Ryujin Juwara on TV3

Ryujin Mabuyer yang merupakan drama bersiri popular di Okinawa Jepun sejak tahun 2008 bakal disiarkan menerusi penjenamaan Bananana! dengan versi Melayu, "Ryujin Juwara" bermula 17 Januari 2014, setiap hari Jumaat jam 7.30 malam  di TV3.

Ryujin Juwara, drama adiwira Malaysia pertama merupakan hasil kerjasama antara syarikat produksi Malaysia, Double Vision Sdn Bhd bersama-sama Yomiuri-TV Enterprise Ltd. (Japan) dan Mabui Stone Corporation (Japan). Drama bersiri 26 episod ini telah menjalani penggambaran di Okinawa, Jepun dan Malaysia serta menampilkan bakat-bakat baharu Malaysia sebagai watak utama iaitu Iedil Putra (Andil/Ryujin Juwara) yang bangkit sebagai adiwira untuk mempertahankan batu Mabui yang menjadi simbolik kesejahteraan Kampung Batik.

Encik Ahmad Izham Omar, Ketua Pegawai Eksekutif, Rangkaian Televisyen, Media Prima Berhad berkata, "Ryujin Juwara merupakan penerbitan bersama antara Malaysia dan Jepun yang mengetengahkan pelakon muda Malaysia yang berbakat sebagai watak utama iaitu adiwira. Selalunya, kami melihat drama bersiri Jepun yang dialih suara bersiaran di TV Malaysia tetapi kali ini, TV3 mempersembahkan adaptasi drama bersiri Jepun yang pertama kali diterbitkan dalam versi Melayu dengan barisan pelakon popular tanah air menerusi penjenamaan Bananana!"

Penerbitan drama hebat Jepun dalam versi Melayu ini juga menerapkan ciri-ciri kebudayaan Malaysia dan melahirkan seorang adiwira Malaysia, Ryujin Juwara yang bakal popular dalam kalangan penonton cilik di negara kita.

Ryujin Juwara mengisahkan tentang Andil (Iedil Putra), seorang pemuda kampung yang merupakan adik didik kepada Tok Mantin (Fathil Dani) yang mengusahakan perniagaan batik. Andil seorang tukang batik yang berbakat besar dan dia menjalani rutin hariannya seperti penduduk kampung yang lain. Andil rapat dengan Maya (Faralyna Idris), anak perempuan kepada Tok Mantin. Selepas kehadiran seorang jurufoto dari Kuala Lumpur iaitu Shafiq (Ali Alasri), Andil mula berasa cemburu apabila melihat Maya turut berkawan baik dengan Shafiq. 

Suatu hari, Kampung Batik menjadi riuh rendah apabila batu Mabui yang diwarisi secara turun temurun dan juga merupakan simbolik kesejahteraan hidup kampung telah dirampas oleh tentera Majimun. Aki Manang (Zaki Zabidi), seorang pertapa telah menghantar pari-pari bunga raya, Hibi (Siti Aziz) untuk menemui orang yang telah ditakdirkan (the chosen one) untuk menjadi Ryujin Juwara yang akan menjalankan misi untuk merampas batu Mabui semula daripada konco-konco Majimun.   

Daripada seorang pemuda kampung yang biasa, Andil telah bertukar menjadi Ryujin Juwara, seorang adiwira yang perlu bangkit untuk melindungi kampungnya. Malah, Ryujin Juwara perlu bergabung tenaga dengan Syafiq yang diberikan kuasa sebagai Ryujin Gelora. Menerusi pengembaraan luar biasa ini, Andil mula menghayati keindahan budaya Melayu dan menjalankan misinya untuk menegakkan keadilan. Berjayakah Ryujin Juwara merampas batu Mabui semula dari tangan tentera Majimun? 

Sidang media program Ryujin Juwara telah berlangsung di Sri Pentas pada jam 3.00 petang dan dimeriahkan dengan kehadiran barisan pelakon seperti Iedil Putra, Faralyna Idris dan Ali Alasri. Turut hadir ke majlis tersebut ialah Dr. Kazuhiro Kawase, Kaunselor dan Ketua Bahagian Ekonomi, Kedutaan Jepun Di Malaysia, Encik Hironori Kono, Presiden Yomiuri-TV Enterprise Ltd, Encik Toshikazu Sugae, Naib Presiden Yomiuri-TV Enterprise Ltd, Encik Yuichi Koyano, Presiden Mabui Stone Corporation, Encik Lim Beng Teck, Pengerusi Double Vision Sdn Bhd, Dato' Amrin Awaluddin, Pengarah Urusan Kumpulan, Media Prima Berhad, Encik Ahmad Izham Omar, Ketua Pegawai Eksekutif, Rangkaian TV, Media Prima Berhad, Datuk Kamal Khalid, Ketua Pegawai Operasi, Kumpulan Perkhidmatan Perkongsian, Media Prima Berhad dan Cik Sherina Nordin, Pengurus Besar Kumpulan, TV3 & TV9. 

Jangan ketinggalan untuk menyaksikan Ryujin Juwara yang dibawakan khas oleh Bananana! mulai 17 Januari 2014, setiap hari Jumaat jam 7.30 petang, semestinya di TV3! Penonton yang terlepas menyaksikan drama ini boleh menontonnya melalui laman sesawang Tonton di www.tonton.com.my dan juga layari www.tv3.com.my, Facebook, Instagram & Twitter TV3Malaysia untuk mendapatkan berita terkini. 

Agak agak OK ker? Hehehe...

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Kitab Digital Sekolah Agama Kerajaan Negeri Johor

PERMOHONAN ONLINE KE PROGRAM KOLEJ VOKASIONAL (MENJURUS KEPADA DIPLOMA VOKASIONAL MALAYSIA) AMBILAN JUN 2016

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS : Memakan Daging Saudara SeIslam