menyatukan aspirasi bagi memastikan sekolah mampu melahirkan
murid cemerlang. Di samping itu, para guru perlu ketelusan minda
dalam mendidik murid, menyuntik semangat agar terus gigih,
berinovatif, berdedikasi dan berintegriti dalam menggalas
tanggungjawab.

22. Di samping para guru melaksanakan tugas dan tanggungjawab yang
amat mencabar ini, saya juga amat memahami akan keluhan
perasaan saudara dan saudari. Untuk itu, saya akan pastikan
bahawa Kementerian Pendidikan Malaysia akan sentiasa berupaya
mendengar, prihatin dan serius, sentiasa terbuka dan telus terhadap
sebarang rungutan dan pandangan daripada saudara dan saudari.

23. Namun saya juga berharap agar segala pandangan atau rungutan
termasuk kritikan membina perlulah dilakukan secara tertib,
berhemah serta mengikut peraturan dan saluran yang betul. Ini
bertujuan agar profesion keguruan dapat sentiasa terpelihara dan
dihormati oleh masyarakat. Kita perlu sentiasa menjaga imej kita
sebagai guru di samping sentiasa berpegang kepada nilai-nilai murni
yang menjadi amalan masyarakat kita serta menjadi nadi penggerak
ke arah perpaduan negara. 7



24. Marilah kita memperbaharui tekad dan azam dengan seluruh tenaga
dan keupayaan demi membangunkan modal insan berkualiti. Saya
yakin bahawa tanggungjawab berat yang digalas oleh saudara dan
saudari para guru di samping tekanan yang dihadapi sedikit pun tidak
melunturkan rasa kasih dan sayang kepada anak-anak didik semua.
Saya amat yakin dan percaya bahawa saudara dan saudari para guru
yang ada di hadapan murid-murid mereka adalah guru yang
penyayang. Setiap murid di mata dan hati seorang guru adalah
permata bersinar yang mempunyai keistimewaan dan kebolehan
tersendiri. “Ketahuilah bahawa pendidikan anak-anak murid ini
merupakan pelaburan jangka panjang dalam konteks pembangunan
sesebuah negara”.


Kepada anak-anak murid yang disayangi sekalian,

25. Guru merupakan ibu dan ayah kepada anak-anak didik semua,
kepada guru-gurulah harapan ibu bapa untuk menjadi pengganti
mereka bagi mendidik anak-anak ketika berada di sekolah. Sekiranya
ada antara murid-murid yang ditegur oleh guru, janganlah mudah
berkecil hati atau merasa diri kurang disayangi. Anggaplah para guru
sebagai ibu dan bapa di sekolah yang sentiasa mengambil berat dan
menginginkan yang terbaik untuk murid-murid semua.


Saudara dan saudari yang dikasihi,

26. Besarlah harapan saya agar saudara dan saudari para guru yang
dikasihi sekalian terus melaksanakan amanah yang diberi penuh
dedikasi, bertunjangkan integriti dan berlandaskan etika
perkhidmatan. Selaku pencetus, penggerak dan pemegang amanah
kepada proses transformasi sistem pendidikan negara, saudara dan
saudari mempunyai kedudukan tersendiri, disegani dan dipandang
tinggi oleh masyarakat. Marilah kita teruskan amalan budaya kerja
cemerlang, sikap kebertanggungjawaban, istiqamah dan semangat
mujahadah setiap daripada kita untuk melakukan yang terbaik demi
nusa dan bangsa.
 8



27. Saya mengambil kesempatan di sini, mengucapkan selamat hari guru
dan terima kasih cikgu kepada semua insan yang bergelar guru
dengan pesanan jadilah guru yang berdedikasi, komited, cemerlang,
kreatif, inovatif, kaya maklumat dan bersemangat tinggi dalam
perjuangan di arena pendidikan. Selain itu, jadilah guru yang prihatin
serta sentiasa menyayangi muridnya. Sesungguhnya Malaysia amat
memerlukan khidmat bakti saudara dan saudari para guru demi
agama, bangsa dan negara tercinta.


“SELAMAT HARI GURU”

“TERIMA KASIH CIKGU”


DATUK DR KHAIR BIN MOHAMAD YUSOF
Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia

16 Mei 2014

Via Blogger PC Edisen

Enjoice...Sharing is power!!!

Ping your blog, website, or RSS feed for Free


Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Jelly Beans

Kitab Digital Sekolah Agama Kerajaan Negeri Johor

Acustop Cataplasma Applied